Monday, 24 June 2013

Chapter 1 - Persona Non Grata


Ruang Udara Alor Setar, Kedah... 4 April 2007




Sebuah helikopter Black Hawk yang jika dilihat dari jauh kelihatan usang dan buruk, tetapi sebenarnya masih gagah, sangat gagah, meluncur terbang di atas awan putih.




Langit kelihatan kelabu. Bunyi kipas helikopter berwarna hijau gelap itu semakin lama semakin kuat, kadang kala bunyinya seperti bunyi jantung yang berdegup kencang. Dup dup dup dup. Dup.




Kencang.




Tapi semakin diamati semakin jelas bunyinya.




Dup. Dup. Dup.




Dup. Dup.




Bunyi jantung atau bunyi kipas helikopter?




Tiba-tiba senyap sunyi.




Tiada bunyi. Senyap.




Sunyi. Di dalam helikopter, kelihatan seorang gadis, masih kanak-kanak, 12 tahun, sedang termenung. Rambutnya bertocang dua, memakai baju blouse putih berlengan panjang, dan skirt labuh berwarna hitam, membuatkan dia kelihatan lebih matang dari usianya tetapi tetap comel.




Seorang lelaki beruniform tentera tiba-tiba mengusap rambut gadis ini. Bunyi bising kipas helikopter kembali membingitkan telinga.




"Sofia! Apa kita nak cakap kat mak Sofia ni?! Kalau salah tulis report mati kami berempat kena maki dengan mak Sofia!"




Gadis bertocang dua bernama Sofia tersenyum manja. Langsung tidak kelihatan takut.




"Tak apa! Sofia ada sebab Sofia nak datang sini! Oh nasib baik abang sebut pasal mama, Sofia nak rekod Voice Log untuk mama!"




Sofia menepuk kedua tapak tangannya, pap! Tiba-tiba muncul perakam kecil yang rupanya seperti sebatang Thumbdrive di atas tapak tangan kirinya. Dia menekan satu butang di atas perakam kecilnya, satu lampu LED ungu di perakam itu menyala.




"Mama, ini Sofia. Bertolak dari jam 1507, 14 haribulan Mac, tahun 2025. Menghampiri tahun 2007, 4 April, jam tidak diketahui. Lokasi ruang udara Alor Setar. Sasaran Pekan Rabu dan Papa. Mod pengangkutan, Panglima Hitam 03 dengan 4 krew. Tag misi... Pemberi Cincin, nanti mama rujuk fail Valentine Sofia. Tamat."




Sofia senyum dan hilangkan kembali perakamnya, kemudian menarik tangan lelaki beruniform tentera tadi untuk duduk di sebelahnya.




"Sofia rindu papa. Sofia nak jumpa papa Sofia"




"Sofia... Papa Sofia berjuang untuk kita semua, dia pertaruhkan nyawa demi kita semua... Sofia faham kan tanggungjawab papa Sofia"




Gadis comel ini masih senyum. Sesekali dia mengelipkan matanya dengan lembut. Kemudian dia ketawa kecil.




"Abang Chip, Sofia faham lah. Tapi Sofia nak abang berempat faham kenapa Sofia ajak abang-abang semua teman Sofia datang ke tahun 2007 ni."




Abang Chip (Najib) tersenyum kemudian menggosok rambut Sofia sambil menjerit "Ah stress!" kemudian mereka berdua sama-sama ketawa.




 Ini kisah gadis bernama Sofia Alarcon.




Helikopter Black Hawk yang dinaiki Sofia, Chip, Raz, Joe, Cheng menghampiri Menara Alor Setar, kemudian terbang tinggi dan mula menjauhi Menara Alor Setar.




"Chip! Raz! Kita dah ada atas City Plaza!"




"OK! Thank you Cheng!"




Kemudian Chip mengalih pandangan ke arah Sofia. Sofia sedang mengeliat, meregangkan badan. Melihat Chip yang sedang menenungnya, Sofia tersenyum kemudian Sofia gosok-gosok rambut Chip untuk mengusik Chip.




"Ready princess, kita ada 3 jam."




Pernahkah anda jumpa gadis yang selalu memaafkan orang lain, dan tidak pernah salahkan orang lain?




Raz, Chip, dan Sofia berdiri di pintu helikopter dengan bergaya. Mereka tidak memakai apa apa beg galas atau beg payung terjun. Raz hanya bercermin mata hitam dan memakai uniform tentera. Chip juga hanya beruniform tentera tetapi dia menggalas selaras rifle berbontot besar, Steyr AUG. Sofia membetulkan tocang duanya, dia mengikat kembali rambutnya menjadi sanggul yang cantik.




"OK! Raz! Chip! Sofia! Ingat 3 jam! Sekarang!"




Sofia menutup matanya, kemudian dia menepuk kedua tapak tangannya. Raz, Chip dan Sofia tiba-tiba hilang.




Pernahkah anda jumpa gadis yang masih tersenyum biarpun disakiti semata-mata kerana dia tidak mahu orang lain bersedih?




Di hadapan Pekan Rabu, berhampiran tempat menunggu bas, ada banyak khemah-khemah bazaar yang menjual pelbagai jenis barangan seperti baju kurung, t-shirt, selipar, kasut, blouse, dan kedai aksesori yang menjual cincin, jam tangan, cermin mata dan rantai.




Suasana agak meriah, walaupun hari ni bukan hari minggu. Jalan-jalan di sekitar bazaar ini sesak dengan orang ramai pelbagai umur.




Tidak jauh dari situ, di lorong belakang kedai-kedai runcit, dan kedai makan tiba-tiba muncul Sofia, Raz dan Chip.




"Sofia, stop time!"




