Ada dua
orang gadis bertopeng emas. Mereka tidak sama tinggi. Gadis yang lebih tinggi
berambut panjang lurus. Gadis yang lebih rendah pula berambut panjang
kerinting. Kedua-duanya berambut hitam.
Dan gadis
berambut kerinting memulakan bicara, "Ini tak bagus. Kami tak sepatutnya
muncul di sini. Tempat ini kami dah pilih Biskop sebagai pemimpin. Kami dah
pilih Gabenor Goa sebagai pengawas. Aires de Saldanha sebagai utusan kami.
Katerina sebagai penjaga kamu. Semua dah lengkap, dah disusun baik-baik. Tidak
adil kamu rosakkan segalanya hanya kerana kamu rasa kamu ni betul."
Faiz menarik
nafas sedalamnya sebelum menjawab, "Aku bukan nak rosakkan segalanya. Aku
cuma nak balik ke zaman aku. Aku terpaksa..."
BUUUUKKK!!!
Perut Faiz ditumbuk dengan kuat. Darah tersembur keluar dari mulut Faiz. Dia
ditumbuk seorang lelaki bertopeng emas yang mempunyai badan besar berotot-otot.
Lelaki ini kemudian menghayunkan penumbuk kirinya menumbuk tempurung kepala
Faiz, dan penumbuk ini terus menolak kepala Faiz menghentam batu gunung
sekuatnya. Hancur berderai batu gunung ini.
Darah
memancut-mancut keluar dari kiri dan kanan kepala Faiz. Keseluruhan kepala dan
bahu Faiz kini berlumuran darah. Dalam pening-pening Faiz masih boleh bersuara,
"Aku cuma nak korang..."
BAAMMM!!
Satu tumbukan padu melekat di kepala Faiz. Impak tumbukan ini menyebabkan
kepala Faiz dengan lajunya menghentam lantai bumi. Tidak cukup melihat Faiz
rebah meniarap di atas lantai, lelaki bertopeng ini menerajang perut Faiz.
Tubuh Faiz melayang jauh.
Lelaki
bertopeng tadi menghampiri Faiz lalu dengan sebelah tangan sahaja dia
mengangkat tubuh Faiz ke udara. Jarinya mencengkam kuat leher Faiz. "Kamu
cakap apa?" tanya lelaki ini.
Mulut Faiz
penuh darah, tetapi dia masih boleh bersuara, "Tolong... Aku... cuma nak
korang hantar kami balik."
BAAMMMMMM!!!
Lelaki bertopeng ini menghempaskan tubuh Faiz ke bumi sehingga bergegar seluruh
tanah Gunung Ledang. "Kamu cakap apa?" sekali lagi lelaki bertopeng
ini bertanya.
Faiz batuk
darah. Darah merecik keluar dari hidung. Gigi Faiz hampir tidak kelihatan
kerana dipenuhi darah yang pekat dan likat. Faiz mula merengek kesakitan.
“Sia-sia~ Mereka tidak akan dengar kata-kata
kamu~ Jangan biarkan mereka bunuh kamu~ Bebaskan aku~ Aku mahu tolong kamu~”
suara Puteri Gunung Ledang bergema di dalam telinga Faiz. Faiz tahu, cuma dia
seorang sahaja dapat mendengar suara Dewi Gunung Ledang. “Jangan... Belum lagi
masanya...” Faiz memujuk hatinya.
Faiz,
walaupun lemah, dia masih boleh bertutur kata, "Kalau kau bunuh aku...
kawan aku tiup seruling tu." BAAMMM!!! Satu lagi tumbukan membenam kepala
Faiz ke dalam tanah. Faiz menggelumpur, kemudian menggulingkan badannya
menjauhi lelaki bertopeng tadi. Kemudian dia cuba untuk melutut, tetapi gagal.
Badan dia terlalu lemah. Sebelum rebah dia sempat berkata, "Kalau aku
mati... kawan aku bebaskan Dewi!!" DUUMMMM!!! Satu penerajang tepat
mengena kepala Faiz. Dan pandangan mata Faiz terus gelap. Dia sudah tidak
sedarkan diri.
Melaka... 11 Mac 1588
Katarina dan
Haikal sedang bersembunyi di sebalik semak. Harimau jadian yang berkumpul di
hadapan mereka kini semakin ramai. Katarina mengeluh.
“Kita kena
panjat Gunung Ledang. Nyawa Faiz dalam bahaya,” bisik Katarina pada Haikal.
Sebatang
ranting kayu muncul di tangan Katarina. Dia cepat-cepat berdiri lalu menunjuk
ke arah harimau-harimau jadian tadi. Ranting kayunya mula bercahaya.
“LEITMOTIV - NATUR ODER GENESIS.”
Katarina berteriak, “Schwarzwald~!!”
Muncul
ribuan dahan kayu berwarna hitam mengikat harimau-harimau jadian tadi. Dahan
hitam ini muncul dari pelbagai arah, dari dalam tanah, dari atas, keluar dari
celah batu, keluar dari batang pokok, keluar dari mulut harimau itu sendiri dan
kini ratusan harimau jadian sudah terikat sepenuhnya dengan dahan hitam milik
Katarina.
“Dah
selamat. Mari kita pergi,” ajak Katarina. Ranting kayu Katarina bercahaya
sekali lagi.
“LEITMOTIV – GENESIS. Schwarze Schatz~” Katarina menghalakan rantingnya ke arah
langit.
Satu jalur cahaya
hitam berkilauan turun dari langit. Sebaik sahaja jalur cahaya itu menyinari
tubuh Katarina, asap hitam tiba-tiba muncul lalu menutup sepenuhnya tubuh
Katarina. Beberapa saat kemudian, asap itu menghilang, dan kini Katarina tidak
lagi berkemban. Dia sekarang kelihatan anggun dengan gaun gothic berwarna hitam
yang sedang dipakainya.
“Kita pergi
bersama,” Aires de Saldanha tiba-tiba menegur Katarina dan Haikal dari
belakang.
“Kau buat
apa kat sini?” tanya Katarina, kehairanan.
“Kenapa
engkau tanya? Dah tentulah jalan paling dekat ke Gunung Ledang kena lalu tepi
rumah engkau,” jawab Pedro de Escobar yang tadinya menyorok di sebalik semak
kini memunculkan dirinya.
“Apa yang
berlaku kat atas tu langsung tak ada apa-apa kaitan dengan korang. Korang boleh
balik rumah, biar aku seorang je yang uruskan hal atas tu,” jawab Katarina.
“Tak boleh.
Ini arahan dari aku,” muncul seorang lelaki Portugis berusia 60-an. Dia memakai
kopiah petak yang berwarna ungu dan kain mantel berwarna kuning. Inilah lelaki
yang paling berkuasa di Kota Melaka, Dom Joao Ribeiro Gaio, Biskop Kota Melaka.
“Macam mana
kamu boleh kata tak ada kaitan... Apa-apa jadi di atas tu pasti ada kaitan
dengan Kota Melaka, jangan kamu nak tipu aku. Kalau kamu risaukan keselamatan
mereka ini, tak perlu, kerana aku akan merahmati perjalanan kalian,” Dom Joao
Ribeiro Gaio berleter.
“Excelência,
aku harap aku tidak terlalu tua untuk turut serta,” senyum seorang lagi lelaki
yang baru tiba, Dom Alessandro Valignano. Rambutnya disikat rapi ke belakang
seperti biasa. João Rodrigues pula berdiri di sebelahnya. Walaupun masih
berjubah, João Rodrigues tidak lagi menutup kepalanya dengan hood. Dia
tersenyum sambil mengusap-usap katana yang tersisip rapi di pinggangnya.
“Apa yang
kalian tunggu lagi?” tegur Martim Afonso de Mello dari jauh. Lelaki muda ini
(gaya rambutnya ala penyanyi kumpulan Beatles) terus berjalan menghampiri
mereka semua dengan penuh gaya.
“Apa-apa je
lah. Dah, jom pergi,” kata Katarina yang menyampah dengan mereka semua.
“Mari, aku
rahmati kalian semua,” kata Biskop Kota Melaka. Tanpa membazir masa, Dom Joao
Ribeiro Gaio mula menyanyikan doanya.
Kyrie~ eleison~ Benedictus qui venit~
in nomine Domini. Ave Maria, gratia plena~
Lalu dari
jauh kedengaran, loceng berbunyi sebanyak tiga kali.
Tanjung Pasir, Melaka... 11 Mac 1588
Suasana di
dalam balai raya kampung Melayu ini sungguh menyayat hati. 16 orang Melayu
terpaksa diikat dengan rantai besi kerana sumpahan harimau jadian. Wajah mereka
yang berpeluh darah, jari mereka yang mengerekot, tangisan mereka, mata putih
mereka, mampu meluluhkan hati sesiapa sahaja yang melihat mereka. Tiada apa
yang dapat penduduk kampung ini lakukan selain dari merantai harimau-harimau
jadian ini. Terpaksa, walaupun yang dirantai ini adalah ahli keluarga mereka
sendiri.
Seorang anak
Melayu berumur 17 tahun berang melihat kaum keluarganya menderita sebegitu. Dia
ingin buat sesuatu. Dia tidak sanggup lagi melihat tanpa berbuat apa-apa. Kalau
tidak kerana Bayu, dia pasti turut serta dalam pencerobohan Kota Melaka
beberapa hari lepas. Tetapi hari ini dia sudah nekad untuk pergi, tambahan pula
Bayu tidak ada di kampung untuk menghalangnya. Dia perlu tahu punca kaum
keluarganya disumpah menjadi harimau jadian. Maka, anak muda yang bernama Raja
Bongsu ini memulakan langkahnya, keluar mencari jawapan, di puncak Gunung
Ledang.
Rundok, Gunung Ledang... 11 Mac 1588
Faiz membuka
mata. Dia nampak, jauh di depan, ada seorang gadis bertudung hitam, t-shirt
merah lengan panjang dan berseluar jeans sedang ketawa riang. Ketawa yang
kedengaran sayup-sayup. Mata gadis ini sedang melihat atas, ada sesuatu yang
menarik perhatian gadis ini tetapi Faiz tidak dapat melihatnya. Faiz sangat
mengenali gadis ini. Bekas kekasihnya.
“Seha...”
suara Faiz, perlahan. “Seha... jangan tinggalkan kite...”
Perlahan-lahan,
Seha bertukar menjadi Puteri Gunung Ledang, yang anggun berambut panjang dan
berkebaya putih. Rupa-rupanya, yang Faiz lihat tadi hanyalah bayangan Seha.
“Bebaskan aku~ dan kamu akan kembali ke
tempat asal mu~ Aku janji.”
Faiz
tersentak dari lamunan. Puteri Gunung Ledang tidak lagi kelihatan. Segalanya
yang berlaku tadi terasa seperti mimpi. Dia masih dikelilingi pokok-pokok hutan.
Di depannya berdiri seorang lelaki bertopeng yang berbadan kurus dan tinggi.
Tangan lelaki ini sedang memegang sebilah pedang, yang bilahnya lebih panjang
dari tubuh lelaki ini. Hujung mata pedang itu sentiasa mencium tanah.
Apabila dia
melihat Faiz sudah sedar, lelaki ini menoleh melihat manusia-manusia bertopeng
yang lain. Gadis bertopeng yang berambut panjang kerinting bersuara, “Kamu tak
dapat ambil seruling tu dari dia?”
“Tak, kalau
dia dah sedar,” jawab lelaki bertopeng yang berdiri di hadapan Faiz.
Sesaat
kemudian barulah Faiz teringat apa yang jadi sebelum dia pengsan tadi. Dia terus
melompat untuk melarikan diri. Dua kali dia melompat. Kini dia berada
betul-betul jauh dari 8 Orang Tua yang bertopeng tadi. Tiba-tiba dia terdengar
suara lelaki di belakangnya.
“Bagusnya
badan Major Arkana ni. Tadi dah lunyai, sekejap je dah sembuh balik.”
Dan suara
itu datang dari seekor kucing. Kucing berbulu kelabu. Faiz ternganga melihat lagak
kucing kelabu ini. Kucing ini bersuara sekali lagi, “Kenapa? Tak pernah tengok
kucing?” Kemudian, si kucing ini melompat lalu mendarat betul-betul di tepi
kaki gadis berambut kerinting. “Kenapa? Takkan ko tak reti kira? Campur aku
barulah cukup 9 orang, kann? Kaaannn?” kata kucing itu.
Faiz
merenung kesemua 9 Orang Tua Misteri ini. Lelaki bertopeng yang mempunyai badan
berotot-otot tadi berdiri betul-betul di belakang gadis bertopeng berambut
kerinting. Dan si gadis berambut kerinting itu cuba memujuk Faiz, “Sudahlah
Faiz. Kamu tak letih ke? Kamu tak rasa ke ini semua membazir masa?”
“Faiz...
bagi kami seruling tu. Selepas tu kami terus pergi dari sini,” kata si kucing.
Dari
tersengih kini Faiz mula ketawa. Dan semakin lama semakin galak ketawa Faiz. “HAHAHAHHAHAHA.
HAHAHAHA! HAHHAHAHHAHAHA! HOHOHOHO!”
Lelaki badan
berotot mula berjalan ke depan untuk memukul Faiz, tetapi apabila gadis
berambut kerinting menahan bahunya, dia terus menghentikan langkahnya. Apabila
melihat lelaki badan berotot itu dihalang oleh si gadis berambut kerinting,
maka fahamlah Faiz, gadis itu memberi peluang kepada Faiz untuk meluahkan
kata-katanya.
“Hahaha
bodohnya aku, tak sedar ni dari awal. Hoho nampaknya aku dah buat silap,” kata
Faiz.
“Betul tu,
kamu dah buat kesilapan besar. Tapi... kami masih boleh maafkan kamu. Kamu
serahkan saje seruling tu.” “Mari, jangan takut,” kata si gadis rambut
kerinting.
“Kau nak
tahu apa kebodohan aku? Mari sini aku bagitau apa yang aku tak sedar selama
ni,” sambung Faiz. “Selama 15 tahun, setiap kali aku rancang untuk balik ke
zaman aku, mesti korang datang halang aku. Korang sanggup susah-payah datang
Melaka untuk halang aku. Korang sanggup buang masa belasah aku sampai lunyai,
setiap kali aku cuba cari jalan pulang. Kenapa eh? Paling aku tak sangka, ni aku
ugut korang guna Sang Dewi ni pun korang masih berdegil. Sampai macam tu
sekali... kenapa? Persoalan besar tu,” tanya Faiz.
9 Orang Tua
Misteri hanya mendiamkan diri. Lalu Faiz mengambil peluang ini untuk terus
berkata-kata. “Tapi tu bukan isu dier... Sebenarnya... baru sekarang aku sedar,
selama 15 tahun ni, walaupun banyak kali korang pukul aku sampai lunyai, tapi
aku masih hidup. Pelik kan. Dari dulu lagi korang boleh bunuh aku. Macam hari
ni, korang boleh pukul aku sampai mati, tapi tak, korang biarkan aku hidup. Akhirnya
barulah aku sedar, yang korang takkan bunuh aku!”
“HAHAHA! Korang
tak boleh bunuh aku kan? Aku nak bebaskan Dewi. Kalau korang taknak Dewi ni
bebas, aku bagi korang dua pilihan. Ikut kehendak aku, atau... bunuh aku,”
cabar si Faiz.
9 Orang Tua
Misteri hanya ketawa. Ketawa dan terus ketawa. Lalu si kucing bersuara, “Kami
memang tak boleh bunuh ko. Tapi...”
“Faiz...
kamu tak tahu ke... Dewi mahu hancurkan dunia ni... Bebaskan Dewi samalah
seperti kamu bunuh diri kamu,” jelas gadis rambut kerinting.
“Macam ni
lah bro. Tak guna kita panjangkan konfrontasi ni. Cuba fikir, apa pilihan ko
ada? Kalau kau tak tiup seruling tu ko masih boleh hidup happy tau. Kalau ko
tiup, Dewi tu sendiri bunuh ko. Tiup atau tak tiup, ko tetap takleh balik ke
zaman ko. Jadi?” tanya si kucing.
Faiz tunduk.
Dia sudah kehabisan akal. Faiz betul-betul mahu pulang ke tahun 2009, tetapi
semuanya bergantung pada 9 Orang Tua Misteri. Malangnya 9 Orang Tua Misteri
akan kerugian jika mereka ikut kehendak Faiz. 9 Orang Tua Misteri tidak mahu
Faiz tinggalkan zaman ini. Tetapi, jika Faiz ikut sahaja kehendak mereka, Faiz
pula yang rugi. Dan kedua-dua pihak lebih rela jika mereka semua sama-sama rugi
dari membiarkan satu pihak sahaja yang menang. Sama-sama rugi. Kalau itu yang
mereka mahu, fikir hati Faiz. Dengan ajaibnya, sebuah seruling zamrud yang
cantik berukir tiba-tiba muncul di tangan Faiz. Tanpa membuang masa, Faiz merapatkan
lubang seruling itu ke bibirnya.
“BODOH!!”
“JANGAN!!!” “Halang dier!!” jerit kesemua 9 Orang Tua Misteri serentak.
Si badan
berotot melompat lalu dalam masa sesaat sahaja dia sudah berada betul-betul di
atas Faiz, dan dia sudah bersedia untuk memijak kepala Faiz. BAAAAAAM!! Satu
hentaman yang kuat. Tetapi rupa-rupanya, yang dipijak lelaki berotot ini
bukanlah kepala Faiz, tetapi lengan kanan Faiz yang tiba-tiba muncul melindungi
kepalanya. Faiz berjaya menghentikan tapak kaki lelaki berotot ini hanya dengan
menggunakan sebelah tangan sahaja. Badan Faiz kelihatan mengerlip seperti
disaluti serbuk emas. Semakin lama semakin bersinar. “Jin-zhong?” kata lelaki
badan berotot ini. Dia terkejut melihat kerlipan emas yang menyaluti badan Faiz.
“Ingat
baik-baik nama ni... Hikmat Besi Khursani Panglima Faiz,” senyum Faiz. Tetapi
teknik rahsia Faiz ini hanya dapat bertahan selama 38 saat, dan teknik ini
hanya dapat digunakan sebulan sekali. Jadi, dia perlu cepat. Tangan kanannya
menahan kaki si lelaki berotot, dan tangan kirinya cepat-cepat merapatkan
lubang seruling ke bibirnya. Tanpa bazir masa, seruling ditiup. Tuuuu tuuuu~ Tuuuuuut tuuuu tuuuu~ Tuuuuuut
tuuuu tuuuu tuuuu~
“Celaka!”
jerit si lelaki berotot. Dengan sekali rentap, dia berjaya melepaskan kakinya
dari cengkaman tangan Faiz. Lelaki ini menghayunkan penumbuknya, sasarannya
ialah kepala Faiz. Kemarahannya meluap-luap. Dia mahu bunuh Faiz.
Tetapi
kerana terlampau geram, tumbukannya tidak mengena sasaran. Hanya menumbuk angin
semata-mata. Lelaki badan berotot ini bertambah berang. Dia menggenggam
penumbuk lalu mengangkat kedua-dua penumbuknya setinggi-tingginya. Dia ingin
menukul kepala Faiz. Melihat gaya lelaki badan berotot ini mengangkat
tangannya, Faiz fikir adalah lebih baik dia menahan serangan lelaki ini dari
mengelak, kerana jika dia mengelak, dia akan kehilangan peluang untuk menyerang
balas. Jika dia menahan, dia boleh menepis kemudian melakukan serangan mengejut
dari titik buta musuhnya ini. Lalu Faiz merapatkan kedua-dua lengannya, dia
bersedia untuk menahan serangan si lelaki berotot. Dan tinggal 10 saat lagi
sebelum teknik rahsianya hilang.
“KAU PANDANG
RENDAH KAT AKU??” jerit si lelaki berotot ini . Dengan satu teriakan dia
menjatuhkan penumbuknya dengan laju. BAAMMMPRAAAAKKKK!!! Penumbuk si lelaki berotot
ini dan lengan Faiz berlaga. Hentaman yang amat kuat, sehinggakan retakan hitam
muncul di sekeliling lengan Faiz. Lalu atmosfera di sekitar mereka pula retak,
seolah-olah mereka berdua sedang berada di dalam cermin lalu cermin itu pecah. Pemandangan
yang aneh, retakan muncul di semua tempat, pada batang pokok, pada udara, pada
tubuh Faiz. Kemudian rentakan itu hilang. Kedua-dua lengan Faiz sudah lunyai,
walaupun masih disaluti emas khursani. Tulangnya hancur sehancur-hancurnya.
Hikmat Besi Khursani tidak cukup kuat untuk melindungi tangannya.
Lelaki
berotot ini mengangkat penumbuknya sekali lagi. Faiz sedang menjerit menangis
kesakitan. Kerlipan emas di tangannya sudah hilang sepenuhnya. Cemas 8 Orang
Tua yang lain. Mereka tahu jika si lelaki berotot ini tumbuk Faiz sekali lagi,
Faiz akan mati terus.
Tetapi Faiz
sudah tidak dapat mempertahankan dirinya lagi. Cepat-cepat si gadis rambut kerinting
menjerit sebelum lelaki berotot jatuhkan penumbuknya, “Selamatkan Faiz!!!”
Lelaki
berbadan kurus tinggi muncul secara tiba-tiba di tepi Faiz, lalu dia menyentuh
bahu Faiz. Penumbuk lelaki berotot jatuh laju seperti kilat. Tapi Faiz sudah
hilang bersama-sama dengan lelaki berbadan kurus tadi. Maka penumbuk lelaki
berotot menghentam permukaan bumi dengan kuat. BUUUUUUUMMMMMMM!!!!!! Rentakan
muncul di tanah, sesaat kemudian rentakan itu membesar menjadi gaung yang
sangat dalam. Impak tumbukan lelaki berotot ini turut menghasilkan gempa bumi.
Salah satu puncak tinggi di gunung ini mula menyenget lalu runtuh menyembah
bumi.
Tanpa
disedari, si gadis berambut kerinting sudah berada di belakang si lelaki berotot.
Gadis ini menarik rambut si lelaki berotot. Gempa bumi berhenti. Si lelaki
berotot pun jatuh pengsan.
Tidak jauh
dari si gadis berambut kerinting, Faiz muncul kembali bersama-sama dengan si
lelaki kurus tinggi. Si gadis berambut kerinting berjalan menghampiri Faiz. Apabila
berada di hadapan Faiz, dia tunduk lalu menyentuh dahi Faiz. “Aku sedang
kurangkan kesakitan kau. Jadi kau boleh dengar kata-kata aku tanpa gangguan.” Gadis
ini senyap seketika sebelum menyambung, “Ada kalanya kita rasa kita ni kuat seperti
dewa. Tapi hakikatnya kita ni hanyalah manusia biasa. Sebagai seorang
manusia... kita kena tahu batasan diri kita.” “Faiz... kami nak seruling tu.”
Seorang lagi
lelaki datang menghampiri si gadis rambut kerinting. Badannya bersaiz sederhana
tetapi tegap. Walaupun bertopeng, dari gaya rambut dan bentuk muka, lelaki ini
pastinya seorang yang tampan. Lelaki ini bersuara, “Chibi, seruling tu dah
ditiup. Kita kena tunggu 48 jam untuk seruling tu keluar dari badan si peniup.
Itu syarat-syarat senjata ghaib.”
“48 jam?”
“Ya, 48 jam.
Buat masa sekarang ni tiada siapa dapat guna atau ambil seruling tu. Lebih baik
kita sembunyikan budak ni. Kita kena jaga dia baik-baik dalam masa 48 jam,
sampailah seruling tu muncul sendiri depan budak ni,” jawab lelaki tampan tadi,
sambil memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam saku seluar. Si gadis rambut
kerinting mula mengepal penumbuknya.
Bukk! Satu
tumbukan menghentam pipi Faiz. “Budak bengong,” kata si gadis rambut kerinting.
Angin dingin
bertiup lembut. Nyanyian mendayu-dayu datang dari pelbagai arah. Sayup-sayup.
Tiba-tiba kaki mereka ditenggelami air, paras buku lali. “Dari mana datangnya
air ni?” Tiba-tiba si kucing menjerit, “Dewi!!”
Sekelip
mata, mereka 9 Orang Tua Misteri sudah terawang-awang di atas langit. Sesuatu
telah mencampak mereka ke atas langit, setinggi-tingginya. Awan pun berada jauh
di bawah mereka. Beberapa saat kemudian mereka mula jatuh. Lalu jatuhlah mereka
dengan laju. Deruan angin memaksa mereka menjerit untuk berkata-kata, “Dengar
sini!! Dewi dah bebas!! Jadi selepas ni dia perlukan seruling untuk bebaskan
suaminya pula!! Kita kena dapatkan seruling tu sebelum Dewi dapat!!” kata si
gadis rambut kerinting sambil melihat sekeliling. Sekejap sahaja mereka telah
jatuh melepasi awan. Puncak Gunung Ledang sudah kelihatan di depan mata. “Kita
cuma ada masa 48 jam untuk sembunyikan Faiz!!” “Kalau si Dewi dapat seruling
sebelum kita, habislah dunia ni!!”
“Tapi Chibi,
Faiz takde dengan kita!!! Dia masih di Gunung Ledang!!” kata si kucing. “Aku
tahu!!” balas Chibi, si gadis berambut kerinting. “Gunung tu rumah Dewi!! Tengoklah!!
Betapa mudahnya dia campak kita keluar dari Gunung Ledang!! Sekarang, si Dewi
dah dapat kurung Faiz!! Dalam rumah dia sendiri!!!” jerit si kucing. “Selagi
tak cukup 48 jam, jangan haraplah kita dapat pijak puncak gunung tu!!” sambung
si kucing. Kemudian lelaki botak pula bersuara, suaranya lunak, “Chibi, kita
sedang jatuh ni, menghampiri puncak...” “Aku tahu!!” jawab Chibi.
“Schrödinger!!”
jerit Chibi sambil memandang si lelaki kurus tinggi. “Katarina??!” tanya Schrödinger
untuk mendapatkan kepastian. “Ya!!! Sekarang!!” jawab Chibi.
Pedang
berbilah panjang muncul terapung-apung di hadapan Schrödinger. Sebaik sahaja Schrödinger
menyentuh pedang di hadapannya, dia pun terus ghaib, hilang. Beberapa saat
kemudian, 8 Orang Tua Misteri yang lain pun turut hilang, ghaib sepenuhnya.
Asahan... 11 Mac 1588
Martim
Afonso de Mello sedang mengetuai rombongan Katarina. Katarina pula mengikut
rapat di belakangnya, diikuti dengan Dom Alessandro Valignano dan João
Rodrigues. Haikal pula berada di belakang mereka berdua. Aires de Saldanha
berada di belakang Haikal, dan Pedro de Escobar berada di belakang mereka
semua. Denai yang sedia ada memudahkan perjalanan mereka. Tetapi ada kalanya
mereka terpaksa juga memanjat akar-akar pokok dan batu-batu gunung. Katarina
mempercepatkan langkahnya lalu memotong de Mello. Sekarang Katarina di hadapan
mereka semua. Berkerut dahi de Mello.
Masa
terhenti. Pedro de Escobar, Alessandro Valignano, João Rodrigues, Martim Afonso
de Mello, dan Aires de Saldanha, kelima-lima mereka kaku tidak bergerak. Haikal
berasa sedikit hairan apabila melihat orang-orang Portugis ini kaku seperti
patung, tetapi oleh kerana banyak perkara pelik yang berlaku dalam hidupnya
sejak akhir-akhir ini, dia tidak lagi cepat panik.
9 Orang Tua
Misteri memunculkan diri secara tiba-tiba. Sekarang barulah Haikal panik
apabila dia tiba-tiba dikelilingi 8 orang manusia yang bertopeng emas. Orang
yang memakai topeng ini selalunya berniat jahat, kata hati Haikal. “Siapa
korang semua?” tanya Haikal.
“Siapa kau?”
tanya si lelaki berotot pula, tidak menjawab soalan Haikal. “Tiada manusia
biasa yang bisa bergerak di depan kami, kecuali diizinkan,” kata Schrödinger.
“Sebab dia
bukan manusia biasa. Dia ni Major Arkana lah bongok,” jelas si kucing.
Chibi pula
mencelah, “Nampaknya kamu dah buat dua kesalahan besar wahai Katarina. Kamu
gagal jaga Faiz, dan kamu juga gagal memberitahu kami pasal seorang lagi Major
Arkana ni.”
“Sejujurnya...
peraturan yang cuma benarkan 3 Major Arkana sahaja hidup di Melaka ni memang
keterlaluan,” jawab Katarina.
“Kenapa? Ada
lebih dari 3 Major Arkana ke? Dia ni, Faiz, kamu... siapa seorang lagi?” tanya
si kucing. “Raja Melayu... namanya Bayu,” jawab Katarina. “Masalahnya kita dah
tak cukup masa ni...” sambung Katarina. “Dewi dah dibebaskan?”
“Ya,” jawab
Chibi. “Maknanya kita ada 48 jam untuk bawa lari Faiz. Faiz mana?” tanya
Katarina.
“Faiz ada
kat atas, kat puncak tu,” jawab si lelaki tampan. “Aduh... susah ni. Maknanya
kita kena ‘pecah masuk’ rumah Dewi... dan rampas Faiz dari Dewi... dalam masa
48 jam...” balas Katarina.
“Err... You
all ni 9 Orang Tua Misteri ke?” Haikal mencelah.
“Macam mana
budak ni boleh kenal kita?” tanya si kucing.
“Well...
Takdelah menakutkan sangat. Cara Faiz cerita macam korang ni raksasa je hahaha.
So, korang pun nak selamatkan Faiz? Kenapa tak guna Epal Hitam je? Korang ada
Epal Hitam kan?”
9 Orang Tua
Misteri berpandangan sesama sendiri. “Katarina, macam mana budak ni boleh tahu
pasal Epal Hitam?” tanya Chibi. Katarina tersengih-sengih. Lalu Chibi merapati
Haikal sambil berkata, “Memandangkan di Melaka sekarang ada lebih dari 3 Major
Arkana... kita boleh buang seorang. Maaf, tiada siapa boleh tahu tentang Epal
Hitam selain dari kami.”
“Chibi!”
jerit Katarina sambil berlari ke sisi Haikal. “Eh? Nanti kejap. Salah ke apa
aku cakap tadi, Epal Hitam dapat tunaikan apa sahaja hajat kita kan? Kenapa
tak... uukk... ukk..” Tidak sempat Haikal menghabiskan ayatnya, lehernya telah
dicucuk jari Katarina. Haikal tercekik. Rasa seperti ada sesuatu yang melekat
pada anak tekaknya. “Dia ni pun datang dari masa depan?” tanya si kucing. “Ya,”
jawab Katarina. “Patutlah bangang bila berkata-kata,” balas si kucing.
“Maaf
Katarina. Ini peraturan. Kalau kamu taknak dia mati, awal-awal lagi kamu tak
beritahu dia pasal Epal Hitam,” kata Chibi sambil menghulurkan jarinya untuk
menyentuh bahu Haikal. Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan suara dari langit, “Ya dalet~ Beit~ Aku lah penaung mu~ Aku lah
liang lahadmu~ Inilah rumahku~ dan matilah kalian di dalamnya~”
Angin dingin
bertiup lembut. Tiba-tiba kedengaran bunyi riuh dari puncak bukit. Bunyi air
terjun bercampur dengan bunyi balak patah, dan bunyi balak berlaga sesama
sendiri. Semakin lama semakin kuat. Ada sesuatu menghampiri mereka dengan laju.
“Kepala air?!” kata Haikal. 9 Orang Misteri tidak dapat bergerak, ada sesuatu
yang menghalang mereka dari bergerak. “Katarina!! Kau buat apa??!” jerit si
lelaki berotot. “Bebaskan kami bodoh!!” jerit si kucing pula. Katarina sedang
memejam mata sambil mulutnya terkumat-kamit membaca jampi. “Katarina... cepat
bebaskan kami... Dewi nak bunuh kita semua...” rayu Chibi.
“Maaf, aku
perlukan kuasa kalian untuk selamatkan kita semua,” balas Katarina, yang masih
memejam matanya. Titisan-titisan air mula terasa. 8 Orang Tua Misteri yang lain
sudah redha, tetapi si kucing masih menjerit-jerit, “Katarinaaa!!” Bunyi balak
patah semakin menghampiri mereka semua. PRAAAAKKKK!!! Akhirnya ratusan kayu
balak bersama-sama air deras menghempap mereka. Sekelip mata.
Mereka semua
digulung-gulung air deras, dan sentiasa ditikam-tikam kayu keras. Air mula masuk
ke dalam hidung dan tekak, dan peritnya terasa hingga ke otak. Tenaga mereka
terasa seperti diserap keluar, diserap oleh air deras yang tidak henti-henti
menggulung mereka semua. Katarina, yang hampir hilang kesedaran, menggenggam
tangannya lalu menjerit, “Jen přes moji mrtvolu!” BUUUUFHHHH!! Satu ledakan
kuat diikuti sinaran cahaya biru. Puluhan kayu balak melayang di udara. Tetapi,
apakah nasib mereka semua?
Gunung Ledang... 12 Mac 1588
“Selamat
pagi,” si kucing menegur Haikal.
Haikal bangun
dari tidur, lalu terpinga-pinga. Cantik sungguh pemandangan di sekelilingnya. Dia
dikelilingi pokok berakar banir yang tegak meninggi, pokok jelawai gergasi.
Daun jelawai yang bersaiz kecil walaupun lebat membenarkan sedikit cahaya
matahari menembusi kanopinya.
Jalur-jalur
cahaya ini sungguh jelas kelihatan, menyuluh dari kanopi hingga ke dasar. Di
dasar hutan, di sekeliling akar banir jelawai, langsung tidak ada semak
sebaliknya dihiasi dengan pohon-pohon bunga pelbagai warna. Melati putih,
cempaka kuning, kemboja merah, dan anggerik ungu. Dan beberapa batang anak
sungai mengalir di sekeliling akar banir pokok gergasi ini. Haikal duduk di atas meja batu, dan air sungai
mengalir di sekelilingnya. Sungai cetek dan jernih. Aliran airnya tidak terlalu
laju. Dasarnya batu licin.
“Kita dipisahkan
dengan yang lain-lain,” kata si kucing.
“Kita kat
mana?” tanya Haikal.
“Gunung
Ledang. Ni namanya, Taman Raden Puteri,” jawab si kucing.
Haikal
termenung seketika sebelum berkata, “Jom naik ke puncak.”
“Oh. Agak-agak
kau lah kan, yang mana jalan menuju ke puncak?” kata si kucing.
“Tengoklah
aliran sungai, sungai mestilah turun dari puncak,” kata Haikal, yakin.
Haikal
melihat sekeliling sekali lagi. Bumi di depannya rata, langsung tidak condong.
Yang anehnya, aliran sungai di sekelilingnya sentiasa berubah. Sekejap mengalir
ke kanan, sekejap mengalir ke kiri. Sungai yang boleh berubah arah sesuka
hatinya.
“Ok... Macam
tu... aku jalan straight aje lah,” kata Haikal, lalu memulakan langkahnya.
Si kucing
membiarkan sahaja Haikal pergi dari situ. Beberapa minit kemudian Haikal
kembali, tetapi dari arah lain. Haikal tidak berhenti, dia meneruskan
perjalanannya. Kucing melihat sahaja Haikal berjalan pergi. Tidak lama kemudian
Haikal kembali dari arah lain. Seperti tadi, Haikal tidak berhenti, dia meneruskan
perjalanannya ke depan. Si kucing melihat sahaja dia pergi. Dan ini berulang
sebanyak dua puluh kali.
Haikal
hairan, tidak kiralah jalan mana yang dia ambil, si kucing pasti akan berada di
bahagian kirinya, dan tidak kiralah sejauh mana dia berjalan ke depan, dia
pasti akan berjumpa kembali dengan si kucing. “Ada berapa ekor kucing ni? Atau
aku ke yang pusing-pusing kat tempat yang sama dari tadi?” Tiba-tiba, dalam
perjalanan, dia diterkam si kucing.
“Tadi kau
jalan terus aje atau kau ada belok kiri kanan?” tanya si kucing, cemas.
“Emm, ada
juga aku ambil kanan tadi, pastu kadang-kadang aku pusing kiri,” jawab Haikal.
“Tengok
tangan kiri kau,” kata si kucing. Terkejut Haikal apabila melihat tangan
kirinya penuh bisul dan ruam. Pedih mula terasa. “Macam mana boleh jadi macam
ni?” jerit Haikal.
“Kau terkena
getah rengas. Yang peliknya, aku tak nampak pula pokok rengas,” balas si
kucing.
“Tangan
aku... habis... Aku kan Major Arkana, macam mana aku boleh terkena penyakit
ni?”
“Diamlah!”
balas si kucing. “Kau tak pelik, sini penuh dengan pokok jelawai, dan pokok-pokok
bunga... tapi takde pokok rengas. Maknanya...” sambung si kucing.
“Oh! Maksud
kau, aku dah terjumpa jalan keluar?” tanya Haikal.
“Mari ikut
aku,” kata si kucing lalu dia melompat pergi dari situ. Haikal berlari mengejar
si kucing. Mereka terus berlari, dan berlari, merentasi anak-anak sungai, yang
kadang kalanya mengalir dari arah belakang mereka, dan kadang kala mengalir
dari depan. Si kucing pula tidak sentiasa melompat ke depan. Ada kalanya dia
berhenti melompat, mengiau sambil melihat sekeliling. Kadang-kala, semasa
sedang melompat ke depan, si kucing membelok secara tiba-tiba. Kadang-kadang ke
kiri, kadang-kadang ke kanan. Akhirnya barulah Haikal perasan, setiap kali air
sungai mengalir dari arah belakang mereka, si kucing pasti akan membelok ke tepi.
“Kenapa Faiz
takut kat korang? Kuat sangat ke korang ni? Setakat kucing boleh bercakap je.”
“Kalau aku
tunjuk kehebatan aku nanti kau terkencing pula,” balas si kucing. “Haha. Ye lah
tu.”
Setelah jauh
berlari akhirnya pemandangan di sekeliling mereka mula berubah. Semak-semak
mula muncul. Tiada lagi pokok-pokok bunga. Akhirnya, mereka sampai di hadapan
ratusan pokok rengas yang membentuk dinding kubu. Tiada jalan keluar.
“Jangan
sentuh, pokok ni beracun,” si kucing memberi amaran. “Kejap, macam mana kau
boleh jumpa jalan ni?” tanya Haikal. Si kucing menjawab, “Aku tak pasti kau
boleh faham atau tak penjelasan aku ni... Syarat utamanya, berjalan melawan
arus. Maknanya, selagi sungai mengalir dari depan, kita berada di laluan yang
betul. Tapi kadang-kadang, aliran sungai akan bertukar. Kalau sungai tiba-tiba
mengalir dari belakang kita, kita kena membelok, tak kisahlah ke kanan atau ke
kiri. Tapi, jangan pusing ke belakang. Kalau sungai mengalir dari tepi, kita
lawan arus. Janji sungai tu sentiasa mengalir dari depan kita. Ulang proses
sampailah kita di sini.”
“Hahaha agak
rumit. Tak kisahlah. Emm... jadi macam mana ni... ada dinding pula,” kata
Haikal.
Si kucing
mengiau, “Mauuuuu~ hehehehe. Tadi kau nak tengok kehebatan aku kan.”
Mata si
kucing bercahaya, dia memuntahkan 3 bili guli logam. Lalu guli logam itu mula
mengumpul debu, pasir sungai, batu-batu kecil, dan ranting-ranting kayu. Dalam
masa beberapa saat, 3 guli logam itu membesar menjadi 3 bola gergasi.
“Err... itu
je? Boleh tahan saiz bola kau...” kata Haikal.
Tiba-tiba 3
bola gergasi ini retak. Lalu pecah. Maka muncul lah 3 robot yang berdiri tegap.
Rupa-rupanya, dalam setiap bola gergasi ini ada robot, 3 robot yang lengkap
dengan meriam di bahu, meriam di tangan dan meriam di punggung. Si kucing
ketawa. Haikal ternganga.
“Aku lah
pencipta robot yang agung!” sorak si kucing.
“Nanti
kejap, ini kan zaman kuno. Mana kau belajar cara buat robot?” tanya Haikal.
“Mana orang
zaman kau belajar cara buat robot?” si kucing senyum sinis.
BUUUMM!
Mereka berdua
terkejut. Ketiga-tiga robot si kucing telah dihancurkan dengan sekelip mata. Dan
di atas rangka robot yang hancur itu berdirinya seorang lelaki. Lelaki yang bersenjatakan
dua bilah parang. “Akulah Raja Melayu. Aku
menuntut nyawamu,” kata lelaki ini, suaranya bergema. “Siapa...” tanya si
kucing. “Eh kejap, aku pernah tengok dia ni. Dia ni lah lelaki yang selamatkan
aku hari tu,” kata Haikal. Ya, dia yang bernama Bayu, Sang Raja. Dalam satu
jeritan, Bayu melibas parangnya sekuat hati.
Di satu
tempat yang lain, Katarina sedang ditemani gadis bertopeng emas yang berambut
lurus. Gadis yang bernama Bathory Aria. Mereka berdua berada di dalam taman
bunga yang pelik. Pelik kerana...
“Kenapa semua
bunga dalam taman ni bersaiz gergasi?!” jerit Katarina.
Gadis
berambut lurus tadi menanggalkan topengnya. Cantik wajahnya. Comel. Kulitnya putih
bak bidadari. Matanya besar. Bibirnya comel molek. Rambutnya panjang lurus dan
lembut.
Apabila dia
bersuara, suaranya garau seperti lelaki. “Katarina, kita masih di Gunung Ledang
ke?” tanya Bathory Aria. “Ya, tapi kita dah terpisah dengan yang lain-lain,”
jawab Katarina.
“Aria jangan
risau... Yang lain-lain mesti sedang berjalan ke puncak juga. Kita pun kena sampai
ke puncak secepat mungkin,” Katarina menarik nafas lalu menghembus perlahan. “Tapi
masalahnya sekarang... kat mana puncak dier!!!” jerit si Katarina, yang sedang
berdiri di atas sekuntum bunga kemboja, yang bersaiz gergasi.
Katarina melantunkan
dirinya di atas kelopak bunga kemboja. Melantun setinggi-tingginya. Dia cuba
mencari puncak. Tetapi hanya padang bunga sahaja yang kelihatan. Padang bunga yang
luas, seluas mata memandang. Seolah-olah tiada penghujungnya.
Dia masih
tidak berhenti melantun-lantunkan dirinya. Selepas 5 minit barulah dia perasan sesuatu,
ada ketulan batu gergasi tersorok di dalam rimbunan pohon-pohon bunga gergasi.
Pada mulanya dia sangka itu hanyalah bukit yang ditutup pohon bunga yang
bersaiz lebih besar. Tetapi setelah diamati barulah dia sedar, ketulan batu itu
menyerupai manusia. Manusia batu bersaiz gergasi!
Katarina
mula mencarut-carut di dalam hatinya. Di alam Melayu, cuma ada satu makhluk
sahaja yang bersaiz gergasi dan diperbuat daripada batu. Sang kelembai.
Gergasi batu
ini mendongakkan kepalanya. Dia terdengar namanya disebut. Katarina terlupa,
nama Sang Kelembai tidak boleh disebut walaupun di dalam hati. “Celaka...”
bisik Katarina.
Masih di
udara, Katarina memunculkan ranting kayu di tangannya. Lalu ranting itu
bercahaya.
“Aria, duduk
diam-diam atas bunga tu! LEITMOTIV –
FRÜHLINGSLIED. Rose~!!” Bunga kemboja tadi dengan ajaibnya bertukar. Bathory
Aria mula dikelilingi kelopak-kelopak mawar. Katarina mendarat di sebelah Aria.
“Aria, tunduk!” Lalu kelopak-kelopak mawar ini menutup tubuh mereka berdua sepenuhnya,
membentuk kuncup bunga yang masih belum mekar.
Beberapa saat
kemudian, kuncup bunga ini ditiup angin. Angin ini mampu menukar manusia
menjadi batu. Nasib baik Katarina dan Aria sempat bersembunyi. Katarina
merungut-rungut di dalam kuncup bunga ini, “Nampaknya, kita kena tidurkan
gergasi tu... Ish, kenapa susah sangat nak cari puncak gunung ni!!”
Di satu
tempat yang lain, di atas Gunung Ledang, laut sedang bergelora. Aires de
Saldanha, Pedro de Escobar dan si lelaki botak sedang berlindung di celah-celah
ketulan batu gergasi yang masih belum ditenggelami air. Ombak badai setinggi 10
meter menghentam kiri dan kanan batu gergasi ini. “Sejak bila atas gunung ni
ada laut?” tanya Pedro de Escobar.
Si lelaki
botak dan Aires de Saldanha tidak menjawab soalan Pedro de Escobar. Mereka
berdua sedang memerhatikan seorang wanita. Wanita cantik yang tenang berdiri di
tengah lautan.
Di satu
tempat yang lain, di dalam hutan yang dipenuhi buluh perindu, di hadapan si
lelaki bertopeng yang mempunyai badan berotot, berdirinya seekor kerbau gergasi
yang sangat bengis. Matanya kemerah-merahan. Asap hitam dihembus keluar dari
hidungnya.
Kerbau
bengis ini ditunggang oleh seorang wanita tua. Wanita ini memakai ikat kepala
orang Minang yang bentuknya seperti tanduk kerbau. Dia memakai baju perisai
emas.
Tidak dapat
menahan kemarahannya, kerbau gergasi ini meluru laju ke arah si lelaki berotot.
Si lelaki berotot sudah bersedia dengan penumbuknya. Dia sememangnya mencari
mangsa untuk melepaskan tekanan jiwanya, dan kerbau gila ini seolah-olah redha
menjadi mangsa.
Di satu
tempat yang lain, di hadapan sebuah piramid bertangga, seekor ular gergasi
sedang berlingkar di sekeliling Schrödinger. Schrödinger memegang erat pedang
panjangnya. “Sejarah berulang. Ribuan tahun dahulu kami pernah berperang dengan
keluarga Dewa Dewi, dan hari ini kami kembali berperang dengan keluarga Dewa
Dewi. Pengakhirannya tetap sama... Dewa Dewi tewas di tangan kami,” kata Schrödinger
lalu membelah badan ular gergasi ini menjadi 10 bahagian, dengan sekali libas
sahaja.
Di dalam
hutan cendawan gergasi yang berwarna-warni, beberapa tembakan pistol kedengaran.
Puluhan harimau jadian lari berkeliaran. Sesaat kemudian, mereka semua ditembak
tepat di dahi, lalu jatuh menyembah bumi. Sunyi sepi.
Rupa-rupanya,
di atas salah satu cendawan, si lelaki tampan sedang mengacu pistolnya. Suasana
sunyi ini tidak bertahan lama. Lelaki tampan ini nampak 5 orang lelaki Melayu sedang
berjalan ke arahnya. Badan lelaki Melayu ini berwarna perak dan permukaan kulit
mereka seolah-olah mengeluarkan asap hitam bercampur bara. Mereka lengkap
berkain songket, berbaju Melayu berseluar senteng, dan bertanjak. Keris yang
tersisip di pinggang mereka kelihatan lebih besar, lebih panjang dari keris
biasa. Setiap kali mereka memijak, bumi akan bergegar. Mata mereka hitam
sepenuhnya.
“Kami Penghulu Anak Benua, datang menuntut
nyawamu~” suara mereka berlima bergema.
“Maaf. Dewa
Maut sahaja yang layak menuntut nyawa.” “Dan akulah Dewa Maut,” kata si lelaki
tampan ini.
Di satu
tempat yang lain, di atas tasik cetek yang dipenuhi bunga teratai, Chibi sedang
mendongak melihat langit. Di atas langit, burung garuda berapi sedang
memerhatikan Chibi.
“Dewi... kenapalah
kau temukan aku dengan Sang Garuda?” kata Chibi sambil mengurut dahinya.
“Malangnya... akulah kelemahan terbesar Sang Garuda,” senyum Chibi.
Di sebelah
dinding pokok rengas, ada dua robot sedang berdiri tegap, dan ratusan bangkai
robot yang berselerak di dalam sungai. Di dalam salah satu robot ini ada si
Haikal, dan di dalam satu lagi robot ada si kucing. “Pehhh giler cool, aku
dalam sut robot!” sorak Haikal. “Agak-agaknya boleh tembak laser tak,” tanya
Haikal sambil menghalakan tapak tangannya ke arah dinding pokok rengas.
ZAPPP!!
Laser ditembak selama beberapa saat. Ada lubang kecil muncul pada dinding pokok
rengas. “HAHAHAHAHHAHHA!! ADA LASER!” Haikal ketawa teruja.
“Hey bodoh,
sementara Raja Melayu tu hilang, inilah masa untuk kita melarikan diri,” kata
si kucing. “Alaa, kenapa tak fight je dengan lelaki tu. Robot ni tak cukup kuat
ke?” perli Haikal.
“Sut robot
ni bukan untuk berlawan. Sut robot ini untuk melindungi kau dari asap beracun
pokok rengas ni,” jawab si kucing.
“Eh, pokok
ni boleh keluarkan asap ke?” tanya Haikal.
Si kucing
menekan sesuatu ke dalam dinding pokok rengas, kemudian dia menjauhi dinding
ini. Suis ditekan. BOOOOM!!!! Letupan diikuti asap tebal. Asap beracun ini
menutup penglihatan Haikal. Haikal mula panik. Dia cuba keluar dari kepulan
asap ini.
Tiba-tiba
sut robotnya ditolak kuat, dia jatuh terlentang. Asap tebal hilang ditiup angin
kencang. Di depan matanya, sut robot si kucing sudah terpotong dua, hanya
separuh sahaja yang masih berdiri. Tiba-tiba Haikal nampak Bayu di atas dahan
pokok. Sekelip mata Bayu hilang dari pandangan matanya. BAAMM!! BAMMM!!
BAAAMM!!! Bunyi letupan tanpa henti. Oleh kerana dia terbaring, dia tidak
nampak apa-apa. Haikal cuba untuk duduk. Dia nampak Bayu sedang berlari ke
arahnya. PAAMM!!! Bayu dihentam kuat peluru berpandu. Satu letupan kedengaran.
Haikal cuba
untuk berdiri. Dia melihat ke arah dinding pokok rengas. Alangkah gembiranya
dia melihat lubang besar pada dinding itu. “Hey kucing! Kita dah boleh lari!”
Sut robot
yang terapung-apung di udara menembak peluru mesingan tanpa henti. Satu libasan
dari tepi memusnahkan robot yang terapung ini.
Muncul tiga
lagi robot. “Hey kucing! Jom pergi!” jerit Haikal. “Pergi dulu! Cari jalan ke
puncak!” suara si kucing kedengaran, tetapi kelibatnya tidak kelihatan.
“Terima
kasih! Jumpa lagi!” jerit Haikal. Tanpa membuang masa, dia terbang menuju ke
lubang besar pada dinding. Haikal sedar, tugasnya cuma membawa pulang Haikal.
Tetapi tugas 9 Orang Tua Misteri lebih berat. Nasib dunia di tangan mereka.
Sayup-sayup
kedengaran jeritan Haikal dari jauh, “Kalahkan mereka semua! Kalahkan Dewi!”
Si kucing
tersenyum apabila mendengar jeritan Haikal. Dia mendarat di atas sungai. Semua
bangkai robotnya berkumpul menjadi satu robot gergasi. Bayu memunculkan
dirinya.
“Raja dan
Dewa... sedikit pun kami tak gentar,” kata si kucing.