Thursday, 17 October 2013
Chapter 2 - Hujan Batu di Negeri Sendiri [Chapter 2 : Part 1]
Hujan lebat.
Kesejukan dibasahi hujan tanpa henti mengejutkan Haikal dari lena. Dia cuba untuk duduk, jarinya menyentuh lantai, lantainya batu, bukan tar. Dia berjaya duduk, tetapi terasa sungguh sesak dadanya. Seperti terlalu banyak udara padat di dalam paru-parunya.
Terbatuk Haikal. Haikal cuba menarik nafas perlahan-lahan. Sejuk. Tubuh Haikal menggigil apabila angin sejuk masuk di celah-celah jari kakinya.
Ingatannya kabur. Yang pasti, dia berada di tengah-tengah kawasan agak lapang. Hujan lebat mengaburi matanya. Suara sayup-sayup seolah-olah cuba berbual dengannya. Semakin lama penglihatannya semakin jelas.
"Hujan dah tak lebat?" terdetik di hatinya.
Tidak. Hujan masih lebat. Haikal menyapu lelehan air hujan di kelopak matanya.
Terkejut Haikal apabila melihat tiga orang lelaki memandangnya dengan penuh tanda tanya. Tanda tanya. Haikal sendiri penuh tanda tanya apabila melihat pakaian lelaki-lelaki di hadapannya.
Seorang tidak berbaju, berlilit serban, berseluar longgar, seorang lagi berbaju dengan potongan leher V yang menampakkan dada, lengan bajunya paras siku, berselempang, berseluar longgar yang dilipat sehingga paras lutut. Seorang lagi berkain sarung, berbaju kemeja berbutang berlengan panjang, berlilit serban.
Ketiga-tiganya kacak berambut panjang. Cuma seorang sahaja berjambang, lelaki yang berkain sarung.
Mereka seolah-olah tanya sesuatu, tetapi sukar untuk Haikal memahami tutur kata mereka. Ya, Haikal tahu mereka bercakap di dalam bahasa Melayu, tetapi ada sesuatu yang menyukarkan Haikal untuk menangkap kata-kata mereka.
"Aku kat mana?" tanya Haikal.
"Melaka..." jawab lelaki tidak berbaju.
Haikal cuba lihat sekeliling, sejauh yang mungkin. Hujan lebat membatasi penglihatan. Dia berdiri. Baru dia sedar dia di atas sebuah jambatan batu. Arch bridge. Jambatan yang melengkung naik ke atas. Sungai yang mengalir di bawah jambatan ini agak lebar.
Di seberang sungai sana ada perkampungan, rumahnya beratap jubin, berdinding kayu. Entah mengapa Haikal rasa sayu sunyi melihat hujan-hujan menari di atas atap jubin rumah kampung itu. Haikal kemudian melihat ke arah sebelah satu lagi.
Terkejut Haikal, apabila melihat dinding gergasi kelabu, setinggi pokok kelapa, sepanjang-panjang alam. Dinding ini di satu hujungnya berhenti berhampiran muara sungai, dan di satu lagi hujungnya hilang tersembunyi di sebalik hutan tebal.
Sruuus... sruuus sruuss...
Hujan lebat, mengalir, membasahi setiap inci dinding batu, putih kelabu, yang tersergam kukuh, dihiasi ukiran rumpai laut yang mengarisi bahagian atas dinding kota batu ini.
Uuummm... uuuu uuuummm...
Bunyi angin yang menyentuh permukaan batu-bata yang membentuk dinding kota ini seolah-olah bunyi tangisan, tangisan seorang lelaki. Aneh.
"Korang kata aku kat mana tadi?"
Ketiga-tiga lelaki tadi sudah hilang. Tetapi muncul di belakangnya seorang gadis. Cantik berambut merah. Comel, bibirnya kecil sahaja. Putih kulitnya, kilauan matanya, seperti seorang gadis dari Russia. Gadis ini berpayung, payungnya aneh, beropol-ropol. Hitam dan merah. Gothic. Itulah perkataan pertama yang terdetik di hati Haikal apabila melihat payung gadis ini.
"Ya?" comel suara gadis ini membalas.
