Helikopter Black Hawk yang dinaiki Sofia, Chip, Raz, Joe, Cheng menghampiri Menara Alor Setar, kemudian terbang tinggi dan mula menjauhi Menara Alor Setar.
"Chip! Raz! Kita dah ada atas City Plaza!"
"OK! Thank you Cheng!"
Kemudian Chip mengalih pandangan ke arah Sofia. Sofia sedang mengeliat, meregangkan badan. Melihat Chip yang sedang menenungnya, Sofia tersenyum kemudian Sofia gosok-gosok rambut Chip untuk mengusik Chip.
"Ready princess, kita ada 3 jam."
Pernahkah anda jumpa gadis yang selalu memaafkan orang lain, dan tidak pernah salahkan orang lain?
Raz, Chip, dan Sofia berdiri di pintu helikopter dengan bergaya. Mereka tidak memakai apa apa beg galas atau beg payung terjun. Raz hanya bercermin mata hitam dan memakai uniform tentera. Chip juga hanya beruniform tentera tetapi dia menggalas selaras rifle berbontot besar, Steyr AUG. Sofia membetulkan tocang duanya, dia mengikat kembali rambutnya menjadi sanggul yang cantik.
"OK! Raz! Chip! Sofia! Ingat 3 jam! Sekarang!"
Pernahkah anda jumpa gadis yang masih tersenyum biarpun disakiti semata-mata kerana dia tidak mahu orang lain bersedih?
Di hadapan Pekan Rabu, berhampiran tempat menunggu bas, ada banyak khemah-khemah bazaar yang menjual pelbagai jenis barangan seperti baju kurung, t-shirt, selipar, kasut, blouse, dan kedai aksesori yang menjual cincin, jam tangan, cermin mata dan rantai.
Suasana agak meriah, walaupun hari ni bukan hari minggu. Jalan-jalan di sekitar bazaar ini sesak dengan orang ramai pelbagai umur.
Tidak jauh dari situ, di lorong belakang kedai-kedai runcit, dan kedai makan tiba-tiba muncul Sofia, Raz dan Chip.
"Sofia, stop time!"
Sofia menepuk kedua tapak tangannya. Semua orang (kecuali mereka bertiga) berhenti seperti dibekukan. Jika ada yang sedang melompat, orang itu akan terhenti seolah-olah terapung di udara. Asap dari kuali, api dari dapur di kedai nasi kandar juga keras kaku tidak bergerak seinci pun. Masa terhenti seperti mimpi.
"Ok. Jom cari papa Sofia"
"Chip. Tunggu. Cuba tengok depan tu, tepi tong sampah tu."
Raz, lelaki berambut perang, macho dengan tubuh sasa dan kulit gelap yang dia sentiasa banggakan, yang katanya hasil dari keturunan India sejati, bergaya dan tegap, mula berjalan mendekati satu tubuh yang terduduk diam di celah-celah dua tong hitam. Sofia kemudian berlari mendapatkan tubuh itu.
Sebaik sahaja sampai di hadapan tubuh seorang lelaki kurus berbangsa Melayu itu, Sofia terus periksa nadinya. Mata lelaki kurus ini terbeliak.
"Sofia, dia hidup lagi?"
Pernahkah anda jumpa gadis yang mampu memahami perasaan orang lain, sentiasa faham kenapa seseorang itu menyakiti orang lain, sentiasa redha, dan tidak pernah mencarut dan tidak pernah marah?
Chip berjalan menghampiri Sofia dan melutut di sebelah Sofia. Chip memeriksa semua kocek, saku, poket lelaki kurus ini. Raz memerhati keadaan sekeliling, sentiasa berwaspada dengan kehadiran musuh.
"Abang Chip, ini bukan mayat biasa. Ini orang yang sepatutnya hantar cincin kat papa!"
"Eh?! Macam mana Sofia tau?"
"Ini bukan kali pertama Sofia datang ke tahun ni. Sofia dah banyak kali tengok, lelaki ni yang bagi papa cincin! 3 kali Sofia datang tahun ni, waktu ni, di tempat ni, dah 3 kali, lelaki ni, lelaki yang sama bagi papa cincin! Tetapi kenapa kali ni dia dah mati?!"
Sofia ketakutan. Chip terpaksa peluk dia untuk tenangkan dia.
"Sofia tenang, kita cari papa dulu, kita cari papa Sofia dulu."
Sofia menunjuk tekak lelaki kurus ini sambil menepuk paha Chip berulang kali.
Pernahkan anda jumpa gadis yang tidak mengejar kesempurnaan, sentiasa sederhana, dan tidak mengharap apa apa balasan? Pernah?
"Abang Chip! Ada dalam ni!"
"Eh, apa yang ada dalam tu?"
"Cincin!"
Sofia menyuruh Chip memasukkan tangannya ke dalam mulut lelaki kurus ini. Sambil berkerut dahi, Chip mengikut sahaja kehendak Sofia. Tiba-tiba Chip membulatkan matanya kerana terkejut, dia mengeluarkan tangannya dari dalam mulut lelaki kurus ini. Dia menunjukkan sebentuk cincin berwarna hitam kepada Sofia. Kedua-dua mereka kegembiraan dan teruja.
"Ok, jom cari papa Sofia."
Di hadapan Pekan Rabu, berhampiran jejantas, Sofia diikuti Raz dan Chip sedang berlari selaju yang mungkin menghampiri khemah-khemah bazaar di hadapan mereka. Di antara ramai-ramai orang yang telah dibekukan ini, mereka bertiga menghampiri seorang remaja berkemeja hitam berlengan pendek yang mengalas beg kanvas berwarna hitam. Sofia ceria dan terus memeluk tubuh remaja berkemeja hitam ini. Tetapi lelaki ini kekal beku seperti patung.
"Papa... Sofia rindu papa."
"Wow, Tuan kelihatan sangat... muda. Haha nampak jambuu sangat"
"Hehe hensem kan papa Sofia muda-muda. Hihi. Em rasanya umur papa masa ni 18 tahun"
Raz menghampiri mereka berdua dengan cemas.
"Sofia, kita kena cepat. Aku tak dapat contact Joe."
"Ok ok. Sofia nak masukkan cincin ni dalam beg papa."
Tapi apabila Sofia lihat beg galas papanya (remaja berkemeja hitam) dahinya berkerut.
"Euuww, betul cakap mama. Taste papa teruk la. Kenapa papa pilih beg design macam ni"
Kemudian tanpa berlengah, Sofia masukkan cincin hitam tadi ke dalam poket beg galas papanya. Mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu. Kemudian dia tersenyum dan mengajak Chip dan Raz meninggalkan tempat ini. Apabila sudah jauh dari papa Sofia, Sofia menepuk kedua tangannya dan semuanya mula berjalan, air mula mengalir, asap mula naik ke udara, bazaar kembali meriah dengan riuh rendah manusia, semuanya pulih seperti biasa. Seperti tidak ada apa-apa yang terjadi.
Kini mereka bertiga berada di dalam Pekan Rabu, di tangga paling sunyi. Sofia sedang cuba untuk menghubungi Joe dan Cheng. Matanya berair. Sofia sedang menangis.
"Abang Joe... reply"
"Cheng? Reply.... please"
"Abang Joe?!"
"Abang Joe... reply la!"
Sekarang mungkin anda tidak perasan gadis seperti Sofia ini wujud. Tetapi suatu hari nanti, kita semua terpaksa cari Sofia, untuk keluar dari kitaran kesempurnaan yang penuh kebencian ini.