Sofia menepuk kedua tapak tangannya. Semua orang (kecuali mereka bertiga) berhenti seperti dibekukan. Jika ada yang sedang melompat, orang itu akan terhenti seolah-olah terapung di udara. Asap dari kuali, api dari dapur di kedai nasi kandar juga keras kaku tidak bergerak seinci pun. Masa terhenti seperti mimpi.




"Ok. Jom cari papa Sofia"




"Chip. Tunggu. Cuba tengok depan tu, tepi tong sampah tu."




Raz, lelaki berambut perang, macho dengan tubuh sasa dan kulit gelap yang sentiasa dia bangga-banggakan, yang katanya hasil dari keturunan India sejati, bergaya dan tegap, mula berjalan mendekati satu tubuh yang terduduk diam di celah-celah dua tong hitam. Sofia kemudian berlari mendapatkan tubuh itu.




Sebaik sahaja sampai di hadapan tubuh seorang lelaki kurus berbangsa Melayu itu, Sofia terus periksa nadinya. Mata lelaki kurus ini terbeliak.




"Sofia, dia hidup lagi?"




Pernahkah anda jumpa gadis yang mampu memahami perasaan orang lain, sentiasa faham kenapa seseorang itu menyakiti orang lain, sentiasa redha, dan tidak pernah mencarut dan tidak pernah marah?




Chip berjalan menghampiri Sofia dan melutut di sebelah Sofia. Chip memeriksa semua kocek, saku, poket lelaki kurus ini. Raz memerhati keadaan sekeliling, sentiasa berwaspada dengan kehadiran musuh.




"Abang Chip, ini bukan mayat biasa. Ini orang yang sepatutnya hantar cincin kat papa!"




"Eh?! Macam mana Sofia tau?"




"Ini bukan kali pertama Sofia datang ke tahun ni. Sofia dah banyak kali tengok, lelaki ni yang bagi papa cincin! 3 kali Sofia datang tahun ni, waktu ni, di tempat ni, dah 3 kali, lelaki ni, lelaki yang sama bagi papa cincin! Tetapi kenapa kali ni dia dah mati?!"




Sofia ketakutan. Chip terpaksa peluk dia untuk tenangkan dia.




"Sofia tenang, kita cari papa dulu, kita cari papa Sofia dulu."




Sofia menunjuk tekak lelaki kurus ini sambil menepuk paha Chip berulang kali.




"Abang Chip! Ada dalam ni!"




"Eh, apa yang ada dalam tu?"




"Cincin!"




Sofia menyuruh Chip memasukkan tangannya ke dalam mulut lelaki kurus ini. Sambil berkerut dahi, Chip mengikut sahaja kehendak Sofia. Tiba-tiba Chip membulatkan matanya kerana terkejut, dia mengeluarkan tangannya dari dalam mulut lelaki kurus ini. Dia menunjukkan sebentuk cincin berwarna hitam kepada Sofia. Kedua-dua mereka kegembiraan dan teruja.




"Ok, jom cari papa Sofia."




Pernahkan anda jumpa gadis yang tidak mengejar kesempurnaan, sentiasa sederhana, dan tidak mengharap apa apa balasan? Pernah?




Di hadapan Pekan Rabu, berhampiran jejantas, Sofia diikuti Raz dan Chip sedang berlari selaju yang mungkin menghampiri khemah-khemah bazaar di hadapan mereka. Di antara ramai-ramai orang yang telah dibekukan ini, mereka bertiga menghampiri seorang remaja berkemeja hitam berlengan pendek yang mengalas beg kanvas berwarna hitam. Sofia ceria dan terus memeluk tubuh remaja berkemeja hitam ini. Tetapi lelaki ini kekal beku seperti patung.




"Papa... Sofia rindu papa."




"Wow, Tuan kelihatan sangat... muda. Haha nampak jambuu sangat"




"Hehe hensem kan papa Sofia muda-muda. Hihi. Em rasanya umur papa masa ni 18 tahun"




Raz menghampiri mereka berdua dengan cemas.




"Sofia, kita kena cepat. Aku tak dapat contact Joe."




"Ok ok. Sofia nak masukkan cincin ni dalam beg papa."




Kemudian tanpa berlengah, Sofia masukkan cincin hitam tadi ke dalam poket beg galas papanya. Mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu. Kemudian dia tersenyum dan mengajak Chip dan Raz meninggalkan tempat ini. Apabila sudah jauh dari papa Sofia, Sofia menepuk kedua tangannya dan semuanya mula berjalan, air mula mengalir, asap mula naik ke udara, bazaar kembali meriah dengan riuh rendah manusia, semuanya pulih seperti biasa. Seperti tidak ada apa-apa yang terjadi.




......




Setelah semuanya selesai, cincin hitam pun sudah dipastikan berada di tangan papa Sofia, tiada lagi sebab lain untuk Sofia berada di zaman ini. Pulang ke rumah, itulah yang berlegar-legar di dalam fikiran Sofia.




Walaupun tujuan asal Sofia datang kali ini untuk terus mengekori pemberi cincin hitam, setelah pemberi itu selesai tugasnya, memberi cincin kepada papa Sofia, tetapi apakan daya, pemberi cincin hitam itu sudah kehilangan nyawanya sebelum sempat menyelesaikan tugasnya.




Orang yang tidak sepatutnya mati sudahpun mati. Lagi lama mereka berada di tahun 2007 ini, lagi terancam nyawa Sofia. Maka, apa yang patut mereka buat sekarang ialah berkumpul, mereka perlu menghubungi Cheng, pilot helikopter Black Hawk yang mereka naik tadi.




Kini mereka bertiga berada di dalam Pekan Rabu, di tangga paling sunyi. Sofia sedang cuba untuk menghubungi Joe dan Cheng. Matanya berair. Sofia sedang menangis.