Bergaun hitam, skirtnya sekembang-kembangnya dan selabuh-labuhnya, tetapi potongan pinggangnya seketat-ketat mata melihat. Bahagian dada ditutupi dengan renda kain yang juga menutupi sedikit bahagian bahu gaun ini. Lengan baju ini pendek tetapi kembang. Baju gaun hitam ini cantik disulami corak bunga alam melayu keemas-emasan yang coraknya banyak bertumpu di bahagian skirt dan dibahagian renda. Sedikit corak kelihatan di hujung lengan baju.
"No no I mean... I'm sorry, I kinda lost here. Where am I? This place? Please tell me..." tersengih-sengih Haikal segan. Dia terus jatuh hati pada gadis Eropah di hadapannya, kerana gadis itu berambut merah. Dia selalu bermimpi untuk berkasihan dengan kekasih berambut merah.
Gadis itu cuba menahan ketawa. Dia membalas soalan Haikal dengan senyuman manis.
"Saya orang Portugis, awak cakap bahasa apa." senyum gadis itu.
"Hahaha I'm sorry. Oops ya tak ya awak bukan Inggeris. Jadi awak faham lah bahasa Melayu ni?" bertambah segan Haikal.
Gadis comel ini mengangguk lembut.
Kegembiraan bertemu gadis cantik membuatkan Haikal terlupa akan hujan lebat yang terus menyelimuti tubuhnya. Masing-masing, Haikal dan gadis itu, terpaku, saling merenung mata, berdegup jantung serentak, untuk seketika, sehinggalah angin meniup air hujan menikam lembut mata Haikal. Menjerit kecil Haikal menahan pedih.
"So awak, kat mana kita ni?" tanya Haikal dengan senyuman yang paling manis.
"Fortaleza Melaka."
"Melaka apa? Wait maksud saya, kejap.... Eh biar betul ni Melaka. Ni betul-betul Melaka? Macam mana saya boleh ada kat Melaka. Serius ke ni Melaka? I mean... SIAPA PRANK AKU NI?" Haikal mula panik.
Gadis itu hanya terdiam melihat Haikal yang kebingungan, Haikal yang hanya mampu ternganga melihat Dinding Kota Batu di hadapannya, Haikal yang tercari-cari realiti. Kasihan melihat Haikal, gadis ini merapati Haikal, dan terus memayungi Haikal, bersama-sama dirinya. Kedua-duanya kini selamat di bawah satu payung.
"Shit. Takper takper. Ni mesti kerja Abu. I need my phone. Jahanam la, kopaklah aku nak bayar duit teksi balik KL" Haikal merungut-rungut.
Gadis tadi menghela nafas, seolah-olah mengeluh, dia terus menggengam sebelah tangan Haikal yang kesejukkan.
"Awak... panas tak? Dah lama sangat awak kena hujan ni. Sejuk dah tangan ni. Mari masuk dalam rumah dulu." ajak gadis ini dengan suara lembutnya.
Haikal mula bertenang. Fikirannya mula lapang, mula lancar untuk berfikir secara logik. Logik. Dia melihat sekeliling sekali lagi. Jambatan batu, kiri-kanan jambatan batu ini dihiasi tiang-tiang batu bercorakkan cangkerang siput, rumpai laut, dan salib-salib batu. Di tepi kawasan perkampungan penuh dengan kapal jong-jong kecil. Dia melihat dinding kota kelabu ini pula. Ada pintu gerbang!
Pintu gerbang ini dia pernah lihat sebelum ini. Coraknya lain, bentuknya sama tetapi dia pasti, ini pintu gerbang yang sama. Dia perhati betul-betul, seteliti yang mungkin, sedalam yang mampu. Tetapi semakin dalam dia melihat, semakin sebak dadanya, semakin gugur hatinya. Pertama kali, dalam hidup dewasanya, dia menangis. Menangis ketakutan, menangis kesunyian.
Haikal menangis.
"Awak... cuba cakap betul-betul... saya sekarang ada kat mana?"
Hujan yang emas di negeri orang,
Hujan batu juga yang aku rindui;
Pekan dan emas di ambil orang,
Kerna beradu sesama sendiri.
Si burung kedidi terbang naik,
Terbang naik ke gua rahsia;
Mana nak ku cari tanah yang baik
Tanah yang baik seperti Melaka.
"Awak sekarang ada di Fortaleza de la Malacca, tanah Raja Philip..."
"...dan awak... ni bukan Melaka zaman awak, awak dah mengembara jauh ke zaman silam, ini... Melaka 400 tahun sebelum awak lahir..." jawab gadis manis ini, sedih.
Subscribe to:
Posts (Atom)