Pernahkah kalian mendengar, satu mitos, tentang Dewa-Dewi yang sedang tidur? Peristiwa sejarah yang pernah berlaku di zaman purba menjadi mitos yang dilupakan di zaman kalian. Tahukah kalian, dunia ini pernah dikuasai sepuluh Dewa dan Dewi. Mereka hidup bahagia.
Sehinggalah satu hari, satu kitab turun dari langit. Kitab yang disumpah. Tiada manusia yang sanggup membacanya. Kecuali seorang. Kecuali seorang. Seorang gadis yang bernama Asheera. Ratu Asheera. Ratu negeri Babel.
Sepuluh Dewa-Dewi menjadi sebelas. Ratu Asheera diangkat sebagai Dewi, Dewi yang baru. Tetapi Ratu Asheera memusuhi sepuluh Dewa-Dewi yang lain. Hapuskan mereka semua, kata hatinya. Tetapi bagaimana, tanya hatinya. Ditanya pada kitab yang disumpah. Maka kitab itu menjawab, anakmu. Tetapi, Ratu Asheera tidak mempunyai anak. Lalu ke seluruh negeri Sang Ratu mencari anak. Akhirnya dia berjaya temui, seorang bayi ajaib. Maka diangkat bayi itu sebagai Dewa. Anaknya Dewa.
Sepuluh Dewa-Dewi mula rasa terancam, kerana wujudnya bayi itu. Maka berperanglah mereka dengan Sang Ratu. Ketika perang inilah lahirnya 13 askar ajaib. 13 askar ajaib yang dilahirkan dengan satu tujuan, iaitu melindungi Anak Dewi Asheera. Tetapi 13 askar ajaib ini tidaklah sekuat Dewa dan Dewi. Jadi bagaimana mereka mahu melindungi Anak Dewi Asheera?
Akhirnya mereka mendapat ilham, untuk menewaskan Dewa dan Dewi, mereka perlukan helah. Apakah helah mereka? Helah mereka berbentuk Senjata Ghaib. Senjata Ghaib yang tidak mampu membunuh Sang Dewa and Dewi, tetapi dapat mengurung mereka.
Mengurung sepuluh Dewa dan Dewi, buat selama-lamanya.
~+~+~+~+~+~+~+~+~+~+~+~+~+~
Fortaleza de la Malacca... 9 Mac 1588
“Kenapa tiba-tiba je ni? Macam mana kau boleh jumpa cara nak balik ke tahun 2009?” tanya Haikal.
“Aku terfikir satu rancangan, yang takkan gagal. 9 Orang Tua tu terpaksa hantar kita balik, dorang takde pilihan,” balas Faiz.
“Wait, wait wait wait. Habis, apa kejadahnya dengan Major Arkana lah, Epal Hitam lah kalau kau boleh je suruh 9 Orang Tua tu hantar kita!” maki Haikal.
Faiz memandang tepat mata Haikal. Dia menarik nafas panjang sebelum menghembusnya perlahan.
“Sebab kalau ikutkan tak boleh! Gila apa nak suruh dorang hantarkan kita balik ke zaman kita. Silap hari bulan, kita tak balik ke zaman kita, tapi kita balik ke alam barzakh,” balas Faiz.
“Ah sudah. Tak boleh pula. Habis tadi kata nak minta dorang tolong hantarkan kita,” kata Haikal.
“Bukan minta tolong, tapi ugut dorang. Ugut dorang suruh dorang hantarkan kita,” jawab Faiz.
“Ugut? Nak ugut dorang dengan apa?”
“Haikal! Kau nak balik ke tak nak ni? Kalau nak balik, ikut je rancangan aku ni.”
“Ok, apa rancangan kau?” tanya Haikal.
Faiz tidak mahu memberitahu semua rancangannya kepada Haikal. Satu, sebab dia takut Haikal secara tidak sengaja mendedahkan rancangan itu pada Katarina. Dua, rancangannya gila.
“Ok, mulai esok kau kena selalu lepak dengan Katarina, siang malam temankan dia, bawa dia jalan-jalan. Buat lah apa saje janji korang berdua dating dari pagi sampai malam,” senyum Faiz.
“Kenapa?” tanya Haikal kehairanan.
“Sebelum apa-apa, aku nak pergi siasat sesuatu, tapi aku taknak Katarina tahu. Aku takut Katarina kacau rancangan aku kalau dia tahu,” jawab Faiz.
“Sebenarnya apa yang kau tengah plan ni?” tanya Haikal lagi.
“Nanti kau tahulah,” jawab Faiz.
Haikal merentap tangan Faiz, “Bagitau aku sekarang. Aku taknak bila aku dah hilang kerja, tiba-tiba rancangan kau pula tak menjadi.”
“Kerja boleh cari bro. Aku pun boleh offer kau kerja. Tapi, kau taknak balik ke zaman kita ke?”
Terdiam Haikal mendengar pertanyaan Faiz. Dia melepaskan tangan Faiz.
“Kau nak aku lepak dengan Katarina sepanjang hari, bagi dia busy. Itu je?” tanya Haikal.
“Yup, itu je,” jawab Faiz.
Haikal mengangguk lalu terus pulang meninggalkan Faiz. Sebaik sahaja Haikal hilang dari pandangannya, Faiz terus berjalan menuju ke rumah estetnya. Jauh berjalan akhirnya Faiz sampai di rumah mewahnya, rumah batu dua tingkat yang terletak di tengah-tengah dusun miliknya, dusun yang terletak agak jauh dari Kota Melaka.
Sebaik sahaja Faiz melangkah masuk ke dalam rumah, dia memetik jarinya. Tap! Dengan ajaibnya seluruh rumah diterangi pelita. Faiz tidak membuang masa, dia terus ke bilik besar di bahagian belakang rumahnya. Di dalam bilik besar ini, dia membuang permaidani ke tepi lalu terdedahlah pintu di atas lantai, pintu untuk ke bilik bawah tanah.
Faiz nyalakan pelita di dalam bilik bawah tanah ini. Bilik bawah tanah ini ada tiga rak yang dipenuhi buku, tiga kotak kayu dan tiga almari pakaian. Faiz membuka almari pakaian. Ada gantungan baju-baju gaun pelbagai warna. Faiz menyentuh setiap pasang baju gaun ini dengan perasaan sayu. Selepas menutup kembali almari pakaian ini, dia berjalan menuju rak buku pula.
Faiz mengambil sebuah buku. Kemudian dia menyelak satu persatu muka surat buku ini. Kenangan bersama isteri tiba-tiba menjelma di dalam fikirannya.
Margarita meletakkan buku yang sedang dibacanya, lalu membiarkan Faiz mencium dahinya. Sambil tersenyum Margarita berkata, “Abah kata... di dunia ni ada banyak Dewa dan Dewi. Tapi mereka dah dikurung. Abah kata kalau ada orang tolong bebaskan Dewa Dewi tu, Dewa Dewi tu akan makbulkan apa saja permintaan orang tu.”
“Oh, macam jin dalam botol,” kata Faiz dalam dunia hitam putih itu.
“Abah kata, kalau kita betul-betul nak bebaskan Dewa Dewi tu, kita kena cari ‘senjata’ yang kurung mereka,” kata Margarita.
“Sebab senjata yang sama je dapat bebaskan mereka balik?” balas Faiz.
Suara Margarita menjawab “Ya” masih kedengaran ketika bayangan silam Faiz sudah pun hilang. Faiz merenung lama halaman buku yang ada di tangannya, ada lukisan seorang gadis yang dikelilingi rama-rama. Di bahagian bawah halaman ini ada lukisan seruling.
“Senjata Ajaib...” bisik hati Faiz.
“Abang nak tahu, sebenarnya di Melaka ni pun ada Dewa Dewi yang sedang dikurung,” wajah Margarita kembali bermain di dalam fikiran Faiz.
“Oh, ada juga ke? Dewa Dewi yang mana?”
“Abang pernah dengar kisah Puteri Gunung Ledang? Kalau abang nak tahu, Puteri Gunung Ledang tu sebenarnya salah seorang Dewi itulah. Mereka kurung dia di atas puncak gunung tu.”
Faiz kembali ke realiti apabila matanya terpandang kotak kayu yang terletak betul-betul di sebelah rak buku. Faiz menghampiri kotak kayu itu lalu membuka penutupnya. Ada satu bakul yang dipenuhi botol-botol hitam tersimpan di dalam kotak kayu itu.
Suara Margarita kedengaran di telinganya, suara dari memori silamnya, “Abang... tengok ni. Dalam botol ni ada serbuk istimewa. Abah yang ajar Ita. Ni Ita buatkan untuk abang.”
“Ni serbuk untuk apa sayang?” tanya Faiz.
Lamunan Faiz terhenti apabila dia terdengar suara di ruang tamu. Faiz cepat-cepat mengambil satu botol hitam dari kotak kayu itu. Dia kemudian naik ke atas, terus ke ruang tamu. Sebaik sahaja sampai di ruang tamu, dia ternampak seorang lelaki berjambang berbadan gergasi berdiri di depan pintu. Antonio Fernandez.
“Oh amigos. Marilah masuk,” pelawa Faiz, membawa tetamunya duduk di sofa mewah yang menghiasi ruang tamunya. “Dom Antonio Fernandez, aku ada satu permintaan. Kalau ikut jadual, malam esok Tuan ditugaskan untuk soal siasat Bayu Merah. Jadi permintaan aku ialah, Tuan tukar dengan aku, biar aku yang pergi soal siasat Bayu Merah malam esok,” pinta Faiz. “Boleh kawanku, boleh. Kau mintalah apa saja, aku pasti kata boleh,” jawab Antonio Fernandez.
Faiz pun tersenyum. Rancangannya bermula.
Hilir, Melaka... 10 Mac 1588
Awal pagi lagi Haikal sudah berjalan ke Hilir. Dia rasa bertanggungjawab untuk memberitahu Eredia tentang rancangannya untuk menemani Katarina sepanjang hari. Dia tidak mahu terikut dengan perangai tidak bertanggungjawab Faiz. Dia benci Faiz kerana sanggup membiarkan pensyarahnya tertunggu-tunggu laporan projeknya, pemalas yang tidak mahu menghantar kerjanya lalu menghilangkan diri tanpa memberitahu sesiapa. Mengikut pendapat Haikal, dunia ini sungguh tidak adil apabila Faiz menjadi orang paling kaya sedangkan Faiz ialah orang yang paling tidak bertanggungjawab dan paling pemalas dia pernah jumpa.
Di rumah Eredia, Haikal memberitahu rancangannya untuk mengajak Katarina keluar berjalan-jalan. Eredia tidak menghalang, malah dia memberi Haikal tugasan luar pula. Jadi Haikal tidak perlu lagi datang ke rumah Eredia, keluar berjalan-jalan sekitar Kota Melaka pun sudah cukup untuk selesaikan tugasannya. Antara tugasan Haikal ialah merekodkan semua jenis bot dan kapal yang ada di Pelabuhan Melaka, purata kelajuan mereka, jenis muatan, dan jumlah orang yang diperlukan untuk mengendalikannya. Haikal terima tugasan itu dengan senang hati.
Sebaik sahaja selesai urusan di rumah Eredia, Haikal terus berjalan ke rumah Katarina. Faiz sudah menasihati Haikal agar tidak pergi ke rumah Katarina awal pagi kerana Katarina suka bangun lewat. Kebiasaannya Katarina akan bangun pada waktu tengahari.
Di kiri kanan Haikal sekarang penuh dengan semak belukar dan pokok hutan. Dia berada di atas denai, sedang tercari-cari jalan menuju ke rumah Katarina. Rumah Katarina terletak di dusun persendirian yang terletak di luar Kota Melaka. Dusun milik Katarina terletak bersebelahan dengan tanah dusun Faiz. Oleh kerana itulah Faiz rapat dengan Katarina.
“Kamu cari rumah Faiz ke? Rumah Faiz di hujung sana,” kedengaran suara Katarina menegur Haikal dari belakang.
Haikal menoleh ke belakang lalu tersenyum memandang wajah cantik Katarina.
“Eh tak. Saya cari awak lah.”
“Cari saya? Kenapa?” tanya Katarina.
“Saya nak ajak awak jalan-jalan kat Kota Melaka. Faiz sibuk, tapi ada banyak lagi tempat yang saya belum pergi. Contohnya, area Kolej Jesuit tu,” senyum Haikal. Umpama bulan jatuh ke riba, Katarina terus berlari riang, lalu menarik tangan Haikal agar Haikal turut sama berlari. Sambil tersenyum riang Katarina berkata, “Jom.”
Rua Direita, Kota Melaka... 10 Mac 1588
Faiz sedang merenung Fortaleza Velha, bangunan kubu yang besar dan gagah, dengan menara setinggi 8 tingkat. Faiz kagum setiap kali melihat pencakar langit ini, tidak padan dengan zaman. Faiz melihat bangunan-bangunan teres di sekeliling menara ini pula. Dinding putih mula menjadi gelap. Ada alur-alur hitam. Kesan tompok-tompok basah dan kulat di dinding.
Yang putih mula menjadi hitam. Itulah yang Faiz rasa sedang berlaku di dalam hatinya sekarang. Ketika Faiz sedang sedap dibuai angan-angan tiba-tiba dia tersentak, lalu dia mula berlari anak mengejar seorang pegawai Portugis yang melintas di hadapannya tadi.
“Dom Aires de Saldanha!” jerit Faiz.
Sebaik sahaja de Saldanha menoleh, Faiz pun terus memulakan bicara, “Tentang benda yang orang Melayu tengah cari tu, adakah benda tu ada kaitan dengan 9 Orang Tua Misteri? Aku taknak bazirkan masa aku kalau benda tu takde kaitan dengan 9 Orang Tua Misteri.”
Tanpa teragak-agak de Saldanha terus menjawab, “Ya, ada kaitan. 9 Orang Tua Misteri pasti menghadiahkan kamu sesuatu jika kamu berjaya halang mereka.”
“Apa jadi kalau aku yang jumpa benda tu? Kalau aku bagi kat kau, berapa hari pula kau perlukan untuk serahkan benda tu ke tangan 9 Orang Tua Misteri?” tanya Faiz.
“Kenapa kamu nak tahu berapa hari? Aku tak rasa itu urusan kau. Urusan kau ialah jangan bagi orang Melayu tu dapat apa yang mereka cari, dan kalau kau yang dapat benda tu, serahkan terus kat aku. Faham kan,” kata de Saldanha dengan tegas.
“Aku tak percayakan kau...” balas Faiz, satu cubaan untuk memancing jawapan de Saldanha. Tapi Aires de Saldanha tidak mengambil endah kata-kata Faiz lalu mula berjalan pergi.
“Hahaha. Tentu sekali kau tak tahu berapa hari yang kau perlukan! Mengaku ajelah de Saldanha oiiii, sebenarnya kau sendiri pun tak tahu macam mana nak hantar benda tu kat mereka! Jadi... biar aku je yang simpankan benda tu sampai Orang Tua tu balik Melaka,” kata Faiz lagi.
“Apa yang kau merepek ni? Aku tak perlu hantar benda tu kat 9 Orang Tua tu. Mereka sendiri yang datang ambil,” balas Aires de Saldanha.
“Berapa hari? Berapa hari baru dorang dapat tahu?” senyum Faiz.
“Sebaik sahaja aku dapat benda tu, mereka akan tahu. Aku boleh berhubung dengan 9 Orang Tua tu bila-bila masa yang diperlukan, dan mereka pun boleh datang ke sini bila-bila masa yang mereka mahu. Puas hati?” jawab Aires de Saldanha.
“Ya. Kalau secepat mungkin, aku tak risau. Aku takut kalau berhari-hari je,” kata Faiz.
Sebenarnya jawapan dari Aires de Saldanha ada kaitan dengan rancangan Faiz. Nampaknya setakat ini rancangannya berjalan lancar, fikir hati Faiz.
Nossa Senhora da Annunciada, Kota Melaka... 10 Mac 1588
Haikal dan Katarina sedang menikmati pemandangan indah dari atas puncak bukit yang dahulunya dikenali dengan nama Bukit Melaka. Di belakang mereka, Gereja St. Paul berdiri megah. Gereja St. Paul ialah nama yang Haikal tahu. Di zaman moden, dia pernah melawat runtuhan gereja ini. Di tahun 1588, gereja ini dikenali dengan nama Nossa Senhora da Annunciada. Masih cantik, masih sempurna, masih gagah berdiri, masih mempunyai bumbung tidak seperti runtuhannya di tahun 2009.
Cantik sungguh lautan biru, tambah cantik apabila dilihat dari atas bukit, kata hati Haikal. Walaupun berbeza zaman dahulu dan zaman moden, pemandangan dari atas puncak bukit ini sentiasa cantik. Mengagumkan. Memukau. Mempesona sepanjang zaman. Yang bezanya, di zaman ini, lautan kelihatan lebih dekat dengan Bukit Melaka berbanding di zaman moden di mana lautan terletak lebih jauh ke hujung, dan bangunan-bangunan teres di zaman ini kelihatan sungguh eksotik di mata Haikal. Klasik dan natural, kombinasi yang memukau hati Haikal.
“Cantik kan Kota Melaka ni,” bisik Katarina pada telinga Haikal.
Haikal hanya membalas dengan senyuman.
“Di tempat asal saya tak ada laut. Pertama kali saya dapat lihat laut dan pantai, saya rasa teruja. Bertambah gembira bila adik saya pun ada bersama saya ketika itu,” kata Katarina.
“Oh, awak ada adik?” tanya Haikal
Katarina terdiam agak lama sebelum menyambung, “Awak tengok saya ni bukan orang Melayu tapi saya bukan orang agama Kristian pun. Kristian tanah Inggeris atau Kristian tanah Portugis, saya bukan kedua-duanya. Saya tak naik bukit ni kerana gereja di belakang kita. Gereja ini untuk mereka dan agama mereka, bukan untuk saya. Bukan orang Portugis, bukan orang Kristian. Mungkin Kota Melaka ini bukan tempat saya. Bila fikir balik, saya dan awak tiada beza kan.”
“Jadi, kenapa awak datang sini, kenapa awak tak tinggalkan je tempat ni?” tanya Haikal.
“Sebab awak. Saya masih di sini sebab saya tunggu awak,” jawab Katarina.
Walaupun Haikal tidak mengerti jawapan Katarina, tetapi tidaklah pula dia mahu mendesak Katarina menjelaskan jawapan tadi. Pertama kali dia berasa lebih baik dia menutup mulutnya dari terus bertanya. Ada persoalan yang tidak perlu dijawab serta-merta, fikir hatinya.
Haikal menatap wajah gadis yang bernama Katarina ini. Cantik. Mata biru. Pipi putih kemerahan. Tambah seri apabila rambut merah Katarina beralun-alun mengerbang ditiup angin. Katarina kemudian menjeling, membalas pandangan mata Haikal. Katarina tersenyum manis. Angin kuat yang sentiasa bertiup telah menolak sebahagian rambut Katarina menutup matanya. Sesekali, apabila dia rimas, dia menyelak rambut merahnya ke belakang. Sesekali dia membiarkan sahaja angin kuat meniup wajahnya sambil pejamkan matanya.
“Sedapnyaaa angin ni,” kata Katarina yang masih pejamkan matanya.
“A’ah. Saya pun suka angin semulajadi ni. Angin ciptaan manusia memang tak boleh lawan angin real ni. Angin dari Tuhan,” senyum Haikal.
“Awak nak tahu, salah satu sebab kenapa Portugis sanggup tawan Melaka, sebab angin ni lah. Orang Portugis suka angin kat Melaka ni. Angin segar ni dapat berikan mereka seribu nikmat. Angin yang sihat kata mereka. Kalau tak percaya, tanyalah mana-mana pegawai berbangsa Portugis, tanya betul ke angin Melaka ni salah satu khazanah negara,” kata Katarina.
“Khazanah eh? Tak sangka,” balas Haikal.
“Jadi, berbalik kepada topik asal... saya tak rasa Melaka ni tempat saya. Tiada satu pun kat Melaka ni yang ada kaitan dengan saya,” luah Katarina.
“Tapi anehkan, ini tempat orang tapi saya masih boleh ada saat-saat istimewa saya sendiri. Tambah istimewa apabila setiap hari, saya lihat mereka semua ni gembira, menikmati apa yang mereka ada. Saya pun gembira bila orang di sekeliling saya gembira. Dan saya tak sanggup menjadi punca mereka bersedih, walaupun mereka takde kaitan dengan saya,” luah Katarina.
“Lagipun apa salahnya saya lindungi kegembiraan orang lain, ” senyum Katarina.
Haikal pun senyum, kerana kata-kata Katarina betul-betul mengena batang hidungnya, “Jadi Faiz dah beritahu awak pasal bom nuklear...”
“Taklah. Cikgu si Faiz, Pedro de Escobar, dia yang kecohkan hal nuklear tu semasa mesyuarat ahli Senado da Camara. Hehehe sekarang semua pegawai dah tahu pasal nuklear tu. Cuma kami takleh bayangkan aje tahap kemusnahan nuklear tu,” balas Katarina.
“Semua orang dah tahu? And korang buat tak kesah je? Well, nampaknya korang tak ambil serius ancaman nuklear aku. Mungkin macam yang awak cakap tadi, korang takleh bayangkan kedasyatan nuklear,” keluh Haikal.
“Patut ke... awak gunakan nuklear? Untuk apa? Sebenarnya Haikal.... saya pun tak pasti awak serius atau tak tentang nuklear tu...”
“Karma. Biar mereka rasa takdir yang kami pernah rasa, selama beratus tahun,” jawab Haikal.
“Awak nak gunakan nuklear... kerana dendam?” tanya Katarina.
“Aku rasa korang dah boleh stop cakap pasal nuklear. It’s not funny anymore. Sebenarnya, aku takde lah serius sangat nak nuklearkan Melaka ni. Tetapi... aku pun tak main-main bila aku dah decided untuk letupkan Melaka ni. Half joke. Half lagi my inner desire, to see all of them, burn to ashes,” luah Haikal. Hari semakin redup apabila awan gelap mula menutupi matahari.
“Awak kena faham. Saya tak bawa apa-apa masa saya datang ke dunia ni. Saya takde apa-apa. My effort, my work, my dream, semuanya dah tertinggal di dunia masa depan. Jadi saya kena start semula. Mulakan hidup baru. Tapi untuk mulakan hidup baru, saya perlukan motivasi. Saya dah hilang semua cita-cita saya, dah musnah. Takde cita-cita, takdelah motivasi. Pendek cerita, saya cipta motivasi baru. I have to start somewhere right?” jelas Haikal.
“Untuk balik ke masa depan, itu tak cukup ke untuk jadi motivasi awak?” tanya Katarina.
“Well... jujurnya, cari cara nak balik ke masa depan tak seseronok meletupkan sebuah kota musuh dengan nuklear. Di dunia saya, takde siapa boleh guna bom nuklear. Di sini saya ada peluang untuk mencuba ilmu yang saya ada,” balas Haikal.
“Tapi mereka semua ni manusia! Manusia yang bernyawa! Kamu tak rasa bersalah ke membunuh ribuan manusia?”
“Mereka semua ni dah tak wujud lah! Bernyawa? Tak! Dulu memang mereka pernah bernyawa, tapi itu dulu! 400 tahun dahulu! Sekarang tahun 2009! Tahun 2009!” Haikal meninggi suara.
Katarina mula mengurut dahinya, kemudian dia menyelak rambutnya ke belakang. “Haikal, nampaknya awak tak faham lagi pasal garis masa. Saya ingatkan selepas saya terangkan hari tu awak dah faham...”
“Hehehehehe, jangan risaulah pasal nuklear tu. Saya dah hilang minat. Betul cakap awak, Kota Melaka ni memang cantik, saya tak sanggup musnahkannya,” kata Haikal, sambil melihat laut.
“Hmm... jadi, nuklear tu hanyalah gurauan? Awak... walaupun saya dapat membaca fikiran awak, saya tetap tak dapat fahami hati awak. Awak nampak macam serius, tapi sebenarnya awak sedang bergurau,” berkerut dahi Katarina.
“Gurauan yang serius! Saya nyaris mati tau sebab kes nuklear ni, nyaris rentung. Sampai sekarang saya masih trauma dengan api tau,” senyum Haikal.
Katarina mendekati Haikal. Tangannya memegang lembut tangan Haikal. Katarina merapatkan bibirnya pada telinga Haikal, lalu suara merdunya berbisik, “Saya nak ajar awak sesuatu. Untuk pertahanan diri. Saya ajar awak satu ilmu Alkemi.... yang dipanggil... Lembing Api.”
Katarina meminta Haikal menunjukkan tapak tangannya. Kemudian, dia menyentuh pipi Haikal.
“Cubalah,” kata Katarina.
Ajaibnya, Haikal tiba-tiba tahu sedikit tentang Alkemi. Dia mengangkat sedikit tapak tangannya. Maka muncul lah orang lidi yang diperbuat daripada api. Orang lidi berapi ini mula menari di atas tapak tangan Haikal. Kemudian dia memusingkan dirinya seperti gasing. Berpusing dengan laju sehingga membentuk bebola api yang berputar ligat di atas tapak tangan Haikal.
Haikal terkejut melihat orang lidi tadi tiba-tiba bertukar menjadi bebola api, cepat-cepat tangannya mencampakkan bola api itu ke tanah. Belum sempat menyentuh tanah, Katarina menukar bebola api tadi menjadi bebola kaca. Maka pecahlah bebola kaca itu di atas tanah.
“Awak... janganlah takut. Sekarang ilmu tu dah jadi sebahagian dari badan awak. Itulah senjata awak. Awak tahu silat kan, jadi awak boleh selitkan ilmu api ni dalam langkah silat awak.”
Hujan pun turun. Mula-mula rintik sahaja tetapi semakin lama semakin lebat. Katarina cepat-cepat menarik tangan Haikal, mengajak Haikal berlindung di dalam gereja. Setelah masuk, Haikal dan Katarina mencari tempat duduk paling hujung, paling belakang. “Oh, macam ni rupa dalam gereja,” fikir hati Haikal. Ini kali pertama dia menjejakkan kaki ke dalam gereja. Jauh di hadapan mereka, di sebelah altar, ada sekumpulan remaja Portugis sedang berlatih koir. Suara mereka hampir menenggelamkan bunyi hujan di luar. Di dalam gereja batu ini bunyi hujan kedengaran sayup-sayup. Hujan yang turun mengingatkan Katarina pada kata-kata Faiz tempoh hari. Katarina mula memeluk lututnya. Sayu. Air mata mengalir di pipi. Dia rindukan rumahnya.
“Eh awak, kenapa awak nangis ni?” tanya Haikal.
“Saya rindukan rumah saya...”
“Emm... Nak cerita kat saya pasal rumah awak?”
Katarina diam membisu. Air mata terus mengalir. Menitis jatuh, setitis demi setitis.
Laadaaamus te~ Benedicimus te~ Adoraaamus te~ Glorifika muus te~
Hanya suara anak-anak Portugis ini sahaja yang menjadi halwa telinga Haikal. Katarina masih tidak mahu berbicara. Akhirnya selepas setengah jam, barulah Katarina bersuara. “Rumah saya di Praha, di sebelah sungai Vltava,” kata gadis berambut merah ini.
“Selepas saya dan adik saya tinggalkan rumah kami di Praha, hidup kami mula berubah. Mungkin... kami tak patut tinggalkan Praha... Sekarang, walaupun saya dapat putar balik masa, saya tetap tak dapat ubah hakikat... adik saya dah tinggalkan saya...”
Katarina mula merebahkan kepalanya pada bahu Haikal, “Kalau saya dapat pulang ke masa silam saya... saya tak rasa saya boleh betulkan balik kesilapan saya.... mungkin saya jadi macam awak, bukan ke masa silam... tapi ke dunia lain... Kalau pun saya dapat pulang... ke masa silam... saya tahu... hati saya boleh terluka, buat kali kedua...”
Kali ini Haikal pula membisu. Dia tidak tahu cara untuk menghentikan tangisan seorang gadis. Ini kali pertama dalam hidupnya, seorang gadis menangis di sebelahnya. Haikal tetap rasa dia perlu lakukan sesuatu. Perlahan-lahan Haikal mengambil jari Katarina, lalu membelainya dengan lembut. Tetapi, dengan tiba-tibanya, Katarina merentap jarinya. Tambah mengejut apabila dia terus memeluk badan Haikal, seeratnya.
Haikal rasa kekok dipeluk gadis cantik yang sedang menangis. Akhirnya, mereka berdua sama-sama membisu. Dan nyanyian koir di dalam gereja ini terus menemani mereka berdua.
Quia fecit mihi magna quiii~ po~ tens~ est.
Et sanctum no~ men~ ei~ hus.
Hospital Raja, Kota Melaka... 10 Mac 1588
Akhirnya malam pun tiba. Faiz baru sahaja selesai menguji bahan di dalam botol hitam yang telah ditinggalkan arwah isterinya. Bukan sahaja menguji, dia juga telah menggandakan jumlah bahan itu, dari satu botol menjadi empat.
Dia mengemas sedikit makmalnya sebelum bergerak pergi, menuju ke penjara, yang terletak jauh ke dalam sebuah bangunan yang dipanggil Fortaleza Velha.
Fortaleza Velha, Kota Melaka... 10 Mac 1588
Alangkah merdunya suara Bayu Merah berzikir memuji nama Allah. Subhanallah walhamdulillah walaa ilaha illallah wallahuakbar~
Allah Allah~ Allah Ya Allah~ Bilik penjara yang mengurung Bayu gelap gelita tanpa pelita. Tapi dalam pandangan mata Bayu, bilik ini seolah-olah diterangi cahaya. Matanya dapat melihat dengan jelas segala retak di lantai dan di dinding. Sedangkan butiran pasir yang halus pun dia dapat melihatnya, biarpun di dalam gelap. Sudah 4 hari dia dikurung di dalam bilik gelap ini. ‘Pelawat’ pun ramai, semuanya mendesak dia memberi jawapan.
Aneh sekali, dia sendiri tidak tahu, apa yang dia cari di sini? Kenapa dia sanggup cari? Siapa yang suruh dia cari? Dia langsung tidak tahu. Kepalanya terasa berat. Syukur pada Tuhan, beban yang berat di kepalanya berkurangan setelah berzikir. Tetapi keanehan yang berlegar di dalam fikirannya tidak mahu hilang. Kenapa? Siapa? Apa? Apa yang dia cari? Siapa? Siapa yang suruh? Satu perkara sahaja yang Bayu begitu pasti, seseorang sedang mengawal mindanya, dan dia bersumpah dia tidak akan biarkan orang itu terus menguasai mindanya. Dia perlu lakukan sesuatu.
No comments:
Post a Comment