"Abang Joe... reply"




"Cheng? Reply.... please"




"Abang Joe?!"




"Abang Joe... reply la!"




Sekarang mungkin anda tidak perasan gadis seperti Sofia ini wujud. Tetapi suatu hari nanti, kita semua terpaksa cari Sofia, untuk keluar dari kitaran kesempurnaan yang penuh kebencian ini.




......




"Antara cinta dan benci hanya dipisahkan oleh satu garis halus."


- Surat Ungu untuk Nuha (Noor Suraya)




Medan Ilmu, Kolej PMCSS, Selangor... 4 Mac 2009




Hujan.




Hujan agak lebat. Beberapa pelajar tersangkut di Medan Ilmu, tempat di mana para pelajar Professional and Medical College of Serdang Sentral (PMCSS) berbincang, mengulang kaji, mengumpat, mengakses internet, menonton drama komedi, dan belajar menggunakan Facebook.




Dina, gadis comel yang bertudung hijau tebu hampir menguap. Keletihan tetapi perlu menghabiskan Literature Review Final Year Projectnya, ditambah pula dengan bunyi hujan, alangkah bahagianya jika dapat merebahkan tubuh di atas katil dan bantal.




Seorang lelaki kacak, 20-an, mengendong beg laptop menghampiri Dina dengan penuh bersemangat. Sebaik sahaja sampai di meja Dina, dia mengeluarkan laptop nya. Dia lah Haikal Hakimi, salah seorang Best Student di PMCSS.




"Eh Dina (senyum), masam je muka"




"Shut up"




Dina toleh memandang tepat wajah Haikal, kemudian senyum. Dina tahu sangat perangai Haikal, kalau Haikal datang dengan senyuman bermakna segala yang Haikal rancang berjalan lancar. Haikal amat amat amat bencikan gangguan.




"So... (senyum) apa Doktor cakap? Dia tak cincang Literature Review kau?"




"Haha, dia cincang habis! Huh, dalam mimpi. Haha what did you expect hah, of course lah dia suka dengan tulisan aku, this is Haikal Hakimi."




Haikal duduk dan membuka laptopnya. Dia kemudian mengeluarkan wireless mouse dari dalam begnya.




"Not only that, aku spent about 2 weeks to make sure yang kerja aku betul-betul siap, bukan ditulis last minute macam korang. Budaya last minute will make your life berserabut, and I don't like that."




Dina malas hendak melayan Haikal apabila Haikal mula 'masuk bakul angkat sendiri'. Tetapi Haikal yang tiba-tiba merenung tajam ke arahnya betul-betul mengganggu fikirannya.




"What??"




"Faiz datang kelas tadi?"




Dina geleng kepala dan menyambung kerjanya.




"Tadi masa aku kat bilik Doktor, Encik Sham ada sekali. Dia tanya aku pasal Faiz."




"Well, cakap je lah kau tak tahu."




"I did... tapi mana budak tu pergi hah? Dah mati ke? Semua lecturer cari dia, kalau ye pun dah taknak belajar, tak payah la menyusahkan orang lain."




Dina seolah-olah termenung, kemudian kembali menaip sesuatu di laptopnya.




"Dia balik kampung kot. Maybe nak release tension. Dia kan ada problem dengan FYP dia. Eh kau kan sekampung dengan dia, try la call ur parents and ask them kalau diorang ada nampak Faiz kat kampung."




"Takde masa aku nak jaga dia. Dah besar, patut boleh fikir sendiri, semua orang ada masalah, tapi tak payahlah hilang tak datang kelas sampai lecturer cari, itu kurang ajar namanya."




......




Siapa Haikal, siapa Faiz, apa kaitan dengan Sofia?




Berpuluh tahun, beratus tahun, beribu tahun, kisah ini berulang, pengakhiran tetap sama. 




Siapa Haikal, siapa Faiz, apa kaitan dengan Sofia?




Berpuluh tahun, beratus tahun, beribu tahun, mereka berdua mencari pengakhiran yang berbeza.



Dalam kegelapan malam, dipenuhi kabus sejuk, kedua-dua puncak menara berkembar tenggelam dalam kehitaman, hampir tidak kelihatan, hitam, gelap gelita, tetapi dalam kehitaman jelas kelihatan satu titik cahaya masih bersinar, satu bilik di  puncak menara KLCC itu masih bercahaya, berpenghuni.




Menara Berkembar KLCC, Kuala Lumpur... 1 Mei 2033




Rupanya bilik yang bercahaya itu adalah sebuah perpustakaan.




CRAAAAAANGGG!!




Cermin tingkap besar yang memisahkan langit luar dan ruang dalam perpustakaan meletup pecah, seluruh ruang perpustakaan ini bergoncang kuat. Buku-buku di atas rak jatuh, sebaris demi sebaris. Beberapa saat, goncangan berhenti.




Di tengah-tengah ruang legar perpustakaan ini ada seorang gadis berambut panjang, sedang melutut, rambutnya yang panjang menutup seluruh wajahnya. Tetapi jelas mulutnya penuh darah, darah menitis membanjiri lantai. Gadis manis ini tercungap-cungap.




Tiba-tiba muncul seorang lelaki berumur 40-an di hadapan gadis ini. Lelaki botak berparut di tengah dahi, memakai jaket kulit berzip dan berseluar jeans hitam, berdiri dengan tegap, kelihatan marah dan bersedia untuk menendang gadis ini.




Maka gadis itu tersenyum lalu bersuara, “You tau kan I hanyalah Homunkulus, tak rasa sakit, tak tau apa itu seksaan. Then you pukul lah I sekuat mana pun, I takkan bagitau you apa-apa rahsia.”




