Fortaleza de la Malacca... .... 1588 Masihi
Oh cinta. Bacalah isi hati ku.
Bacalah kesemua rahsia di dalam hati ku.
Ya, ingin sekali aku luahkan segalanya padamu. Melalui mulut ku sendiri.
Tetapi aku takut. Takut pada reaksimu.
Lidahku pasti kelu jika aku mula bicara segala yang tersimpan di dalam hati ku.
Jadi cintaku, bacalah isi hati ku.
Lalu fahami aku.
Lalu moga kita dapat bersama, selamanya.
Bisik hati gadis Portugis berambut merah, yang sedang menarik lengan Haikal, di dalam sebuah kota, di atas sebatang jalan.
Jalan batu yang di mana kiri dan kanan jalan ini ada rumah teres dua tingkat, beratapkan jubin.
Rumah teres yang bersambung-sambung membentuk satu blok bangunan yang panjang. Berdinding putih dan dindingnya rata dari tingkat atas ke tingkat bawah, jika tiada tingkap dan pintu pasti kita akan menganggap blok bangunan teres ini hanya setingkat. Jarak antara satu tingkap ke satu tingkap juga agak seragam. Tingkap kayu berbentuk petak.
Sambil memayungi dirinya dan Haikal, gadis berambut merah ini terus menarik lengan Haikal, memimpin Haikal agar Haikal terus berjalan. Jika dia melepaskan pegangan tangannya, pasti Haikal akan berdiri tunduk mengenang nasib, berdiri terdiam membatukan diri.
"Nama saya Katarina," gadis berambut merah memperkenalkan dirinya sambil tersenyum, senyum untuk menceriakan suasana. Tetapi Haikal masih tunduk pilu.
"Awak nampak tak bangunan-bangunan di atas puncak bukit tu, di situ ada Gereja Besar. Lereng bukit tu pula ada Fortaleza Velha dan menaranya, nampak kan menara tinggi tu? Pastu belakang sana ada kolej untuk Jesuit." senyum Katarina sambil menunjuk-nunjuk bangunan yang jauh di sebelah kanannya.
Melihat Haikal masih tunduk tidak bermaya, Katarina menarik lengan Haikal untuk meneruskan perjalanan mereka. Perlahan-lahan mereka berjalan meredah hujan.
"Awak di sini awak kena hati-hati. Walaupun keadaan sekarang lebih aman berbanding tahun-tahun lepas, tapi masih ramai yang berdendam. Ada juga orang-orang yang sentiasa bersedia... untuk ambil kesempatan." Air muka Katarina mula berubah, tidak lagi tersenyum.
"Ada beberapa nama yang awak perlu tahu, dan berhati-hati. Emm... dulu Kota Melaka ni dijaga oleh Kapitan Besar. Tapi dah lama dah Melaka tak ada Kapitan Besar nya sendiri."
"Jadi, bila Melaka tidak ada Kapitan Besar, sekarang Kota Melaka dijaga oleh Gabenor Estado India sendiri, Tuan Manuel de Sousa Coutinho. Kami panggil dia Tuan Manuel. Cepat mesra dan manis mulut orangnya."
"Oh untuk pengetahuan awak, Gabenor Estado India ialah jawatan yang sangat tinggi, kerana tanah-tanah Portugis di Macau, Madagaska, India, Kolombo, Melaka, Ternate, Solor, semuanya di bawah jagaan Tuan Manuel." jelas Katarina dengan bangga.
Melihat air yang mengalir keluar dari mata Haikal, Katarina berhenti meneruskan langkah. Hati Katarina mula sebak. Dia cuba untuk memahami perasaan Haikal. Dia cuba.
"Awak... ingat baik-baik ye nama-nama yang saya beritahu ni." Katarina menarik nafas panjang.
"Jadi, apabila pemerintah rasmi Kota Melaka ni berada sangat jauh dari Melaka, nun jauh di Goa India, maka sekarang, Melaka diperintah secara tidak rasmi oleh Bishop."
"Orang yang paling berkuasa di Melaka sekarang ialah Tuan Joao Ribeiro Gaio, Bishop Kota Melaka."
No comments:
Post a Comment