Sunday, 24 August 2014

Teaser 8 - Granada Al-Andalus 1000 Masihi



Granada, Al-Andalus (Spain)... 1000 masihi



Granada ialah sebuah perkampungan kecil yahudi yang terletak tidak jauh dari bandar Elvira.



Granada terletak di tanah yang agak tinggi berbanding bandar Elvira maka tak ramai orang memilih untuk tinggal di sini, kecuali Euthymius dan Katarina.



Setelah Al-Hakam meninggal dunia, kerajaan Al-Andalus diperintah oleh Al-Mansur. Entah kenapa, Al-Mansur mengambil keputusan untuk menghapuskan semua buku-buku ilmu yang tersimpan di perpustakaan Al-Hakam. Mungkin kerana dia bencikan Al-Hakam? Cemburu?



Lalu, Euthymius membawa diri ke kampung yahudi di Granada. Dia agak sedih kerana semua buku tulisannya dibakar begitu sahaja. Berpindah ke Granada memberikannya sedikit ketenangan dan kegembiraan.



Dikelilingi pokok delima, jiran-jiran yang peramah, dan ditemani kekasih tercinta setiap masa membuatkan hati Euthymius tidak lagi ambil kisah dengan kegilaan Al-Mansur. Sehinggalah di suatu petang yang agak sejuk, musim luruh tahun 1000 masihi, Euthymius terjumpa diari Katarina. Dia membacanya sehelai demi sehelai dengan teruja.



Katarina masuk ke dalam bilik terkejut melihat Euthymius yang sedang khusyuk membaca diarinya. Euthymius tersenyum merenung mata Katarina apabila Katarina menghampirinya.



“Sayang, kenapa sayang tak teruskan dengan ciptaan sayang ni? Bagus ciptaan ni, niat sayang pun bagus. Ciptaan sayang ni boleh tolong ramai orang.”



Katarina duduk di sebelah Euthymius, dan Euthymius terus memeluk tubuh kekasihnya. Katarina tidak gembira dengan apa yang didengarnya.



“Tak perlu dah. Saya dah ada awak, saya tak perlukan ciptaan ni lagi,” lalu Katarina menghadiahkan Euthymius satu ciuman di pipi.



“Bukan untuk kita sayang, untuk orang lain. Lihat kat luar, betapa ramai yang masih menderita kerana cinta tak berbalas, lihat Al-Mansur, betapa gilanya dia menyerang kampung-kampung orang Kristian di utara, tapi, tapi kalau kita ada ciptaan sayang ni...”



Euthymius berhenti membebel apabila Katarina merampas diarinya dari tangan Euthymius.



“Emm kenapa ni sayang? Bukan ke sayang sendiri nak orang lain bahagia?”



“Ya, tapi sekarang saya sedar, untuk hidup bahagia, manusia kena keluar mengembara macam saya. Keluar mencari sendiri cinta mereka. Keluar mencari sendiri kebahagiaan mereka.”



Euthymius senyap. Dia hanya mengusap-usap lembut telinga Katarina.



“Kalau saya cipta benda ni, saya seolah-olah menutup peluang orang lain merasa sendiri bahagia. Ciptaan saya akan menutup peluang orang lain untuk rasa apa itu cinta sejati. Tak adil kan?”



“Emm sayangku Katarina. Mana lebih penting, manusia menderita sepanjang hayat kerana ingin mendapatkan secebis kegembiraan, atau manusia tak pernah rasa gembira tetapi terselamat dari menderita?”



Katarina hanya senyap. Euthymius suka tanya dia soalan pelik-pelik. Setiap kali mereka bergaduh pendapat, Euthymius akan tanya soalan pelik-pelik. Malas Katarina nak melayan kerenah kekasihnya itu.



“Apa-apa je lah sayang.”



Euthymius sedar Katarina terguris hati. Dia mula buat lawak bodoh. Tapi satu pun tak berjaya buat Katarina ketawa. Tak lama kemudian, Milena datang menziarah. Katarina dan Milena keluar berjalan-jalan meninggalkan Euthymius di rumah... bersama diari Katarina.



Euthymius sambung membaca diari kekasihnya. Ciptaan Katarina ialah ciptaan yang berkuasa. Ciptaan Katarina membolehkan seseorang itu dapat apa saja yang dia minta. Matlamat Katarina cuma satu, dia nak semua manusia tidak lagi rasa terseksa. Tanpa seksaan hati, manusia akan bahagia. Itu pendapat Katarina suatu masa dahulu.



Caranya ialah, Katarina perlu tubuh seorang ahli magik yang berkuasa. Baru Euthymius sedar kenapa Katarina bersungguh-sungguh melatih Gerbert. Tetapi sayangnya tubuh Gerbert hancur dimakan syaitan di saat kematiannya. Tiba-tiba baru Euthymius sedar kenapa Katarina sentiasa bersamanya sejak kali pertama mereka bertemu kira-kira 100 tahun dahulu.



“Em.. jika ia sempurna, sebiji epal hitam akan terhasil, seperti hati yang telah hitam, rasa tidak adil, tidak puas hati, hasad dengki, rasa bersalah, kesedihan, dendam, penyesalan, semuanya terkumpul di dalam hati yang hitam, di dalam epal hitam ini.”



Euthymius menahan nafas kemudian menghembus dengan perlahan. Dia sambung baca diari Katarina.



“Jika ia sempurna, aku akan gunakannya untuk menghilangkan penderitaan manusia, iaitu cinta. Manusia tak perlukan cinta untuk hidup bahagia. Tanpa cinta, aku masih boleh hidup gembira”



Euthymius membaca catatan kecil di hujung muka surat itu, agak baru catitan itu. Ia bertulis,


Aku silap, aku sudah menemui cinta aku,

dan aku rasa lebih bahagia. 

Tersangat bahagia.



Daun kering dari luar ditiup masuk ke bilik melalui tingkap.



Seekor rama-rama terbang masuk ke dalam bilik lalu hinggap pada kabinet pakaian bercirikan Moorish. Euthymius tersenyum lebar. Jari jemarinya berapi-api.



Maka, sejak petang itu, Euthymius kembali bersemangat. Sangat bersemangat. “Epal hitam ye.”