Lelaki botak ini terdiam, terpaku. Tetapi tidak lama, lelaki botak ini mula menghayun kakinya sekuat hati.




Apabila kakinya hampir menyentuh pipi gadis itu, tiba-tiba muncul satu tiang besi terkeluar dari lantai, kebetulan berada di tengah-tengah laluan tendangan yang kencang ini lalu berjaya menghentikan terus kaki lelaki ini. Gadis itu terselamat dan tiang besi itu pecah menjadi debu halus. 




Lelaki botak ini berundur, lalu berdiri dengan tenang, memerhati gadis itu dari jauh.




“Tetapi aku taknak rahsia kau.”




Lelaki botak itu menoleh ke kanan dan dari jauh dia nampak seorang lelaki Amerika.




Seorang lelaki Amerika berambut perang lebat yang lurus tercacak naik, bercermin mata, kacak, berkulit putih, kurus tegap, berbaju kemeja kotak-kotak, berseluar slack khaki.




Gembira riang hati lelaki botak ini melihat lelaki Amerika yang dicarinya.




“Aku taknak rahsia kau, aku cuma nak Tuan kau ni munculkan diri.”




“Oh hey hey Nobert, Gerbert d’Aurillac, the programmer, haha long time no see you.” sorak lelaki botak itu.




Kemarahan. Itulah perasaan yang meluap-luap menguasai hati lelaki Amerika yang bernama Nobert ini. Perlahan-lahan dia berjalan menghampiri lelaki botak 40-an di hadapannya.




"Ini rumah aku, and... gadis yang kau sepak tu ciptaan aku yang paling aku sayang...” Norbert bersuara, tegas.




Norbert terdiam seketika. Matanya asyik melihat gadis tadi membetulkan rambut panjangnya. Kemudian gadis itu membersihkan darah di muka dengan menggunakan lengan bajunya.




“Then Faiz, berikan aku satu sahaja sebab... untuk aku terus bertenang.”




“Haha geng, kau tengah sibuk ke? Tengok tak tadi? Aku sedap tendang awek kau ni tapi kau buat taktau je,” Faiz balas dengan ketawa sinis.




“Weyh aku tanya ni, kau sibuk ke geng? Well kenapa kau sibuk eh? Mari aku teka. Kalau tengok jam, dah masuk 1 haribulan Mei ni, kita pula kat KLCC, oha KLCC! KLCC yang kita semua panggil The Gate. Well geng, aku tau... apa yang kau tengah plan geng."



Nobert senyap tidak membalas usikan Faiz, dia berjalan perlahan menghampiri gadis tadi.




"Tapi point aku datang malam ni, ialah untuk ajak kau hentikan semua ni. Sudah lah tu. Hentikan perang ni. Takde motif untuk kau terus berlawan. Kesemua 8 orang....”




Nobert ketawa mendengar kata-kata panjang lebar Faiz.




“Please stop that... ada garis halus yang membezakan dialog cool dengan dialog poyo plastik." kata Nobert, tersenyum.







"I'm fine kalau kau nak bercakap guna dialog plastik sampah tu dalam wayang, because, kau tahulah, sesetengah awek Malaysia suka kinky dalam wayang... you will miss that kind of pleasure kalau kau terlampau fokus pada cerita wayang, right?"



Faiz botak angguk sambil menggosok dagunya.



"Masalahnya sekarang Faiz..."



"...kata-kata bosan kau..."



"...sudah bazir masa..."



"...aku!!"




 

Norbert menghayun tangan kirinya, dua tiga bebola logam laju menuju muka Faiz, si botak berparut itu. Tetapi sayang, alangkah ruginya serangan tadi, tidak sempat melihat kehebatannya dua tiga bebola tadi dibasahi lalu jatuh menghentam lantai, retak.



“Heh. Bukannya baru hari ni aku berperang dengan korang 9 orang. Menjerit macam senang nak sentuh aku,” kata Faiz sambil perlahan-lahan berjalan ke arah tingkap yang pecah awal-awal tadi.




Pemandangan di luar gelap gelita, tiada lampu, tiada tanda-tanda kehidupan. Wilayah Kuala Lumpur sudah lama ditinggalkan sejak wabak tahun 2015.





“Hey kawan, tengok," Norbert mengeluarkan sesuatu dari lantai, ya dari lantai, lantai itu ada lubang tersembunyi, ajaib!



"Ok... itu scary. Epal hitam. Mana kau dapat?"




Di atas tapak tangan Nobert ada sebiji epal yang keseluruhan kulitnya berwarna hitam pekat berkilat. Sebaik sahaja kita melihat epal hitam itu kepala kita akan terasa seperti ditekan dan disedut otak keluar dari dalam tempurung kepala, tetapi itu cumalah perasaan yang terhasil apabila melihat epal hitam itu.




“Ahah! Epal hitam yang terakhir! Haha ok sekarang baru aku faham. KLCC, pintu gate... Well Norbert Gerbert, nice try."



"Apapun Gerbert, kenapa perlu tunggu, marilah beradu sekarang, kalau nak beradu sangat.”




Tiba-tiba dinding perpustakaan, lantai, dan ruang siling mula retak, pecah, dan runtuh. Lalu di celah-celah runtuhan dinding, di celah-celah retakan siling muncul tubuh-tubuh robot, patung besi, dan manusia separuh robot keluar menghampiri Faiz Abdullah. Merangkak, hampir, semakin hampir.




Tetapi, Faiz Abdullah tenang riang tersenyum.




WBUUUUM!!




Asap letupan memenuhi ruang kiri perpustakaan. Kelihatan beberapa anggota badan robot-robot berselerak di atas lantai. Lalu muncul seorang gadis comel bertudung, kurus tinggi, berbaju kebaya ungu, di sebalik asap tebal itu. Gadis ini mengendong selaras meriam tembaga.




“General, Shima datang report untuk duty ni.”




Nobert tersenyum, ketawa kecil.




“Shima Rezal... Wow General Faiz, kau bawa orang untuk mati bersama? Budak pula tu.”




“Tuan, tuan terlalu banyak sembang. Kalau ikut cadangan saya kan senang. Tembak dia dengan ubat pengsan saya, bawa dia balik HOME, pastu sembang lah puas-puas,” kata seorang lelaki bulat bertubuh gempal, berambut hijau kemas, berjanggut hijau nipis di hujung dagu, memakai cermin mata, kacak comel lelaki ini.




“Oh Doktor Verde pun ada... dan guna dialog poyo... like his boss”




“Now, last warning, last chance, hentikan semua ni.”




“Dah cukup? Ini je orang kau bawa untuk tentang aku? Hahahahahahahaha. Faiz.... bawalah lagi ramai! Tengok epal ni."



"Faiz! Ini peraturan rumah aku. JIKA Epal Hitam wujud, satu kau, dua orang kau, sampai 23 orang, MAKA tetap kau mati."



"JIKA lebih dari 23 orang kau datang, MAKA Epal Hitam HANYA akan hilang JIKA Haikal ada di sini sekarang, SELAIN DARI ITU, bila epal ni tak hilang, perlawanan ini akan berterusan SEHINGGA kau atau aku pergi dari sini. Aku cuma perlukan 5 jam untuk aktifkan Gate KLCC ni. Problem kau ialah, Haikal dah... mati!!! Hahaha.”



 

"Faiz! Selagi aku ada epal hitam ni, kau takkan menang! Kalau tak cukup 23 orang, kau pula mati! Hahaha."



“Giler... berlagak orang putih ni, huh,” berkerut dahi Shima melihat telatah Nobert.




“Fine. Nobert, Gerbert, dalam 5 jam ni sebelum masuk waktu subuh, aku akan jatuhkan hukuman mati ke atas kau,  Gerbert d’Aurillac,” kata Faiz perlahan.




Nobert pantas melihat jam tangan emasnya. Kemudian dia tersenyum lebar selebar lautan pasifik.




“Hehehe”




“Faiz, 5 jam terlalu lama, hehe”




Nun di langit jauh, dalam kegelapan malam tanpa bulan, tiba-tiba muncul kerlipan cahaya. Setiap saat kerlipan cahaya itu semakin meriah, semakin banyak, semakin dekat. Rupanya, sebuah pesawat sedang menghampiri mereka dengan laju.




Laluan pesawat itu tepat menghala perpustakaan.




Faiz mula berkerut dahi. Shima berlari menghampiri Faiz, muncung meriamnya dihalakan ke arah pesawat itu.  Nobert ketawa. Dia berlari menghampiri Faiz, tetapi Faiz pantas memegang kedua-dua tangan Nobert.




Nobert berbisik sesuatu pada telinga Faiz, “Moga kita sempat gembira sebelum mati.”




“So mote it be.”




......




Bangi, Selangor... 4 Mac 2009




Petang itu, Haikal di dalam kereta Proton Satria kuningnya, pulang ke rumah dengan perasaan yang bercampur, antara puas dan gembira kerana hasil kerjanya diterima oleh Doktor Hafiz, pensyarah yang menyelia Projek Tahun Akhirnya, dan juga perasaan kecewa dan geram terhadap Faiz Abdullah, rakannya sejak kecil.




Apabila sampai di rumah, sebuah rumah teres di Bangi, Haikal terlihat sampul putih bersih di hadapan pintu rumahnya. Dia membuka pintu, kemudian mengambil sampul putih yang tidak ada apa-apa contengan di atasnya, dan terus duduk di atas sofa maroon.




Belum sempat dia membuka sampul itu, tiba-tiba handphone nya berbunyi. Blackberry.




"Oh mama. Em... Sihat. Mama sihat? Ehemm... hehe... Oh, Doktor likes my work. Emm.. yes.. haha... oh so mama, ada apa tiba-tiba call?"




"Saje. Saje tanya khabar. Em..." Mama kepada Haikal bersuara lembut.




"Em? Mama, Haikal baru balik ni, I need some rest."




"Haikal, Faiz your classmate kan?"




Berkerut dahi Haikal apabila tiba-tiba ibunya sebut nama Faiz. Perutnya tiba-tiba rasa senak memulas, dahinya berpeluh, dia rasa tidak sedap hati.




"Yes... and why?"




"Em... rumah familinya terbakar pagi tadi. Satu keluarga rentung."




Haikal terkedu. Hilang segala perasaan. Hilang kata-kata.




"Faiz? Faiz pun...."




"Mama taktau nak cakap dia bertuah atau tak, tapi they only found 4 bodies, but not Faiz, Faiz masih hidup, tapi... (sebak) seluruh keluarga..."




"Mama mama, ambil wudhuk pergi solat, mama jangan fikir sangat, its ok, jangan sedih ya ma, pergi ambil wudhuk dulu, and Haikal pun perlukan rest ni."'




Selepas beberapa saat.




"Ok, love u too Ma, kirim salam kat Papa, take care."




Berat bahu Haikal, dia menyandar pada sofa dan sofa seolah-olah menyedut tubuhnya, berat, berat sungguh rasa hati Haikal sekarang. Melihat sampul putih di tangannya sedikit mengalih fikirannya.




Di dalam sampul putih itu ada sehelai surat, dan sebentuk cincin emas belah rotan. Haikal membaca surat itu, dengan sebak.




Haikal kawanku,




Ada sebab kenapa semua ini terjadi. Kau perlu redha. Kita kena terima hakikat. Jangan menyeksa diri. Ada sebab. Kau jangan risau. Kita hidup di bumi Tuhan, paling teruk pun kita mati, dan kalau kita mati, kita dapat bertemu Dia




Hehe aku sebenarnya tidak tahu macam mana nak cakap, sebenarnya aku nak bg amaran, bukan bukan, bukan amaran. Aku nak bagi ko persediaan. Aku cuma harap ko lebih bersedia. Cincin yang aku bagi ni, sebenarnya milik papa kau. Tapi masa aku kecik, masa kite kecik, papa ko bagi aku cincin tu. Sekarang aku pulangkan balik kat kau.




Oh, aku sbnarnya nak minta tolong... tapi kalau ko datang tolong aku, aku tak tipu, kalau ko datang tolong aku, hidup ko akan berubah.




Tapi kalau ko masih nak datang tolong (aku harap sangat ko datang), datang ke depan pintu gerbang kolej 13 Mac ni.




Dari kawan kesayangan ko.


Faiz yang Genius




Haikal rasa sangat menyampah dan bengang. Dalam fikirannya sekarang dia terbayang Faiz yang meminjam wang dari Ah Long, tidak dapat bayar. Sekarang Faiz cuba mengumpan dirinya agar terjebak sama. Tolong bayar hutang orang? Tak mungkin! Haikal bertambah bengang apabila memikirkan keluarga Faiz rentung terbakar mungkin ada kaitan dengan hutang Ah Long.




Itulah apa yang Haikal fikirkan. Tetapi, malangnya, apabila 13 Mac tiba, apabila dia sudah tahu perkara sebenar, ketika itu, semuanya sudah terlambat. 13 Mac 2009, hari di mana segalanya bermula.




......




Ragusa, Sicily, Italy... 1 Mei 2033




Di sebuah kota lama.



Di mana bangunan berbentuk kotak yang dibina rapat-rapat, atap-atap rumah dicondongkan rendah sehingga hampir tidak kelihatan jubin atapnya, dan tingkap rumah kelihatan bosan berbentuk petak, semuanya berbentuk petak.




Dinding rumah-rumah di sini semuanya berwarna beige, yang sebati dengan warna tanah batu, sebati dengan warna gunung-gunung batu, satu-satunya warna selain warna beige ialah warna hijau.




Hijau kerana bandar Ragusa penuh dengan pohon Zaitun, dan pokok Carob (Ceratonia siliqua L.) yang meneduhi rumah-rumah dan jalan di Ragusa. Tetapi majoriti warna di Ragusa tetaplah warna beige.




Inilah Sicily, tanah ajaib yang menyuburkan ikatan kekeluargaan.




Di atas sebuah jalan di pinggir bandar, di pinggir bukit, seorang remaja lelaki 16 tahun, bangsa Italy, berambut hitam lebat yang disikat ke belakang, bermata hijau terang, kurus kacak, sedang mengayuh basikal dengan laju. Dia kelihatan sangat serius.




Jauh di hadapan, kelihatan seorang lelaki tua botak tengah. Lelaki tua ini usianya dalam lingkungan 70-an tetapi masih tegap, dia kelihatan mesra, dari jauh sudah tersenyum apabila melihat remaja 16 tahun tadi mengayuh basikal menghampirinya.




Apabila sudah dekat, lelaki 70-an ini mengangkat tangannya lalu bersorak ke arah remaja tadi.




"Giorno Philippo!"




Remaja 16 tahun tadi yang bernama Philippo, tersenyum, menoleh sebentar ke belakang, memandang ke arah lelaki tua tadi lalu membalas, "Giorno!"




Setelah jauh berkayuh, akhirnya Philippo sampai di destinasinya. Seorang lelaki 20-an berdiri di bawah pokok Carob menunggunya.




"Cepat-cepat Phillipo, Tuan General on the way ni, dengar citer dia kat Palermo dah."




"Prego kawanku, prego!" balas Philippo sambil mengerutkan dahinya.




"Hey hey nanti aku belanja kau lah. Jom bawa aku ke Siracusa. Cepat sikit."




Tetapi Philippo hanya diam terpaku melihat langit.



"Raff... tengok langit."




Lelaki 20-an yang bernama Raff pantas melihat langit. Gerun hati mereka berdua apabila melihat ratusan peluru berpandu memenuhi ruang angkasa, seperti langit ketika pesta layang layang.




"O...K... Kita takyah risau apa apa, kan... kan... Tuan General ada kat Sicily kan... kita... akan ok?"




Dua remaja ini tidak tahu bahawa itulah petanda, petanda untuk mereka meninggalkan Sicily.




......




“destruiam et aedificabo”




Bangi, Selangor... 13 Mac 2009




Haikal (ketika ini berumur 20 tahun) sedang berehat-rehat di atas sofa empuknya sambil membelek-belek cincin emas belah rotan yang datang bersama-sama surat dari Faiz.




Jam sekarang pukul 2.48 petang. Rasanya kedai makan yang tadinya penuh dengan orang yang makan selepas solat Jumaat sudah mula lengang. Jadi sempat untuk dia singgah makan sebelum kelas pukul 4 petang.




Dia masih membelek-belek cincin emas tadi, sambil teringat tentang Faiz, tentang zaman kanak-kanak mereka, tentang saat-saat nakal mereka panjat pagar sekolah semata-mata hendak lepaskan geram berjamming di pekan, saat mereka saling teruja mendaftar di kolej yang sama, ketika Faiz yang cemerlang di tahun pertama pengajian, dan saat-saat Faiz mula menyendiri.




"Stupid. Kau sebenarnya pandai Faiz, tapi kenapalah kau start ponteng, hilangkan diri, lupakan kawan-kawan. Emm orang lain pun bercinta juga. Stupid Faiz."




Haikal terus membebel sendirian, dia betul-betul kesal dengan Faiz. Dulu Faiz yang banyak mengajar dia setiap kali dia tidak faham apa yang telah diajar pensyarah, tetapi selepas setahun, Faiz banyak menghabiskan masa menyendiri di dalam biliknya. Haikal tidak tahu apa puncanya Faiz mula menzalimi diri.




Ada orang kata masalah keluarga, masalah hutang, ada yang kata masalah cinta, entahlah kata hati Haikal. Bukannya tiada orang nak tolong, tetapi apabila kawan-kawan, pensyarah cuba menghubunginya, dia tidak angkat panggilan, tidak balas mesej. Jadi salah siapa?




Haikal mengeluh. Melihat jam pukul 3.15 petang, Haikal bangun dan mencapai kunci di tepi televisyen. Sekali lagi Haikal melihat cincin emas belah rotan yang dia baru letakkan di atas meja kopi sebelah sofa, dan tiba-tiba terdetik sesuatu di dalam hatinya,




"Eh, kalau Faiz tengah banyak berhutang, kenapa dia bagi cincin emas ni kat aku? Kenapa tak gadai atau jual je cincin ni untuk bayar hutang dia?"




Gerak hati yang kuat mendorong Haikal mengambil balik cincin emas tadi. Gelora perasaannya untuk berjumpa dengan Faiz seperti yang dijanjikan surat yang diterimanya minggu lepas menjadi sangat kuat. 13 Mac 2009, di hadapan pintu gerbang kolej, dan dia perlu tahu apa sebenarnya sedang berlaku ke atas Faiz dan keluarganya.




Dengan pantasnya Haikal memecut kereta kuningnya tanpa menyedari seseorang sedang memerhatinya dari jauh.




Medan Ilmu, Kolej PMCSS, Selangor... 13 Mac 2009




Agak sunyi kerana tidak banyak kelas di waktu petang. Tiba-tiba muncul dua orang lelaki muda 20-an, bergaya, memakai sut mewah, seorang bersut silver, dan seorang lagi bersut hitam keunguan.




Mereka berdua ialah Haikal dan Faiz dari masa depan.




Walaupun berambut pendek kemas, alun ikal rambut Faiz masih jelas kelihatan. Haikal bergaya dengan rambut pacaknya. Mereka berdua dari dalam bangunan Medan Ilmu perlahan-lahan berjalan menuju ke pintu gerbang kolej. Sungguh berkarisma mereka berdua, postur berjalan yang menarik seperti gaya model berjalan memperagakan baju.




"Faiz, are you sure that surat kau tu boleh tarik aku datang ke sini?"




"Haha Haikal, aku dah kenal ko laaaaaaaama la. Ok jap, kita tanya Bayu, sepatutnya kalau ikut jam sekarang, kau dah lama keluar dari rumah kau."




Bayu, lelaki yang mengawasi gerak-geri Haikal (tahun 2009) tadi, seolah-olah tahu Faiz sedang menyebut namanya. Hakikatnya mereka bertiga mampu berkomunikasi tanpa telefon bimbit ataupun radio, hanya bercakap terus ke angin, lalu anginlah yang menghubungkan mereka bertiga.




"Haikal, sepatutnya awal-awal lagi aku patut ikat kau dan heret kau pergi ke PMCSS. Bazir masa menunggu macam ni."




"Jadi?"




"Haikal, kau ni memang celaka lah. Nak keluar rumah pun susah. Goyang mangkuk dalam rumah nak buat apa!"




"Celaka apa kutuk aku, jadi sekarang ni aku masih lagi dalam rumah tu ke??"




"Tak. Kau dah keluar. Jam 1515 tadi."




Haikal menahan geram. Faiz hanya ketawa riang. Tiba-tiba langit cerah bertukar menjadi gelap. Kilat sambar menyambar. Petir berdentum kuat menyakitkan jantung mendengarnya. Awan tebal di atas Faiz dan Haikal semakin gelap, seolah-olah bila-bila masa sahaja akan pecah dan menghujani mereka berdua.




Tapi dengan sekali hembus dari mulut Haikal, awan tebal gelap itu hilang, dan langit biru jelas kelihatan.




Faiz mula memeluk tubuh kesejukan. Walaupun langit di atas kepala mereka sudah cerah, tetapi di kawasan sekeliling, kegelapan menguasai pemandangan. Hujan lebat, kilat sambung menyambung di kiri kanan depan belakang mereka.




"Haikal, Faiz, hujan ni pelik. Aku tak dapat baca tiupan angin. Tiupan angin ni seperti dibuat-buat manusia. Oh, aku tengah ikut 'kau', dan pastikan 'kau' tidak ditimpa kemalangan."




"Ok take care ye Bayu."




"Hehe thanks Faiz."




Sedang Haikal dan Faiz menunggu Haikal 2009 tiba, Faiz memecah kesunyian dengan satu pertanyaan.




"Dulu betul ke kau datang ke tahun 1588 Melaka bukan dengan cara macam ni? Dengan surat yang aku tulis tu?"




"Tak. Aku dalam rumah, tak pergi mana-mana, ada tanah runtuh, aku ditimbus sekali. Waktu tu, langsung tak sama macam ni."




"Habis, macam mana kau dapat cincin tu?"




"Masa tu cincin tu dah memang ada dalam kotak yang bapak aku hadiahkan kat aku. Pelik gak dimensi ni bapak aku tak pernah hadiahkan aku cincin tu."




"Well... setiap dimensi ada jalan ceritanya sendiri."




KKKERRBAAAAAAAAAAAAAAAAAMMMMMMMMMMM!!!!!




Tiba-tiba mereka berdua terkejut apabila bangunan Medan Ilmu meletup, dan runtuh menjadi ketulan-ketulan batu. Di dalam asap debu yang berterbangan, mereka nampak 3 tubuh terbaring di atas runtuhan batu itu. Satu daripada tiga tubuh itu tidak berkepala.




Tiba-tiba salah satu tubuh yang terbaring tadi mula bangun berdiri tegap. Seorang lelaki tegap besar tidak berbaju, gelap sawo matang, berambut panjang, berjanggut tetapi tidak bermisai, dan berparut di seluruh badan termasuk muka. Kelihatan berumur 40-an.




"Bayuu??!!!!!!!!!"




Ya, wajahnya seiras Bayu, bezanya, Bayu di hadapan mereka ini kelihatan lebih tua dari Bayu yang mereka kenal.




"Ahoho Haikal, ok kau selamat untuk pergi sekarang. Cepat-cepat."




"Tak tak Bayu, aku bukan Haikal tahun 2009 ni."




Bayu 40-an itu pada mulanya kelihatan bingung, tetapi kemudian dia tersenyum gembira.




"Jadi kamu dah balik! Baguslah, kamu dah balik dari 1997, baiklah, inilah masanya untuk kita kawal garis masa ni."




Bayu melompat dari jauh dari terus mendarat di hadapan Haikal. Dia menepuk bahu Haikal beberapa kali tanda 'syabas'.




"Err tak tak Bayu, kau salah faham ni. Aku dah 'balik' ke tahun 2009 aku. Kita bertiga, aku, kau, Faiz dah habiskan satu kitaran. Kiteorang juga dah stabilkan masalah tempat kiteorang datang."




"So... maknanya, ini bukan dimensi korang berdua?"




Faiz ketawa berdekah sambil menggeleng kepalanya.




"Tak, kiteorang datang dari tempat lain."




Bayu seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.




"Korang dah stabilkan masalah tempat korang?"




"Ya Bayu, kami dah 'senyap'kan mereka. Oleh kerana tempat kiteorang datang dah aman dan stabil, sebab tu kami datang ke dimensi ini."




Bayu terdiam. Dia kemudian pandang tepat mata Faiz.




"Tempat korang datang tu... Faiz, kau dah kahwin?"




"Err belum. Weyh kenapa ko tanya soalan tu, huhu malu lah."




Bayu senyum lebar, dia mengangkat kedua tangannya ke paras dada seolah-olah seperti sedang berdoa.




"Jadi, korang datang pada masa yang salah. Pergi balik, dan jaga dunia korang baik-baik."




Bayu menepuk dada Haikal dan Faiz serentak, dan kedua-dua mereka hilang dimakan angin, hilang begitu sahaja. Apabila melihat dua orang rakannya kembali ke zaman mereka datang, Bayu tersenyum.




"Belum masanya lagi sahabatku."




Balakong, Selangor... 13 Mac 2009




Sambil memandu di dalam hujan lebat, mata Haikal (tahun 2009) tidak lekang memandang cincin emas belah rotan di dashboardnya. Hatinya gusar. Cincin itu seolah-olah cuba memberitahunya sesuatu. Maka Haikal pun mencapai cincin emas itu lalu membeleknya sekali lagi.




Manusia yang cermat biasanya tumbang kerana kesilapan orang lain. Tiba-tiba sebuah kereta melayang entah dari mana menghentam cermin hadapan kereta Satria kuning Haikal.




Tidak cukup dengan hentaman itu, kereta Haikal yang hilang kawalan di langgar sebuah lori yang datang dari tepi, menyebabkan kereta Haikal dengan kereta misteri tadi sama-sama melambung dua kali di udara.




Hentaman yang cukup kuat sehinggakan tubuh Haikal tercampak keluar dari dalam kereta, lalu jatuh berguling di atas jalan raya. Lembik dan basah. Tidak bergerak.




Di tangan Haikal, cincin emas yang digenggam erat, mula bertukar warna, dari emas perlahan-lahan menjadi hitam. Keadaan tubuh Haikal sekarang sangat mengerikan, yang pasti darah menyaluti setiap inci tubuh Haikal.




Titisan-titisan hujan lebat seolah-olah menyelimuti tubuh Haikal yang kaku di atas jalan raya.




"Aku akan mati."




"Emm... aku betul-betul akan mati hari ni?"



"Oh Tuhan.... aku akan mati?"




"Tapi aku tak sempat buat apa-apa pun kat dunia ni!"




"Apa yang aku dah buat, apa yang aku dah sumbang kat dunia ni?



"Apa tujuan hidup aku?"




Mata Haikal terbeliak. Cincin emas di tangannya hampir bertukar hitam sepenuhnya. Hujan dan darah membanjiri anak matanya, namun Haikal langsung tidak merasa pedih.




"Oh Tuhan... aku takut."





"Aku taknak mati sekarang. Apa kebaikan aku dah buat sepanjang aku hidup? Takde?"



"Hidup aku sia-sia?"



"Apa tujuan aku hidup selama ni?"




"Tuhanku, please, berilah peluang untuk aku terus hidup, sebab kalau aku hidup..."



"Aku akan berusaha bersungguh-sungguh untuk cari tujuan hidup aku. Aku... aku taknak sia-siakan hidup aku lagi."




"Tuhanku... berilah satu lagi peluang. Aku akan cari tujuan hidup aku."




Setelah cincin emas tadi selesai menjadi hitam sepenuhnya, Haikal pun terus hilang.




Ya, tubuh Haikal hilang.




Hanya meninggalkan selopak darah yang dicairi derusan hujan lebat.



No comments: