Saturday, 21 February 2015

Teaser XII

Ada dua orang gadis bertopeng emas. Mereka tidak sama tinggi. Gadis yang lebih tinggi berambut panjang lurus. Gadis yang lebih rendah pula berambut panjang kerinting. Kedua-duanya berambut hitam.

Dan gadis berambut kerinting memulakan bicara, "Ini tak bagus. Kami tak sepatutnya muncul di sini. Tempat ini kami dah pilih Biskop sebagai pemimpin. Kami dah pilih Gabenor Goa sebagai pengawas. Aires de Saldanha sebagai utusan kami. Katerina sebagai penjaga kamu. Semua dah lengkap, dah disusun baik-baik. Tidak adil kamu rosakkan segalanya hanya kerana kamu rasa kamu ni betul."

Faiz menarik nafas sedalamnya sebelum menjawab, "Aku bukan nak rosakkan segalanya. Aku cuma nak balik ke zaman aku. Aku terpaksa..."

BUUUUKKK!!! Perut Faiz ditumbuk dengan kuat. Darah tersembur keluar dari mulut Faiz. Dia ditumbuk seorang lelaki bertopeng emas yang mempunyai badan besar berotot-otot. Lelaki ini kemudian menghayunkan penumbuk kirinya menumbuk tempurung kepala Faiz, dan penumbuk ini terus menolak kepala Faiz menghentam batu gunung sekuatnya. Hancur berderai batu gunung ini.

Darah memancut-mancut keluar dari kiri dan kanan kepala Faiz. Keseluruhan kepala dan bahu Faiz kini berlumuran darah. Dalam pening-pening Faiz masih boleh bersuara, "Aku cuma nak korang..."

BAAMMM!! Satu tumbukan padu melekat di kepala Faiz. Impak tumbukan ini menyebabkan kepala Faiz dengan lajunya menghentam lantai bumi. Tidak cukup melihat Faiz rebah meniarap di atas lantai, lelaki bertopeng ini menerajang perut Faiz. Tubuh Faiz melayang jauh.

Lelaki bertopeng tadi menghampiri Faiz lalu dengan sebelah tangan sahaja dia mengangkat tubuh Faiz ke udara. Jarinya mencengkam kuat leher Faiz. "Kamu cakap apa?" tanya lelaki ini.

Mulut Faiz penuh darah, tetapi dia masih boleh bersuara, "Tolong... Aku... cuma nak korang hantar kami balik."

BAAMMMMMM!!! Lelaki bertopeng ini menghempaskan tubuh Faiz ke bumi sehingga bergegar seluruh tanah Gunung Ledang. "Kamu cakap apa?" sekali lagi lelaki bertopeng ini bertanya.

Faiz batuk darah. Darah merecik keluar dari hidung. Gigi Faiz hampir tidak kelihatan kerana dipenuhi darah yang pekat dan likat. Faiz mula merengek kesakitan.

Sia-sia~ Mereka tidak akan dengar kata-kata kamu~ Jangan biarkan mereka bunuh kamu~ Bebaskan aku~ Aku mahu tolong kamu~” suara Puteri Gunung Ledang bergema di dalam telinga Faiz. Faiz tahu, cuma dia seorang sahaja dapat mendengar suara Dewi Gunung Ledang. “Jangan... Belum lagi masanya...” Faiz memujuk hatinya.

Faiz, walaupun lemah, dia masih boleh bertutur kata, "Kalau kau bunuh aku... kawan aku tiup seruling tu." BAAMMM!!! Satu lagi tumbukan membenam kepala Faiz ke dalam tanah. Faiz menggelumpur, kemudian menggulingkan badannya menjauhi lelaki bertopeng tadi. Kemudian dia cuba untuk melutut, tetapi gagal. Badan dia terlalu lemah. Sebelum rebah dia sempat berkata, "Kalau aku mati... kawan aku bebaskan Dewi!!" DUUMMMM!!! Satu penerajang tepat mengena kepala Faiz. Dan pandangan mata Faiz terus gelap. Dia sudah tidak sedarkan diri.

Melaka... 11 Mac 1588

Katarina dan Haikal sedang bersembunyi di sebalik semak. Harimau jadian yang berkumpul di hadapan mereka kini semakin ramai. Katarina mengeluh.

“Kita kena panjat Gunung Ledang. Nyawa Faiz dalam bahaya,” bisik Katarina pada Haikal.

Sebatang ranting kayu muncul di tangan Katarina. Dia cepat-cepat berdiri lalu menunjuk ke arah harimau-harimau jadian tadi. Ranting kayunya mula bercahaya.

LEITMOTIV - NATUR ODER GENESIS.” Katarina berteriak, “Schwarzwald~!!”

Muncul ribuan dahan kayu berwarna hitam mengikat harimau-harimau jadian tadi. Dahan hitam ini muncul dari pelbagai arah, dari dalam tanah, dari atas, keluar dari celah batu, keluar dari batang pokok, keluar dari mulut harimau itu sendiri dan kini ratusan harimau jadian sudah terikat sepenuhnya dengan dahan hitam milik Katarina.

“Dah selamat. Mari kita pergi,” ajak Katarina. Ranting kayu Katarina bercahaya sekali lagi.

LEITMOTIV – GENESIS. Schwarze Schatz~ Katarina menghalakan rantingnya ke arah langit.

Satu jalur cahaya hitam berkilauan turun dari langit. Sebaik sahaja jalur cahaya itu menyinari tubuh Katarina, asap hitam tiba-tiba muncul lalu menutup sepenuhnya tubuh Katarina. Beberapa saat kemudian, asap itu menghilang, dan kini Katarina tidak lagi berkemban. Dia sekarang kelihatan anggun dengan gaun gothic berwarna hitam yang sedang dipakainya.

“Kita pergi bersama,” Aires de Saldanha tiba-tiba menegur Katarina dan Haikal dari belakang.

“Kau buat apa kat sini?” tanya Katarina, kehairanan.

“Kenapa engkau tanya? Dah tentulah jalan paling dekat ke Gunung Ledang kena lalu tepi rumah engkau,” jawab Pedro de Escobar yang tadinya menyorok di sebalik semak kini memunculkan dirinya.

“Apa yang berlaku kat atas tu langsung tak ada apa-apa kaitan dengan korang. Korang boleh balik rumah, biar aku seorang je yang uruskan hal atas tu,” jawab Katarina.

“Tak boleh. Ini arahan dari aku,” muncul seorang lelaki Portugis berusia 60-an. Dia memakai kopiah petak yang berwarna ungu dan kain mantel berwarna kuning. Inilah lelaki yang paling berkuasa di Kota Melaka, Dom Joao Ribeiro Gaio, Biskop Kota Melaka.

“Macam mana kamu boleh kata tak ada kaitan... Apa-apa jadi di atas tu pasti ada kaitan dengan Kota Melaka, jangan kamu nak tipu aku. Kalau kamu risaukan keselamatan mereka ini, tak perlu, kerana aku akan merahmati perjalanan kalian,” Dom Joao Ribeiro Gaio berleter.

“Excelência, aku harap aku tidak terlalu tua untuk turut serta,” senyum seorang lagi lelaki yang baru tiba, Dom Alessandro Valignano. Rambutnya disikat rapi ke belakang seperti biasa. João Rodrigues pula berdiri di sebelahnya. Walaupun masih berjubah, João Rodrigues tidak lagi menutup kepalanya dengan hood. Dia tersenyum sambil mengusap-usap katana yang tersisip rapi di pinggangnya.

“Apa yang kalian tunggu lagi?” tegur Martim Afonso de Mello dari jauh. Lelaki muda ini (gaya rambutnya ala penyanyi kumpulan Beatles) terus berjalan menghampiri mereka semua dengan penuh gaya.

“Apa-apa je lah. Dah, jom pergi,” kata Katarina yang menyampah dengan mereka semua.

“Mari, aku rahmati kalian semua,” kata Biskop Kota Melaka. Tanpa membazir masa, Dom Joao Ribeiro Gaio mula menyanyikan doanya.

Kyrie~ eleison~ Benedictus qui venit~ in nomine Domini. Ave Maria, gratia plena~

Lalu dari jauh kedengaran, loceng berbunyi sebanyak tiga kali.

Tanjung Pasir, Melaka... 11 Mac 1588

Suasana di dalam balai raya kampung Melayu ini sungguh menyayat hati. 16 orang Melayu terpaksa diikat dengan rantai besi kerana sumpahan harimau jadian. Wajah mereka yang berpeluh darah, jari mereka yang mengerekot, tangisan mereka, mata putih mereka, mampu meluluhkan hati sesiapa sahaja yang melihat mereka. Tiada apa yang dapat penduduk kampung ini lakukan selain dari merantai harimau-harimau jadian ini. Terpaksa, walaupun yang dirantai ini adalah ahli keluarga mereka sendiri.

Seorang anak Melayu berumur 17 tahun berang melihat kaum keluarganya menderita sebegitu. Dia ingin buat sesuatu. Dia tidak sanggup lagi melihat tanpa berbuat apa-apa. Kalau tidak kerana Bayu, dia pasti turut serta dalam pencerobohan Kota Melaka beberapa hari lepas. Tetapi hari ini dia sudah nekad untuk pergi, tambahan pula Bayu tidak ada di kampung untuk menghalangnya. Dia perlu tahu punca kaum keluarganya disumpah menjadi harimau jadian. Maka, anak muda yang bernama Raja Bongsu ini memulakan langkahnya, keluar mencari jawapan, di puncak Gunung Ledang.

Rundok, Gunung Ledang... 11 Mac 1588

Faiz membuka mata. Dia nampak, jauh di depan, ada seorang gadis bertudung hitam, t-shirt merah lengan panjang dan berseluar jeans sedang ketawa riang. Ketawa yang kedengaran sayup-sayup. Mata gadis ini sedang melihat atas, ada sesuatu yang menarik perhatian gadis ini tetapi Faiz tidak dapat melihatnya. Faiz sangat mengenali gadis ini. Bekas kekasihnya.

“Seha...” suara Faiz, perlahan. “Seha... jangan tinggalkan kite...”

Perlahan-lahan, Seha bertukar menjadi Puteri Gunung Ledang, yang anggun berambut panjang dan berkebaya putih. Rupa-rupanya, yang Faiz lihat tadi hanyalah bayangan Seha.

Bebaskan aku~ dan kamu akan kembali ke tempat asal mu~ Aku janji.

Faiz tersentak dari lamunan. Puteri Gunung Ledang tidak lagi kelihatan. Segalanya yang berlaku tadi terasa seperti mimpi. Dia masih dikelilingi pokok-pokok hutan. Di depannya berdiri seorang lelaki bertopeng yang berbadan kurus dan tinggi. Tangan lelaki ini sedang memegang sebilah pedang, yang bilahnya lebih panjang dari tubuh lelaki ini. Hujung mata pedang itu sentiasa mencium tanah.

Apabila dia melihat Faiz sudah sedar, lelaki ini menoleh melihat manusia-manusia bertopeng yang lain. Gadis bertopeng yang berambut panjang kerinting bersuara, “Kamu tak dapat ambil seruling tu dari dia?”

“Tak, kalau dia dah sedar,” jawab lelaki bertopeng yang berdiri di hadapan Faiz.

Sesaat kemudian barulah Faiz teringat apa yang jadi sebelum dia pengsan tadi. Dia terus melompat untuk melarikan diri. Dua kali dia melompat. Kini dia berada betul-betul jauh dari 8 Orang Tua yang bertopeng tadi. Tiba-tiba dia terdengar suara lelaki di belakangnya.

“Bagusnya badan Major Arkana ni. Tadi dah lunyai, sekejap je dah sembuh balik.”

Dan suara itu datang dari seekor kucing. Kucing berbulu kelabu. Faiz ternganga melihat lagak kucing kelabu ini. Kucing ini bersuara sekali lagi, “Kenapa? Tak pernah tengok kucing?” Kemudian, si kucing ini melompat lalu mendarat betul-betul di tepi kaki gadis berambut kerinting. “Kenapa? Takkan ko tak reti kira? Campur aku barulah cukup 9 orang, kann? Kaaannn?” kata kucing itu.

Faiz merenung kesemua 9 Orang Tua Misteri ini. Lelaki bertopeng yang mempunyai badan berotot-otot tadi berdiri betul-betul di belakang gadis bertopeng berambut kerinting. Dan si gadis berambut kerinting itu cuba memujuk Faiz, “Sudahlah Faiz. Kamu tak letih ke? Kamu tak rasa ke ini semua membazir masa?”

“Faiz... bagi kami seruling tu. Selepas tu kami terus pergi dari sini,” kata si kucing.

Dari tersengih kini Faiz mula ketawa. Dan semakin lama semakin galak ketawa Faiz. “HAHAHAHHAHAHA. HAHAHAHA! HAHHAHAHHAHAHA! HOHOHOHO!”

Lelaki badan berotot mula berjalan ke depan untuk memukul Faiz, tetapi apabila gadis berambut kerinting menahan bahunya, dia terus menghentikan langkahnya. Apabila melihat lelaki badan berotot itu dihalang oleh si gadis berambut kerinting, maka fahamlah Faiz, gadis itu memberi peluang kepada Faiz untuk meluahkan kata-katanya.

“Hahaha bodohnya aku, tak sedar ni dari awal. Hoho nampaknya aku dah buat silap,” kata Faiz.

“Betul tu, kamu dah buat kesilapan besar. Tapi... kami masih boleh maafkan kamu. Kamu serahkan saje seruling tu.” “Mari, jangan takut,” kata si gadis rambut kerinting.

“Kau nak tahu apa kebodohan aku? Mari sini aku bagitau apa yang aku tak sedar selama ni,” sambung Faiz. “Selama 15 tahun, setiap kali aku rancang untuk balik ke zaman aku, mesti korang datang halang aku. Korang sanggup susah-payah datang Melaka untuk halang aku. Korang sanggup buang masa belasah aku sampai lunyai, setiap kali aku cuba cari jalan pulang. Kenapa eh? Paling aku tak sangka, ni aku ugut korang guna Sang Dewi ni pun korang masih berdegil. Sampai macam tu sekali... kenapa? Persoalan besar tu,” tanya Faiz.

9 Orang Tua Misteri hanya mendiamkan diri. Lalu Faiz mengambil peluang ini untuk terus berkata-kata. “Tapi tu bukan isu dier... Sebenarnya... baru sekarang aku sedar, selama 15 tahun ni, walaupun banyak kali korang pukul aku sampai lunyai, tapi aku masih hidup. Pelik kan. Dari dulu lagi korang boleh bunuh aku. Macam hari ni, korang boleh pukul aku sampai mati, tapi tak, korang biarkan aku hidup. Akhirnya barulah aku sedar, yang korang takkan bunuh aku!”

“HAHAHA! Korang tak boleh bunuh aku kan? Aku nak bebaskan Dewi. Kalau korang taknak Dewi ni bebas, aku bagi korang dua pilihan. Ikut kehendak aku, atau... bunuh aku,” cabar si Faiz.

9 Orang Tua Misteri hanya ketawa. Ketawa dan terus ketawa. Lalu si kucing bersuara, “Kami memang tak boleh bunuh ko. Tapi...”

“Faiz... kamu tak tahu ke... Dewi mahu hancurkan dunia ni... Bebaskan Dewi samalah seperti kamu bunuh diri kamu,” jelas gadis rambut kerinting.

“Macam ni lah bro. Tak guna kita panjangkan konfrontasi ni. Cuba fikir, apa pilihan ko ada? Kalau kau tak tiup seruling tu ko masih boleh hidup happy tau. Kalau ko tiup, Dewi tu sendiri bunuh ko. Tiup atau tak tiup, ko tetap takleh balik ke zaman ko. Jadi?” tanya si kucing.

Faiz tunduk. Dia sudah kehabisan akal. Faiz betul-betul mahu pulang ke tahun 2009, tetapi semuanya bergantung pada 9 Orang Tua Misteri. Malangnya 9 Orang Tua Misteri akan kerugian jika mereka ikut kehendak Faiz. 9 Orang Tua Misteri tidak mahu Faiz tinggalkan zaman ini. Tetapi, jika Faiz ikut sahaja kehendak mereka, Faiz pula yang rugi. Dan kedua-dua pihak lebih rela jika mereka semua sama-sama rugi dari membiarkan satu pihak sahaja yang menang. Sama-sama rugi. Kalau itu yang mereka mahu, fikir hati Faiz. Dengan ajaibnya, sebuah seruling zamrud yang cantik berukir tiba-tiba muncul di tangan Faiz. Tanpa membuang masa, Faiz merapatkan lubang seruling itu ke bibirnya.

“BODOH!!” “JANGAN!!!” “Halang dier!!” jerit kesemua 9 Orang Tua Misteri serentak.

Si badan berotot melompat lalu dalam masa sesaat sahaja dia sudah berada betul-betul di atas Faiz, dan dia sudah bersedia untuk memijak kepala Faiz. BAAAAAAM!! Satu hentaman yang kuat. Tetapi rupa-rupanya, yang dipijak lelaki berotot ini bukanlah kepala Faiz, tetapi lengan kanan Faiz yang tiba-tiba muncul melindungi kepalanya. Faiz berjaya menghentikan tapak kaki lelaki berotot ini hanya dengan menggunakan sebelah tangan sahaja. Badan Faiz kelihatan mengerlip seperti disaluti serbuk emas. Semakin lama semakin bersinar. “Jin-zhong?” kata lelaki badan berotot ini. Dia terkejut melihat kerlipan emas yang menyaluti badan Faiz.

“Ingat baik-baik nama ni... Hikmat Besi Khursani Panglima Faiz,” senyum Faiz. Tetapi teknik rahsia Faiz ini hanya dapat bertahan selama 38 saat, dan teknik ini hanya dapat digunakan sebulan sekali. Jadi, dia perlu cepat. Tangan kanannya menahan kaki si lelaki berotot, dan tangan kirinya cepat-cepat merapatkan lubang seruling ke bibirnya. Tanpa bazir masa, seruling ditiup. Tuuuu tuuuu~ Tuuuuuut tuuuu tuuuu~ Tuuuuuut tuuuu tuuuu tuuuu~

“Celaka!” jerit si lelaki berotot. Dengan sekali rentap, dia berjaya melepaskan kakinya dari cengkaman tangan Faiz. Lelaki ini menghayunkan penumbuknya, sasarannya ialah kepala Faiz. Kemarahannya meluap-luap. Dia mahu bunuh Faiz.

Tetapi kerana terlampau geram, tumbukannya tidak mengena sasaran. Hanya menumbuk angin semata-mata. Lelaki badan berotot ini bertambah berang. Dia menggenggam penumbuk lalu mengangkat kedua-dua penumbuknya setinggi-tingginya. Dia ingin menukul kepala Faiz. Melihat gaya lelaki badan berotot ini mengangkat tangannya, Faiz fikir adalah lebih baik dia menahan serangan lelaki ini dari mengelak, kerana jika dia mengelak, dia akan kehilangan peluang untuk menyerang balas. Jika dia menahan, dia boleh menepis kemudian melakukan serangan mengejut dari titik buta musuhnya ini. Lalu Faiz merapatkan kedua-dua lengannya, dia bersedia untuk menahan serangan si lelaki berotot. Dan tinggal 10 saat lagi sebelum teknik rahsianya hilang.

“KAU PANDANG RENDAH KAT AKU??” jerit si lelaki berotot ini . Dengan satu teriakan dia menjatuhkan penumbuknya dengan laju. BAAMMMPRAAAAKKKK!!! Penumbuk si lelaki berotot ini dan lengan Faiz berlaga. Hentaman yang amat kuat, sehinggakan retakan hitam muncul di sekeliling lengan Faiz. Lalu atmosfera di sekitar mereka pula retak, seolah-olah mereka berdua sedang berada di dalam cermin lalu cermin itu pecah. Pemandangan yang aneh, retakan muncul di semua tempat, pada batang pokok, pada udara, pada tubuh Faiz. Kemudian rentakan itu hilang. Kedua-dua lengan Faiz sudah lunyai, walaupun masih disaluti emas khursani. Tulangnya hancur sehancur-hancurnya. Hikmat Besi Khursani tidak cukup kuat untuk melindungi tangannya.

Lelaki berotot ini mengangkat penumbuknya sekali lagi. Faiz sedang menjerit menangis kesakitan. Kerlipan emas di tangannya sudah hilang sepenuhnya. Cemas 8 Orang Tua yang lain. Mereka tahu jika si lelaki berotot ini tumbuk Faiz sekali lagi, Faiz akan mati terus.

Tetapi Faiz sudah tidak dapat mempertahankan dirinya lagi. Cepat-cepat si gadis rambut kerinting menjerit sebelum lelaki berotot jatuhkan penumbuknya, “Selamatkan Faiz!!!”

Lelaki berbadan kurus tinggi muncul secara tiba-tiba di tepi Faiz, lalu dia menyentuh bahu Faiz. Penumbuk lelaki berotot jatuh laju seperti kilat. Tapi Faiz sudah hilang bersama-sama dengan lelaki berbadan kurus tadi. Maka penumbuk lelaki berotot menghentam permukaan bumi dengan kuat. BUUUUUUUMMMMMMM!!!!!! Rentakan muncul di tanah, sesaat kemudian rentakan itu membesar menjadi gaung yang sangat dalam. Impak tumbukan lelaki berotot ini turut menghasilkan gempa bumi. Salah satu puncak tinggi di gunung ini mula menyenget lalu runtuh menyembah bumi.

Tanpa disedari, si gadis berambut kerinting sudah berada di belakang si lelaki berotot. Gadis ini menarik rambut si lelaki berotot. Gempa bumi berhenti. Si lelaki berotot pun jatuh pengsan.

Tidak jauh dari si gadis berambut kerinting, Faiz muncul kembali bersama-sama dengan si lelaki kurus tinggi. Si gadis berambut kerinting berjalan menghampiri Faiz. Apabila berada di hadapan Faiz, dia tunduk lalu menyentuh dahi Faiz. “Aku sedang kurangkan kesakitan kau. Jadi kau boleh dengar kata-kata aku tanpa gangguan.” Gadis ini senyap seketika sebelum menyambung, “Ada kalanya kita rasa kita ni kuat seperti dewa. Tapi hakikatnya kita ni hanyalah manusia biasa. Sebagai seorang manusia... kita kena tahu batasan diri kita.” “Faiz... kami nak seruling tu.”

Seorang lagi lelaki datang menghampiri si gadis rambut kerinting. Badannya bersaiz sederhana tetapi tegap. Walaupun bertopeng, dari gaya rambut dan bentuk muka, lelaki ini pastinya seorang yang tampan. Lelaki ini bersuara, “Chibi, seruling tu dah ditiup. Kita kena tunggu 48 jam untuk seruling tu keluar dari badan si peniup. Itu syarat-syarat senjata ghaib.”

“48 jam?”

“Ya, 48 jam. Buat masa sekarang ni tiada siapa dapat guna atau ambil seruling tu. Lebih baik kita sembunyikan budak ni. Kita kena jaga dia baik-baik dalam masa 48 jam, sampailah seruling tu muncul sendiri depan budak ni,” jawab lelaki tampan tadi, sambil memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam saku seluar. Si gadis rambut kerinting mula mengepal penumbuknya.

Bukk! Satu tumbukan menghentam pipi Faiz. “Budak bengong,” kata si gadis rambut kerinting.

Angin dingin bertiup lembut. Nyanyian mendayu-dayu datang dari pelbagai arah. Sayup-sayup. Tiba-tiba kaki mereka ditenggelami air, paras buku lali. “Dari mana datangnya air ni?” Tiba-tiba si kucing menjerit, “Dewi!!”

Sekelip mata, mereka 9 Orang Tua Misteri sudah terawang-awang di atas langit. Sesuatu telah mencampak mereka ke atas langit, setinggi-tingginya. Awan pun berada jauh di bawah mereka. Beberapa saat kemudian mereka mula jatuh. Lalu jatuhlah mereka dengan laju. Deruan angin memaksa mereka menjerit untuk berkata-kata, “Dengar sini!! Dewi dah bebas!! Jadi selepas ni dia perlukan seruling untuk bebaskan suaminya pula!! Kita kena dapatkan seruling tu sebelum Dewi dapat!!” kata si gadis rambut kerinting sambil melihat sekeliling. Sekejap sahaja mereka telah jatuh melepasi awan. Puncak Gunung Ledang sudah kelihatan di depan mata. “Kita cuma ada masa 48 jam untuk sembunyikan Faiz!!” “Kalau si Dewi dapat seruling sebelum kita, habislah dunia ni!!”

“Tapi Chibi, Faiz takde dengan kita!!! Dia masih di Gunung Ledang!!” kata si kucing. “Aku tahu!!” balas Chibi, si gadis berambut kerinting. “Gunung tu rumah Dewi!! Tengoklah!! Betapa mudahnya dia campak kita keluar dari Gunung Ledang!! Sekarang, si Dewi dah dapat kurung Faiz!! Dalam rumah dia sendiri!!!” jerit si kucing. “Selagi tak cukup 48 jam, jangan haraplah kita dapat pijak puncak gunung tu!!” sambung si kucing. Kemudian lelaki botak pula bersuara, suaranya lunak, “Chibi, kita sedang jatuh ni, menghampiri puncak...” “Aku tahu!!” jawab Chibi.

“Schrödinger!!” jerit Chibi sambil memandang si lelaki kurus tinggi. “Katarina??!” tanya Schrödinger untuk mendapatkan kepastian. “Ya!!! Sekarang!!” jawab Chibi.

Pedang berbilah panjang muncul terapung-apung di hadapan Schrödinger. Sebaik sahaja Schrödinger menyentuh pedang di hadapannya, dia pun terus ghaib, hilang. Beberapa saat kemudian, 8 Orang Tua Misteri yang lain pun turut hilang, ghaib sepenuhnya.

Asahan... 11 Mac 1588

Martim Afonso de Mello sedang mengetuai rombongan Katarina. Katarina pula mengikut rapat di belakangnya, diikuti dengan Dom Alessandro Valignano dan João Rodrigues. Haikal pula berada di belakang mereka berdua. Aires de Saldanha berada di belakang Haikal, dan Pedro de Escobar berada di belakang mereka semua. Denai yang sedia ada memudahkan perjalanan mereka. Tetapi ada kalanya mereka terpaksa juga memanjat akar-akar pokok dan batu-batu gunung. Katarina mempercepatkan langkahnya lalu memotong de Mello. Sekarang Katarina di hadapan mereka semua. Berkerut dahi de Mello.

Masa terhenti. Pedro de Escobar, Alessandro Valignano, João Rodrigues, Martim Afonso de Mello, dan Aires de Saldanha, kelima-lima mereka kaku tidak bergerak. Haikal berasa sedikit hairan apabila melihat orang-orang Portugis ini kaku seperti patung, tetapi oleh kerana banyak perkara pelik yang berlaku dalam hidupnya sejak akhir-akhir ini, dia tidak lagi cepat panik.

9 Orang Tua Misteri memunculkan diri secara tiba-tiba. Sekarang barulah Haikal panik apabila dia tiba-tiba dikelilingi 8 orang manusia yang bertopeng emas. Orang yang memakai topeng ini selalunya berniat jahat, kata hati Haikal. “Siapa korang semua?” tanya Haikal.

“Siapa kau?” tanya si lelaki berotot pula, tidak menjawab soalan Haikal. “Tiada manusia biasa yang bisa bergerak di depan kami, kecuali diizinkan,” kata Schrödinger.

“Sebab dia bukan manusia biasa. Dia ni Major Arkana lah bongok,” jelas si kucing.

Chibi pula mencelah, “Nampaknya kamu dah buat dua kesalahan besar wahai Katarina. Kamu gagal jaga Faiz, dan kamu juga gagal memberitahu kami pasal seorang lagi Major Arkana ni.”

“Sejujurnya... peraturan yang cuma benarkan 3 Major Arkana sahaja hidup di Melaka ni memang keterlaluan,” jawab Katarina.

“Kenapa? Ada lebih dari 3 Major Arkana ke? Dia ni, Faiz, kamu... siapa seorang lagi?” tanya si kucing. “Raja Melayu... namanya Bayu,” jawab Katarina. “Masalahnya kita dah tak cukup masa ni...” sambung Katarina. “Dewi dah dibebaskan?”

“Ya,” jawab Chibi. “Maknanya kita ada 48 jam untuk bawa lari Faiz. Faiz mana?” tanya Katarina.

“Faiz ada kat atas, kat puncak tu,” jawab si lelaki tampan. “Aduh... susah ni. Maknanya kita kena ‘pecah masuk’ rumah Dewi... dan rampas Faiz dari Dewi... dalam masa 48 jam...” balas Katarina.

“Err... You all ni 9 Orang Tua Misteri ke?” Haikal mencelah.

“Macam mana budak ni boleh kenal kita?” tanya si kucing.

“Well... Takdelah menakutkan sangat. Cara Faiz cerita macam korang ni raksasa je hahaha. So, korang pun nak selamatkan Faiz? Kenapa tak guna Epal Hitam je? Korang ada Epal Hitam kan?”

9 Orang Tua Misteri berpandangan sesama sendiri. “Katarina, macam mana budak ni boleh tahu pasal Epal Hitam?” tanya Chibi. Katarina tersengih-sengih. Lalu Chibi merapati Haikal sambil berkata, “Memandangkan di Melaka sekarang ada lebih dari 3 Major Arkana... kita boleh buang seorang. Maaf, tiada siapa boleh tahu tentang Epal Hitam selain dari kami.”

“Chibi!” jerit Katarina sambil berlari ke sisi Haikal. “Eh? Nanti kejap. Salah ke apa aku cakap tadi, Epal Hitam dapat tunaikan apa sahaja hajat kita kan? Kenapa tak... uukk... ukk..” Tidak sempat Haikal menghabiskan ayatnya, lehernya telah dicucuk jari Katarina. Haikal tercekik. Rasa seperti ada sesuatu yang melekat pada anak tekaknya. “Dia ni pun datang dari masa depan?” tanya si kucing. “Ya,” jawab Katarina. “Patutlah bangang bila berkata-kata,” balas si kucing.

“Maaf Katarina. Ini peraturan. Kalau kamu taknak dia mati, awal-awal lagi kamu tak beritahu dia pasal Epal Hitam,” kata Chibi sambil menghulurkan jarinya untuk menyentuh bahu Haikal. Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan suara dari langit, “Ya dalet~ Beit~ Aku lah penaung mu~ Aku lah liang lahadmu~ Inilah rumahku~ dan matilah kalian di dalamnya~

Angin dingin bertiup lembut. Tiba-tiba kedengaran bunyi riuh dari puncak bukit. Bunyi air terjun bercampur dengan bunyi balak patah, dan bunyi balak berlaga sesama sendiri. Semakin lama semakin kuat. Ada sesuatu menghampiri mereka dengan laju. “Kepala air?!” kata Haikal. 9 Orang Misteri tidak dapat bergerak, ada sesuatu yang menghalang mereka dari bergerak. “Katarina!! Kau buat apa??!” jerit si lelaki berotot. “Bebaskan kami bodoh!!” jerit si kucing pula. Katarina sedang memejam mata sambil mulutnya terkumat-kamit membaca jampi. “Katarina... cepat bebaskan kami... Dewi nak bunuh kita semua...” rayu Chibi.

“Maaf, aku perlukan kuasa kalian untuk selamatkan kita semua,” balas Katarina, yang masih memejam matanya. Titisan-titisan air mula terasa. 8 Orang Tua Misteri yang lain sudah redha, tetapi si kucing masih menjerit-jerit, “Katarinaaa!!” Bunyi balak patah semakin menghampiri mereka semua. PRAAAAKKKK!!! Akhirnya ratusan kayu balak bersama-sama air deras menghempap mereka. Sekelip mata.

Mereka semua digulung-gulung air deras, dan sentiasa ditikam-tikam kayu keras. Air mula masuk ke dalam hidung dan tekak, dan peritnya terasa hingga ke otak. Tenaga mereka terasa seperti diserap keluar, diserap oleh air deras yang tidak henti-henti menggulung mereka semua. Katarina, yang hampir hilang kesedaran, menggenggam tangannya lalu menjerit, “Jen přes moji mrtvolu!” BUUUUFHHHH!! Satu ledakan kuat diikuti sinaran cahaya biru. Puluhan kayu balak melayang di udara. Tetapi, apakah nasib mereka semua?

Gunung Ledang... 12 Mac 1588

“Selamat pagi,” si kucing menegur Haikal.

Haikal bangun dari tidur, lalu terpinga-pinga. Cantik sungguh pemandangan di sekelilingnya. Dia dikelilingi pokok berakar banir yang tegak meninggi, pokok jelawai gergasi. Daun jelawai yang bersaiz kecil walaupun lebat membenarkan sedikit cahaya matahari menembusi kanopinya.

Jalur-jalur cahaya ini sungguh jelas kelihatan, menyuluh dari kanopi hingga ke dasar. Di dasar hutan, di sekeliling akar banir jelawai, langsung tidak ada semak sebaliknya dihiasi dengan pohon-pohon bunga pelbagai warna. Melati putih, cempaka kuning, kemboja merah, dan anggerik ungu. Dan beberapa batang anak sungai mengalir di sekeliling akar banir pokok gergasi ini.  Haikal duduk di atas meja batu, dan air sungai mengalir di sekelilingnya. Sungai cetek dan jernih. Aliran airnya tidak terlalu laju. Dasarnya batu licin.

“Kita dipisahkan dengan yang lain-lain,” kata si kucing.

“Kita kat mana?” tanya Haikal.

“Gunung Ledang. Ni namanya, Taman Raden Puteri,” jawab si kucing.

Haikal termenung seketika sebelum berkata, “Jom naik ke puncak.”

“Oh. Agak-agak kau lah kan, yang mana jalan menuju ke puncak?” kata si kucing.

“Tengoklah aliran sungai, sungai mestilah turun dari puncak,” kata Haikal, yakin.

Haikal melihat sekeliling sekali lagi. Bumi di depannya rata, langsung tidak condong. Yang anehnya, aliran sungai di sekelilingnya sentiasa berubah. Sekejap mengalir ke kanan, sekejap mengalir ke kiri. Sungai yang boleh berubah arah sesuka hatinya.

“Ok... Macam tu... aku jalan straight aje lah,” kata Haikal, lalu memulakan langkahnya.

Si kucing membiarkan sahaja Haikal pergi dari situ. Beberapa minit kemudian Haikal kembali, tetapi dari arah lain. Haikal tidak berhenti, dia meneruskan perjalanannya. Kucing melihat sahaja Haikal berjalan pergi. Tidak lama kemudian Haikal kembali dari arah lain. Seperti tadi, Haikal tidak berhenti, dia meneruskan perjalanannya ke depan. Si kucing melihat sahaja dia pergi. Dan ini berulang sebanyak dua puluh kali.

Haikal hairan, tidak kiralah jalan mana yang dia ambil, si kucing pasti akan berada di bahagian kirinya, dan tidak kiralah sejauh mana dia berjalan ke depan, dia pasti akan berjumpa kembali dengan si kucing. “Ada berapa ekor kucing ni? Atau aku ke yang pusing-pusing kat tempat yang sama dari tadi?” Tiba-tiba, dalam perjalanan, dia diterkam si kucing.

“Tadi kau jalan terus aje atau kau ada belok kiri kanan?” tanya si kucing, cemas.

“Emm, ada juga aku ambil kanan tadi, pastu kadang-kadang aku pusing kiri,” jawab Haikal.

“Tengok tangan kiri kau,” kata si kucing. Terkejut Haikal apabila melihat tangan kirinya penuh bisul dan ruam. Pedih mula terasa. “Macam mana boleh jadi macam ni?” jerit Haikal.

“Kau terkena getah rengas. Yang peliknya, aku tak nampak pula pokok rengas,” balas si kucing.

“Tangan aku... habis... Aku kan Major Arkana, macam mana aku boleh terkena penyakit ni?”

“Diamlah!” balas si kucing. “Kau tak pelik, sini penuh dengan pokok jelawai, dan pokok-pokok bunga... tapi takde pokok rengas. Maknanya...” sambung si kucing.

“Oh! Maksud kau, aku dah terjumpa jalan keluar?” tanya Haikal.

“Mari ikut aku,” kata si kucing lalu dia melompat pergi dari situ. Haikal berlari mengejar si kucing. Mereka terus berlari, dan berlari, merentasi anak-anak sungai, yang kadang kalanya mengalir dari arah belakang mereka, dan kadang kala mengalir dari depan. Si kucing pula tidak sentiasa melompat ke depan. Ada kalanya dia berhenti melompat, mengiau sambil melihat sekeliling. Kadang-kala, semasa sedang melompat ke depan, si kucing membelok secara tiba-tiba. Kadang-kadang ke kiri, kadang-kadang ke kanan. Akhirnya barulah Haikal perasan, setiap kali air sungai mengalir dari arah belakang mereka, si kucing pasti akan membelok ke tepi.

“Kenapa Faiz takut kat korang? Kuat sangat ke korang ni? Setakat kucing boleh bercakap je.”

“Kalau aku tunjuk kehebatan aku nanti kau terkencing pula,” balas si kucing. “Haha. Ye lah tu.”

Setelah jauh berlari akhirnya pemandangan di sekeliling mereka mula berubah. Semak-semak mula muncul. Tiada lagi pokok-pokok bunga. Akhirnya, mereka sampai di hadapan ratusan pokok rengas yang membentuk dinding kubu. Tiada jalan keluar.

“Jangan sentuh, pokok ni beracun,” si kucing memberi amaran. “Kejap, macam mana kau boleh jumpa jalan ni?” tanya Haikal. Si kucing menjawab, “Aku tak pasti kau boleh faham atau tak penjelasan aku ni... Syarat utamanya, berjalan melawan arus. Maknanya, selagi sungai mengalir dari depan, kita berada di laluan yang betul. Tapi kadang-kadang, aliran sungai akan bertukar. Kalau sungai tiba-tiba mengalir dari belakang kita, kita kena membelok, tak kisahlah ke kanan atau ke kiri. Tapi, jangan pusing ke belakang. Kalau sungai mengalir dari tepi, kita lawan arus. Janji sungai tu sentiasa mengalir dari depan kita. Ulang proses sampailah kita di sini.”

“Hahaha agak rumit. Tak kisahlah. Emm... jadi macam mana ni... ada dinding pula,” kata Haikal.

Si kucing mengiau, “Mauuuuu~ hehehehe. Tadi kau nak tengok kehebatan aku kan.”

Mata si kucing bercahaya, dia memuntahkan 3 bili guli logam. Lalu guli logam itu mula mengumpul debu, pasir sungai, batu-batu kecil, dan ranting-ranting kayu. Dalam masa beberapa saat, 3 guli logam itu membesar menjadi 3 bola gergasi.

“Err... itu je? Boleh tahan saiz bola kau...” kata Haikal.

Tiba-tiba 3 bola gergasi ini retak. Lalu pecah. Maka muncul lah 3 robot yang berdiri tegap. Rupa-rupanya, dalam setiap bola gergasi ini ada robot, 3 robot yang lengkap dengan meriam di bahu, meriam di tangan dan meriam di punggung. Si kucing ketawa. Haikal ternganga.

“Aku lah pencipta robot yang agung!” sorak si kucing.

“Nanti kejap, ini kan zaman kuno. Mana kau belajar cara buat robot?” tanya Haikal.

“Mana orang zaman kau belajar cara buat robot?” si kucing senyum sinis.

BUUUMM!

Mereka berdua terkejut. Ketiga-tiga robot si kucing telah dihancurkan dengan sekelip mata. Dan di atas rangka robot yang hancur itu berdirinya seorang lelaki. Lelaki yang bersenjatakan dua bilah parang. “Akulah Raja Melayu. Aku menuntut nyawamu,” kata lelaki ini, suaranya bergema. “Siapa...” tanya si kucing. “Eh kejap, aku pernah tengok dia ni. Dia ni lah lelaki yang selamatkan aku hari tu,” kata Haikal. Ya, dia yang bernama Bayu, Sang Raja. Dalam satu jeritan, Bayu melibas parangnya sekuat hati.

Di satu tempat yang lain, Katarina sedang ditemani gadis bertopeng emas yang berambut lurus. Gadis yang bernama Bathory Aria. Mereka berdua berada di dalam taman bunga yang pelik. Pelik kerana...

“Kenapa semua bunga dalam taman ni bersaiz gergasi?!” jerit Katarina.

Gadis berambut lurus tadi menanggalkan topengnya. Cantik wajahnya. Comel. Kulitnya putih bak bidadari. Matanya besar. Bibirnya comel molek. Rambutnya panjang lurus dan lembut.

Apabila dia bersuara, suaranya garau seperti lelaki. “Katarina, kita masih di Gunung Ledang ke?” tanya Bathory Aria. “Ya, tapi kita dah terpisah dengan yang lain-lain,” jawab Katarina.

“Aria jangan risau... Yang lain-lain mesti sedang berjalan ke puncak juga. Kita pun kena sampai ke puncak secepat mungkin,” Katarina menarik nafas lalu menghembus perlahan. “Tapi masalahnya sekarang... kat mana puncak dier!!!” jerit si Katarina, yang sedang berdiri di atas sekuntum bunga kemboja, yang bersaiz gergasi.

Katarina melantunkan dirinya di atas kelopak bunga kemboja. Melantun setinggi-tingginya. Dia cuba mencari puncak. Tetapi hanya padang bunga sahaja yang kelihatan. Padang bunga yang luas, seluas mata memandang. Seolah-olah tiada penghujungnya.

Dia masih tidak berhenti melantun-lantunkan dirinya. Selepas 5 minit barulah dia perasan sesuatu, ada ketulan batu gergasi tersorok di dalam rimbunan pohon-pohon bunga gergasi. Pada mulanya dia sangka itu hanyalah bukit yang ditutup pohon bunga yang bersaiz lebih besar. Tetapi setelah diamati barulah dia sedar, ketulan batu itu menyerupai manusia. Manusia batu bersaiz gergasi!

Katarina mula mencarut-carut di dalam hatinya. Di alam Melayu, cuma ada satu makhluk sahaja yang bersaiz gergasi dan diperbuat daripada batu. Sang kelembai.

Gergasi batu ini mendongakkan kepalanya. Dia terdengar namanya disebut. Katarina terlupa, nama Sang Kelembai tidak boleh disebut walaupun di dalam hati. “Celaka...” bisik Katarina.

Masih di udara, Katarina memunculkan ranting kayu di tangannya. Lalu ranting itu bercahaya.

“Aria, duduk diam-diam atas bunga tu! LEITMOTIV – FRÜHLINGSLIED. Rose~!!” Bunga kemboja tadi dengan ajaibnya bertukar. Bathory Aria mula dikelilingi kelopak-kelopak mawar. Katarina mendarat di sebelah Aria. “Aria, tunduk!” Lalu kelopak-kelopak mawar ini menutup tubuh mereka berdua sepenuhnya, membentuk kuncup bunga yang masih belum mekar.

Beberapa saat kemudian, kuncup bunga ini ditiup angin. Angin ini mampu menukar manusia menjadi batu. Nasib baik Katarina dan Aria sempat bersembunyi. Katarina merungut-rungut di dalam kuncup bunga ini, “Nampaknya, kita kena tidurkan gergasi tu... Ish, kenapa susah sangat nak cari puncak gunung ni!!”

Di satu tempat yang lain, di atas Gunung Ledang, laut sedang bergelora. Aires de Saldanha, Pedro de Escobar dan si lelaki botak sedang berlindung di celah-celah ketulan batu gergasi yang masih belum ditenggelami air. Ombak badai setinggi 10 meter menghentam kiri dan kanan batu gergasi ini. “Sejak bila atas gunung ni ada laut?” tanya Pedro de Escobar.

Si lelaki botak dan Aires de Saldanha tidak menjawab soalan Pedro de Escobar. Mereka berdua sedang memerhatikan seorang wanita. Wanita cantik yang tenang berdiri di tengah lautan.

Di satu tempat yang lain, di dalam hutan yang dipenuhi buluh perindu, di hadapan si lelaki bertopeng yang mempunyai badan berotot, berdirinya seekor kerbau gergasi yang sangat bengis. Matanya kemerah-merahan. Asap hitam dihembus keluar dari hidungnya.

Kerbau bengis ini ditunggang oleh seorang wanita tua. Wanita ini memakai ikat kepala orang Minang yang bentuknya seperti tanduk kerbau. Dia memakai baju perisai emas.

Tidak dapat menahan kemarahannya, kerbau gergasi ini meluru laju ke arah si lelaki berotot. Si lelaki berotot sudah bersedia dengan penumbuknya. Dia sememangnya mencari mangsa untuk melepaskan tekanan jiwanya, dan kerbau gila ini seolah-olah redha menjadi mangsa.

Di satu tempat yang lain, di hadapan sebuah piramid bertangga, seekor ular gergasi sedang berlingkar di sekeliling Schrödinger. Schrödinger memegang erat pedang panjangnya. “Sejarah berulang. Ribuan tahun dahulu kami pernah berperang dengan keluarga Dewa Dewi, dan hari ini kami kembali berperang dengan keluarga Dewa Dewi. Pengakhirannya tetap sama... Dewa Dewi tewas di tangan kami,” kata Schrödinger lalu membelah badan ular gergasi ini menjadi 10 bahagian, dengan sekali libas sahaja.

Di dalam hutan cendawan gergasi yang berwarna-warni, beberapa tembakan pistol kedengaran. Puluhan harimau jadian lari berkeliaran. Sesaat kemudian, mereka semua ditembak tepat di dahi, lalu jatuh menyembah bumi. Sunyi sepi.

Rupa-rupanya, di atas salah satu cendawan, si lelaki tampan sedang mengacu pistolnya. Suasana sunyi ini tidak bertahan lama. Lelaki tampan ini nampak 5 orang lelaki Melayu sedang berjalan ke arahnya. Badan lelaki Melayu ini berwarna perak dan permukaan kulit mereka seolah-olah mengeluarkan asap hitam bercampur bara. Mereka lengkap berkain songket, berbaju Melayu berseluar senteng, dan bertanjak. Keris yang tersisip di pinggang mereka kelihatan lebih besar, lebih panjang dari keris biasa. Setiap kali mereka memijak, bumi akan bergegar. Mata mereka hitam sepenuhnya.

Kami Penghulu Anak Benua, datang menuntut nyawamu~” suara mereka berlima bergema.

“Maaf. Dewa Maut sahaja yang layak menuntut nyawa.” “Dan akulah Dewa Maut,” kata si lelaki tampan ini.

Di satu tempat yang lain, di atas tasik cetek yang dipenuhi bunga teratai, Chibi sedang mendongak melihat langit. Di atas langit, burung garuda berapi sedang memerhatikan Chibi.

“Dewi... kenapalah kau temukan aku dengan Sang Garuda?” kata Chibi sambil mengurut dahinya. “Malangnya... akulah kelemahan terbesar Sang Garuda,” senyum Chibi.

Di sebelah dinding pokok rengas, ada dua robot sedang berdiri tegap, dan ratusan bangkai robot yang berselerak di dalam sungai. Di dalam salah satu robot ini ada si Haikal, dan di dalam satu lagi robot ada si kucing. “Pehhh giler cool, aku dalam sut robot!” sorak Haikal. “Agak-agaknya boleh tembak laser tak,” tanya Haikal sambil menghalakan tapak tangannya ke arah dinding pokok rengas.

ZAPPP!! Laser ditembak selama beberapa saat. Ada lubang kecil muncul pada dinding pokok rengas. “HAHAHAHAHHAHHA!! ADA LASER!” Haikal ketawa teruja.

“Hey bodoh, sementara Raja Melayu tu hilang, inilah masa untuk kita melarikan diri,” kata si kucing. “Alaa, kenapa tak fight je dengan lelaki tu. Robot ni tak cukup kuat ke?” perli Haikal.

“Sut robot ni bukan untuk berlawan. Sut robot ini untuk melindungi kau dari asap beracun pokok rengas ni,” jawab si kucing.

“Eh, pokok ni boleh keluarkan asap ke?” tanya Haikal.

Si kucing menekan sesuatu ke dalam dinding pokok rengas, kemudian dia menjauhi dinding ini. Suis ditekan. BOOOOM!!!! Letupan diikuti asap tebal. Asap beracun ini menutup penglihatan Haikal. Haikal mula panik. Dia cuba keluar dari kepulan asap ini.

Tiba-tiba sut robotnya ditolak kuat, dia jatuh terlentang. Asap tebal hilang ditiup angin kencang. Di depan matanya, sut robot si kucing sudah terpotong dua, hanya separuh sahaja yang masih berdiri. Tiba-tiba Haikal nampak Bayu di atas dahan pokok. Sekelip mata Bayu hilang dari pandangan matanya. BAAMM!! BAMMM!! BAAAMM!!! Bunyi letupan tanpa henti. Oleh kerana dia terbaring, dia tidak nampak apa-apa. Haikal cuba untuk duduk. Dia nampak Bayu sedang berlari ke arahnya. PAAMM!!! Bayu dihentam kuat peluru berpandu. Satu letupan kedengaran.

Haikal cuba untuk berdiri. Dia melihat ke arah dinding pokok rengas. Alangkah gembiranya dia melihat lubang besar pada dinding itu. “Hey kucing! Kita dah boleh lari!”

Sut robot yang terapung-apung di udara menembak peluru mesingan tanpa henti. Satu libasan dari tepi memusnahkan robot yang terapung ini.

Muncul tiga lagi robot. “Hey kucing! Jom pergi!” jerit Haikal. “Pergi dulu! Cari jalan ke puncak!” suara si kucing kedengaran, tetapi kelibatnya tidak kelihatan.

“Terima kasih! Jumpa lagi!” jerit Haikal. Tanpa membuang masa, dia terbang menuju ke lubang besar pada dinding. Haikal sedar, tugasnya cuma membawa pulang Haikal. Tetapi tugas 9 Orang Tua Misteri lebih berat. Nasib dunia di tangan mereka.

Sayup-sayup kedengaran jeritan Haikal dari jauh, “Kalahkan mereka semua! Kalahkan Dewi!”

Si kucing tersenyum apabila mendengar jeritan Haikal. Dia mendarat di atas sungai. Semua bangkai robotnya berkumpul menjadi satu robot gergasi. Bayu memunculkan dirinya.

“Raja dan Dewa... sedikit pun kami tak gentar,” kata si kucing.


No comments: