Tuesday, 17 February 2015
Teaser 11
Ada dua orang gadis bertopeng emas. Mereka tidak sama tinggi. Gadis yang lebih tinggi berambut panjang lurus. Gadis yang lebih rendah pula berambut panjang kerinting. Kedua-duanya berambut hitam.
Dan gadis berambut kerinting memulakan bicara, "Ini tak bagus. Kami tak sepatutnya muncul di sini. Tempat ini kami dah pilih Biskop sebagai pemimpin. Kami dah pilih Gabenor Goa sebagai pengawas. Aires de Saldanha sebagai utusan kami. Katerina sebagai penjaga kamu. Semua dah lengkap, dah disusun baik-baik. Tidak adil kamu rosakkan segalanya hanya kerana kamu rasa kamu ni betul."
Faiz menarik nafas sedalamnya sebelum menjawab, "Aku bukan nak rosakkan segalanya. Aku cuma nak balik ke zaman aku. Aku terpaksa..."
BUUUUKKK!!! Perut Faiz ditumbuk dengan kuat. Darah tersembur keluar dari mulut Faiz. Dia ditumbuk seorang lelaki bertopeng emas yang mempunyai badan besar berotot-otot. Lelaki ini kemudian menghayunkan penumbuk kirinya menumbuk tempurung kepala Faiz, dan penumbuk ini terus menolak kepala Faiz menghentam batu gunung sekuatnya. Hancur berderai batu gunung ini.
Darah memancut-mancut keluar dari kiri dan kanan kepala Faiz. Keseluruhan kepala dan bahu Faiz kini berlumuran darah. Dalam pening-pening Faiz masih boleh bersuara, "Aku cuma nak korang..."
BAAMMM!! Satu tumbukan padu melekat di kepala Faiz. Impak tumbukan ini menyebabkan kepala Faiz dengan lajunya menghentam lantai bumi. Tidak cukup melihat Faiz rebah meniarap di atas lantai, lelaki bertopeng ini menerajang perut Faiz. Tubuh Faiz melayang jauh.
Lelaki bertopeng tadi menghampiri Faiz lalu dengan sebelah tangan sahaja dia mengangkat tubuh Faiz ke udara. Jarinya mencengkam kuat leher Faiz. "Kamu cakap apa?" tanya lelaki ini.
Mulut Faiz penuh darah, tetapi dia masih boleh bersuara, "Tolong... Aku... cuma nak korang hantar kami balik."
BAAMMMMMM!!! Lelaki bertopeng ini menghempaskan tubuh Faiz ke bumi sehingga bergegar seluruh tanah Gunung Ledang. "Kamu cakap apa?" sekali lagi lelaki bertopeng ini bertanya.
Faiz batuk darah. Darah merecik keluar dari hidung. Gigi Faiz hampir tidak kelihatan kerana dipenuhi darah yang pekat dan likat. Faiz mula merengek kesakitan.
“Sia-sia~ Mereka tidak akan dengar kata-kata kamu~ Jangan biarkan mereka bunuh kamu~ Bebaskan aku~ Aku mahu tolong kamu~” suara Puteri Gunung Ledang bergema di dalam telinga Faiz. Faiz tahu, cuma dia seorang sahaja dapat mendengar suara Dewi Gunung Ledang. “Jangan... Belum lagi masanya...” Faiz memujuk hatinya.
Faiz, walaupun lemah, dia masih boleh bertutur kata, "Kalau kau bunuh aku... kawan aku tiup seruling tu." BAAMMM!!! Satu lagi tumbukan membenam kepala Faiz ke dalam tanah. Faiz menggelumpur, kemudian menggulingkan badannya menjauhi lelaki bertopeng tadi. Kemudian dia cuba untuk melutut, tetapi gagal. Badan dia terlalu lemah. Sebelum rebah dia sempat berkata, "Kalau aku mati... kawan aku bebaskan Dewi!!" DUUMMMM!!! Satu penerajang tepat mengena kepala Faiz. Dan pandangan mata Faiz terus gelap. Dia sudah tidak sedarkan diri.
Melaka... 11 Mac 1588
Katarina dan Haikal sedang bersembunyi di sebalik semak. Harimau jadian yang berkumpul di hadapan mereka kini semakin ramai. Katarina mengeluh.
“Kita kena panjat Gunung Ledang. Nyawa Faiz dalam bahaya,” bisik Katarina pada Haikal.
Sebatang ranting kayu muncul di tangan Katarina. Dia cepat-cepat berdiri lalu menunjuk ke arah harimau-harimau jadian tadi. Ranting kayunya mula bercahaya.
“LEITMOTIV - NATUR ODER GENESIS.” Katarina berteriak, “Schwarzwald~!!”
Muncul ribuan dahan kayu berwarna hitam mengikat harimau-harimau jadian tadi. Dahan hitam ini muncul dari pelbagai arah, dari dalam tanah, dari atas, keluar dari celah batu, keluar dari batang pokok, keluar dari mulut harimau itu sendiri dan kini ratusan harimau jadian sudah terikat sepenuhnya dengan dahan hitam milik Katarina.
“Dah selamat. Mari kita pergi,” ajak Katarina. Ranting kayu Katarina bercahaya sekali lagi.
“LEITMOTIV – GENESIS. Schwarze Schatz~” Katarina menghalakan rantingnya ke arah langit.
Satu jalur cahaya hitam berkilauan turun dari langit. Sebaik sahaja jalur cahaya itu menyinari tubuh Katarina, asap hitam tiba-tiba muncul lalu menutup sepenuhnya tubuh Katarina. Beberapa saat kemudian, asap itu menghilang, dan kini Katarina tidak lagi berkemban. Dia sekarang kelihatan anggun dengan gaun gothic berwarna hitam yang sedang dipakainya.
“Kita pergi bersama,” Aires de Saldanha tiba-tiba menegur Katarina dan Haikal dari belakang.
“Kau buat apa kat sini?” tanya Katarina, kehairanan.
“Kenapa engkau tanya? Dah tentulah jalan paling dekat ke Gunung Ledang kena lalu tepi rumah engkau,” jawab Pedro de Escobar yang tadinya menyorok di sebalik semak kini memunculkan dirinya.
“Apa yang berlaku kat atas tu langsung tak ada apa-apa kaitan dengan korang. Korang boleh balik rumah, biar aku seorang je yang uruskan hal atas tu,” jawab Katarina.
“Tak boleh. Ini arahan dari aku,” muncul seorang lelaki Portugis berusia 60-an. Dia memakai kopiah petak yang berwarna ungu dan kain mantel berwarna kuning. Inilah lelaki yang paling berkuasa di Kota Melaka, Dom Joao Ribeiro Gaio, Biskop Kota Melaka.
“Macam mana kamu boleh kata tak ada kaitan... Apa-apa jadi di atas tu pasti ada kaitan dengan Kota Melaka, jangan kamu nak tipu aku. Kalau kamu risaukan keselamatan mereka ini, tak perlu, kerana aku akan merahmati perjalanan kalian,” Dom Joao Ribeiro Gaio berleter.
“Excelência, aku harap aku tidak terlalu tua untuk turut serta,” senyum seorang lagi lelaki yang baru tiba, Dom Alessandro Valignano. Rambutnya disikat rapi ke belakang seperti biasa. João Rodrigues pula berdiri di sebelahnya. Walaupun masih berjubah, João Rodrigues tidak lagi menutup kepalanya dengan hood. Dia tersenyum sambil mengusap-usap katana yang tersisip rapi di pinggangnya.
“Apa yang kalian tunggu lagi?” tegur Martim Afonso de Mello dari jauh. Lelaki muda ini (gaya rambutnya ala penyanyi kumpulan Beatles) terus berjalan menghampiri mereka semua dengan penuh gaya.
“Apa-apa je lah. Dah, jom pergi,” kata Katarina yang menyampah dengan mereka semua.
“Mari, aku rahmati kalian semua,” kata Biskop Kota Melaka. Tanpa membazir masa, Dom Joao Ribeiro Gaio mula menyanyikan doanya.
Kyrie~ eleison~ Benedictus qui venit~ in nomine Domini. Ave Maria, gratia plena~
Lalu dari jauh kedengaran, loceng berbunyi sebanyak tiga kali.
Tanjung Pasir, Melaka... 11 Mac 1588
Suasana di dalam balai raya kampung Melayu ini sungguh menyayat hati. 16 orang Melayu terpaksa diikat dengan rantai besi kerana sumpahan harimau jadian. Wajah mereka yang berpeluh darah, jari mereka yang mengerekot, tangisan mereka, mata putih mereka, mampu meluluhkan hati sesiapa sahaja yang melihat mereka. Tiada apa yang dapat penduduk kampung ini lakukan selain dari merantai harimau-harimau jadian ini. Terpaksa, walaupun yang dirantai ini adalah ahli keluarga mereka sendiri.
Seorang anak Melayu berumur 17 tahun berang melihat kaum keluarganya menderita sebegitu. Dia ingin buat sesuatu. Dia tidak sanggup lagi melihat tanpa berbuat apa-apa. Kalau tidak kerana Bayu, dia pasti turut serta dalam pencerobohan Kota Melaka beberapa hari lepas. Tetapi hari ini dia sudah nekad untuk pergi, tambahan pula Bayu tidak ada di kampung untuk menghalangnya. Dia perlu tahu punca kaum keluarganya disumpah menjadi harimau jadian. Maka, anak muda yang bernama Raja Bongsu ini memulakan langkahnya, keluar mencari jawapan, di puncak Gunung Ledang.
Rundok, Gunung Ledang... 11 Mac 1588
Faiz membuka mata. Dia nampak, jauh di depan, ada seorang gadis bertudung hitam, t-shirt merah lengan panjang dan berseluar jeans sedang ketawa riang. Ketawa yang kedengaran sayup-sayup. Mata gadis ini sedang melihat atas, ada sesuatu yang menarik perhatian gadis ini tetapi Faiz tidak dapat melihatnya. Faiz sangat mengenali gadis ini. Bekas kekasihnya.
“Seha...” suara Faiz, perlahan. “Seha... jangan tinggalkan kite...”
Perlahan-lahan, Seha bertukar menjadi Puteri Gunung Ledang, yang anggun berambut panjang dan berkebaya putih. Rupa-rupanya, yang Faiz lihat tadi hanyalah bayangan Seha.
“Bebaskan aku~ dan kamu akan kembali ke tempat asal mu~ Aku janji.”
Faiz tersentak dari lamunan. Puteri Gunung Ledang tidak lagi kelihatan. Segalanya yang berlaku tadi terasa seperti mimpi. Dia masih dikelilingi pokok-pokok hutan. Di depannya berdiri seorang lelaki bertopeng yang berbadan kurus dan tinggi. Tangan lelaki ini sedang memegang sebilah pedang, yang bilahnya lebih panjang dari tubuh lelaki ini. Hujung mata pedang itu sentiasa mencium tanah.
Apabila dia melihat Faiz sudah sedar, lelaki ini menoleh melihat manusia-manusia bertopeng yang lain. Gadis bertopeng yang berambut panjang kerinting bersuara, “Kamu tak dapat ambil seruling tu dari dia?”
“Tak, kalau dia dah sedar,” jawab lelaki bertopeng yang berdiri di hadapan Faiz.
Sesaat kemudian barulah Faiz teringat apa yang jadi sebelum dia pengsan tadi. Dia terus melompat untuk melarikan diri. Dua kali dia melompat. Kini dia berada betul-betul jauh dari 8 Orang Tua yang bertopeng tadi. Tiba-tiba dia terdengar suara lelaki di belakangnya.
“Bagusnya badan Major Arkana ni. Tadi dah lunyai, sekejap je dah sembuh balik.”
Dan suara itu datang dari seekor kucing. Kucing berbulu kelabu. Faiz ternganga mulut melihat lagak kucing kelabu ini. Kucing ini bersuara sekali lagi, “Kenapa? Tak pernah tengok kucing?” Kemudian, si kucing ini melompat lalu mendarat betul-betul di tepi kaki gadis berambut kerinting. “Takkan ko tak tahu, 9 Orang Tua Misteriii tu termasuk aku. Cuba kira. Tadi ada 8 Orang Tua je. Campur aku barulah cukup 9 orang, kaannnn,” kata kucing itu.
Faiz merenung kesemua 9 Orang Tua Misteri ini. Lelaki bertopeng yang mempunyai badan berotot-otot tadi berdiri betul-betul di belakang gadis bertopeng berambut kerinting. Gadis berambut kerinting itu cuba memujuk Faiz, “Sudahlah Faiz. Kamu tak letih ke? Kamu tak rasa ke ini semua membazir masa?”
“Faiz... bagi kami seruling tu. Selepas tu kami terus pergi dari sini,” kata si kucing.
Dari tersengih kini Faiz mula ketawa. Dan semakin lama semakin galak ketawa Faiz. “HAHAHAHHAHAHA. HAHAHAHA! HAHHAHAHHAHAHA! HOHOHOHO!”
Lelaki badan berotot mula berjalan ke depan untuk memukul Faiz, tetapi apabila gadis berambut kerinting menahan bahunya, dia terus menghentikan langkahnya. Apabila melihat lelaki badan berotot itu dihalang oleh si gadis berambut kerinting, maka fahamlah Faiz, gadis itu memberi peluang kepada Faiz untuk meluahkan kata-katanya.
“Hahaha bodohnya aku, tak sedar ni dari awal. Hoho nampaknya aku dah buat silap,” kata Faiz.
“Betul tu, kamu dah buat kesilapan besar. Tapi sebenarnya... kami masih boleh maafkan kamu. Kamu serahkan saje seruling tu.” “Mari, jangan takut,” kata si gadis rambut kerinting.
“Kau nak tahu apa kebodohan aku? Mari sini aku bagitau apa yang aku tak sedar selama ni,” sambung Faiz. “Selama 15 tahun, setiap kali aku rancang untuk balik ke zaman aku, mesti korang datang halang aku. Korang sanggup susah-payah datang Melaka untuk halang aku. Korang sanggup buang masa belasah aku sampai lunyai, setiap kali aku cuba cari jalan pulang. Kenapa eh? Paling aku tak sangka, aku ugut korang guna Sang Dewi ni pun korang masih berdegil. Sampai macam tu sekali... kenapa? Persoalan besar tu,” tanya Faiz.
9 Orang Tua Misteri hanya mendiamkan diri. Lalu Faiz mengambil peluang ini untuk terus berkata-kata. “Tapi tu bukan isu dier... Sebenarnya... baru sekarang aku sedar, selama 15 tahun ni, walaupun banyak kali korang pukul aku sampai lunyai, tapi aku masih hidup. Pelik kan. Dari dulu lagi korang boleh bunuh aku. Macam hari ni, korang boleh pukul aku sampai mati, tapi tak, korang biarkan aku hidup. Akhirnya barulah aku sedar, yang korang takkan bunuh aku!”
“HAHAHA! Korang tak boleh bunuh aku kan? Aku nak bebaskan Dewi. Kalau korang taknak Dewi ni bebas, aku bagi korang dua pilihan. Ikut kehendak aku, atau... bunuh aku,” cabar si Faiz.
9 Orang Tua Misteri hanya ketawa. Ketawa dan terus ketawa. Lalu si kucing bersuara, “Kami memang tak boleh bunuh ko. Tapi...”
“Faiz... kamu tak tahu ke... Dewi mahu hancurkan dunia ni... Bebaskan Dewi samalah seperti kamu bunuh diri kamu,” jelas gadis rambut kerinting.
“Macam ni lah bro. Tak guna kita panjangkan konfrontasi ni. Cuba fikir, apa pilihan ko ada? Kalau kau tak tiup seruling tu ko masih boleh hidup happy tau. Kalau ko tiup, Dewi tu sendiri bunuh ko. Tiup atau tak tiup, ko tetap takleh balik ke zaman ko. Jadi?” tanya si kucing.
Faiz tunduk. Dia sudah kehabisan akal. Faiz betul-betul mahu pulang ke tahun 2009, tetapi semuanya bergantung pada 9 Orang Tua Misteri. Malangnya 9 Orang Tua Misteri akan kerugian jika mereka ikut kehendak Faiz. 9 Orang Tua Misteri tidak mahu Faiz tinggalkan zaman ini. Tetapi, jika Faiz ikut sahaja kehendak mereka, Faiz pula yang rugi. Dan kedua-dua pihak lebih rela jika mereka semua sama-sama rugi dari membiarkan satu pihak sahaja yang menang. Sama-sama rugi. Kalau itu yang mereka mahu, fikir hati Faiz. Dengan ajaibnya, sebuah seruling zamrud yang cantik berukir tiba-tiba muncul di tangan Faiz. Tanpa membuang masa, Faiz merapatkan lubang seruling itu ke bibirnya.
“BODOH!!” “JANGAN!!!” “Halang dier!!” jerit kesemua 9 Orang Tua Misteri serentak.
Si badan berotot melompat lalu dalam masa sesaat sahaja dia sudah berada betul-betul di atas Faiz, dan dia sudah bersedia untuk memijak kepala Faiz. BAAAAAAM!! Satu hentaman yang kuat. Tetapi rupa-rupanya, yang dipijak lelaki berotot ini bukanlah kepala Faiz, tetapi lengan kanan Faiz yang tiba-tiba muncul melindungi kepalanya. Faiz berjaya menghentikan tapak kaki lelaki berotot ini hanya dengan menggunakan sebelah lengan sahaja. Badan Faiz kelihatan mengerlip seperti disaluti serbuk emas. Semakin lama semakin bersinar. “Jin-zhong?” kata lelaki badan berotot ini, yang masih terkejut melihat kerlipan emas yang menyaluti badan Faiz.
“Ingat baik-baik nama ni... Hikmat Besi Khursani Panglima Faiz,” senyum Faiz. Tetapi teknik rahsia Faiz ini hanya dapat bertahan selama 38 saat, dan teknik ini hanya dapat diaktifkan sebulan sekali. Jadi, dia perlu cepat. Tangan kanannya menahan kaki si lelaki berotot, maka tangan kirinya cepat-cepat merapatkan lubang seruling ke bibirnya. Tanpa bazir masa, seruling ditiup. Tuuuu tuuuu~ Tuuuuuut tuuuu tuuuu~ Tuuuuuut tuuuu tuuuu tuuuu~
“Celaka!” jerit si lelaki berotot. Dengan sekali rentap, dia berjaya melepaskan kakinya dari cengkaman tangan Faiz. Lelaki ini menghayunkan penumbuknya, sasarannya ialah kepala Faiz. Kemarahannya meluap-luap. Dia mahu bunuh Faiz. Tetapi kerana terlampau geram, tumbukannya tidak mengena sasaran. Hanya menumbuk angin semata-mata. Makin bertambah berang lelaki badan berotot ini. Dia menggenggam kedua-dua tangannya bersama, lalu mengangkat tangannya setinggi yang boleh. Dia ingin menukul kepala Faiz.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment